Konvokesyen bukan penamat

PENGERUSI Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad, Tan Sri Dato'(Dr) Rozali Ismail menyampaikan Anugerah Tan Sri Rozali Ismail kepada Amirul Amin Azman dalam Majlis Konvokesyen ke – 12 Politeknik Sultan Idris Shah. – Foto Mohd Shukor Amin

SABAK BERNAM: Graduan Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) diingatkan bahawa konvokesyen bukan menandakan tanggungjawab mereka menuntut ilmu sudah berakhir.

Pengerusi Jawatankuasa Penasihat PSIS, Tan Sri Rozali Ismail, berkata sebaliknya istiadat itu simbolik kejayaan graduan yang berjaya menamatkan satu peringkat pendidikan.

“Ia patut dijadikan pencetus semangat untuk terus mengejar ilmu ke tahap yang lebih tinggi,” katanya pada Istiadat Konvokesyen PSIS kali ke-12 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah PSIS, Leftenan Kolenel Bersekutu (PA) Norehan Md Shariff.

Rozali berkata, graduan perlu sentiasa menghargai pengorbanan ibu bapa, tenaga pengajar dan juga kerajaan yang sentiasa memberikan bantuan ke arah kecemerlangan insan termasuk di PSIS.

“Selepas memperolehi pendidikan yang sempurna serta memasuki alam pekerjaan dalam pelbagai bidang mahupun perniagaan, sumbanglah kembali kepada kesejahteraan keluarga dan masyarakat,” katanya.

Seramai 1,535 graduan menamatkan pengajian pada peringkat diploma.

Rozali yang juga Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad menyampaikan diploma kepada graduan.

Graduan Diploma Kejuruteraan Elektrik (Komputer), Amirul Amin Azman dipilih sebagai penerima Anugerah Tan Sri Rozali Ismail selepas memperoleh keputusan himpunan Purata Nilai Gred Kumulatif CGPA) 3.74, melayakkan beliau menerima wang tunai RM5,000, piala dan sijil penghargaan.

Anugerah Industri pula diperolehi penuntut Diploma Pengurusan Hotel dan Katering dari Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Annis Hizani Badrul Hisham.

Anugerah Pengarah bagi sesi Jun 2016 pula dianugerahkan kepada graduan Diploma Kewangan dan Perbankan Islam, Nur Izaila Ismail manakala graduan Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan), Lydia Natasya Sanusi menjadi penerima bagi sesi Disember.

Sementara itu, Amirul Amin, 23, berkata, beliau hanya ‘tersedar’ untuk belajar bersungguh-sungguh ketika hanya tinggal tiga bulan saja sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), empat tahun lalu.

“Saya pernah tak ambil kisah mengenai pelajaran, hinggalah hampir menduduki peperiksaan SPM, baru saya ‘tersedar’ ke mana saya nak sambung belajar kalau keputusan tidak cemerlang.

“Tapi semuanya sudah terlewat bila keputusan SPM yang diperoleh tidaklah seperti apa yang saya impikan,” katanya.

Bagaimanapun, Amirul Amin berkata, apabila terpilih untuk menyambung pengajiannya di PSIS beliau nekad untuk bangkit semula daripada kesilapan lalu sehingga anak ketiga daripada empat beradik itu memperoleh Anugerah Dekan setiap semester.

Pencapaian akademik yang cemerlang dan konsisten serta aktif dalam kegiatan kokurikulum antara faktor kejayaan Annis Hizani Badrul Hisham, 21.

Anak kedua daripada empat beradik ini menganggap kejayaan meraih anugerah itu sebagai hadiah kepada keluarga dan tenaga pensyarah PSIS yang banyak memberi peluang dan dorongan untuknya berjaya dalam bidang yang diminatinya itu.

Graduan Diploma Pengurusan Hotel dan Katering itu mengakui tetap fokus terhadap akademik walaupun dia aktif dalam organisasi pelajar dan penglibatannya dalam menyertai pertandingan masakan.

“Saya korbankan waktu tidur untuk ulang kaji pelajaran yang tertinggal jika saya terbabit dalam mana-mana pertandingan terutama ketika saya berada di semester akhir.

“Saya juga harus bijak membahagikan masa antara akademik dan menjalankan tanggungjawab saya dalam organisasi pelajar sebagai Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar politeknik ini,” katanya.

INFO

385 Jabatan Kejuruteraan Awam

244 Jabatan Kejuruteraan Elektrik

350 Jabatan Perdagangan

282 Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti

274 Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi

Sumber: Berita Harian

Advertisements