Alumni perlu bantu semula universiti

PENGACARA popular, Datuk Aznil Nawawi (tengah) bersama Datuk Dr Fadzilah Kamsah (kiri) dan Charles Mohan pada Majlis Pertemuan Bersama Duta Alumni UM di Rumah Kelab Persatuan Alumni UM, Kuala Lumpur, hari ini. – Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Peranan alumni universiti di negara ini perlu diperkukuh dalam usaha membantu institusi masing-masing mencapai kecemerlangan yang disasarkan.

Pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi, berkata beliau mengalu-alukan universiti lain untuk mengikut inisiatif Universiti Malaya (UM) yang melantik duta alumni bagi membantu bekas institusi pengajian mereka mengikut bidang kepakaran masing-masing.

Beliau yang dilantik menjadi Duta Alumni UM pada Julai lalu, berkata dalam tempoh terdekat ini pihaknya akan mengadakan projek ‘1alumni 1ringgit’ bersama-sama bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) universiti tertua negara itu bagi mengumpulkan dana buat pelajar UM yang memerlukan.

“Di universiti kita melalui proses dan cabaran yang sama, jadi dengan bantuan alumni ia dapat diringankan. Saya percaya di luar sana ramai alumni UM yang berjaya boleh membantu universiti ini terutama yang membabitkan golongan pelajar kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian.

“Pelantikan duta alumni juga akan menjadi inspirasi kepada anak yang masih mengikuti pengajian untuk menggapai impian masing-masing seperti apa yang dicapai idola mereka seperti saya yang ingin masuk UM kerana mahu mengikuti jejak (Allahyarham) Datuk Sudirman Arshad sebelum bergiat dalam bidang seni,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pertemuan Bersama Duta Alumni UM di Rumah Kelab Persatuan Alumni UM, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor HEPA UM, Prof Datuk Dr Rohana Yusof.

Selain Aznil yang popular dengan panggil Pak Nil, turut menjadi Duta Almuni UM ialah pakar motivasi, Datuk Dr Fadzilah Kamsah dan pengamal media serta sukarelawan, Charles Mohan.

Sementara itu, Rohana berharap pelantikan tiga duta alumni itu dapat membantu menaikkan lagi imej UM pada masa akan datang dan ‘membawa kembali’ alumni UM untuk sama-sama menabur bakti.

“Kita mempunyai 300,000 alumni dan kini yang berdaftar dengan HEPA dalam 30,000. Jadi kami mahu tingkatkan jumlah itu supaya lebih ramai alumni dapat dikumpulkan dalam pangkalan data yang disediakan.

“Lebih ramai duta akan diperkenalkan pada masa akan datang yang diyakini mampu memberi sumbangan mengikut bidang kepakaran masing-masing,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Advertisements