Beri peluang kepada koperasi

PRESIDEN ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah (dua dari kiri) dan Pengerusi Koperasi UTHM Berhad, Prof Madya Dr Razali Hassan (tiga dari kanan) melawat kolej kediaman UTHM Kampus Pagoh ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Pinjaman Antara Koperasi UTHM Berhad dan Bank Rakyat serta Perjanjian Penyewaan Antara Koperasi UTHM Berhad di Kampus UTHM Pagoh. – Foto Adi Safri

MUAR: Universiti awam (UA) perlu memberi peluang kepada koperasi untuk mengendalikan kemudahan atau perniagaan di kampus mereka.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata ini kerana potensi perniagaan dalam UA sangat besar dan perlu dikendalikan oleh koperasi mereka yang lebih mengetahui keperluan kakitangan atau pelajar masing-masing.

“Koperasi di UA boleh memainkan peranan dalam menyediakan perkhidmatan kepada warga di universiti itu sendiri.

“Mengapa perlu kita bagi kepada pihak luar untuk menguruskan semua infrastruktur yang ada di UA? Koperasi mereka sendiri mampu untuk menguruskannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Pembiayaan Antara Koperasi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Berhad dan Bank Rakyat serta Perjanjian Penyewaan Antara Koperasi UTHM Berhad dan UTHM di UTHM Kampus Pagoh di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UTHM, Prof Dr Wahid Razzaly; Ketua Pegawai Operasi (Perniagaan) Bank Rakyat, Datuk Amirudin Abdul Halim dan Pengerusi Koperasi UTHM Berhad, Prof Madya Dr Razali Hassan.

Menerusi perjanjian itu, Koperasi UTHM Berhad menerusi pembiayaan sebanyak RM148 juta dari Bank Rakyat membeli sebuah kompleks kediaman pelajar yang dibangunkan oleh pihak swasta.

Kompleks kediaman pelajar terbabit akan disewakan kepada pihak UTHM bagi menempatkan pelajar mereka di kampus baharu universiti itu yang terletak dalam hab pendidikan di Pagoh.

Abdul Fattah berkata, inisiatif UTHM menerusi Koperasi UTHM Berhad perlu dijadikan contoh terbaik dalam memberikan peluang kepada koperasi melaksanakan perniagaan dan pada masa sama mampu memberi pulangan yang lebih baik kepada ahlinya.

Beliau yang juga Presiden Ikatan Koperasi Se-ASEAN (ACO) berkata, selain daripada kompleks kediaman, banyak lagi peluang lain yang boleh dilaksanakan oleh pihak koperasi seperti pengurusan kemudahan pengangkutan atau kafeteria.

Katanya, jika peluang ini dapat diberikan kepada pihak koperasi sudah tentu akan memberi banyak manfaat kepada ahlinya.

Beliau berkata, pada masa sama koperasi juga boleh menyediakan beberapa kemudahan untuk pelajar khususnya berkaitan dengan bidang keusahawanan.

Sumber: Berita Harian

Advertisements