Swasta bantu lahir pelajar berkualiti

KHAIR dan Singham (dua kanan) berbual-bual dengan guru yang hadir selepas Majlis Perasmian Portal Pendidikan Percuma freeschool.com.my di Brickfields Asia College kampus Petaling Jaya.- Foto Sairien Nafis

PETALING JAYA: Tanggungjawab melahirkan generasi berkemahiran tinggi bukan peranan kerajaan saja tetapi memerlukan pembabitan masyarakat termasuk badan korporat.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, berkata dunia teknologi komunikasi maklumat (ICT) bergerak pantas dan ini memerlukan komitmen daripada pihak swasta untuk sama-sama membantu agensi awam.

Beliau berkata, semua pihak harus memandang ke hadapan dan meningkatkan usaha untuk membantu membina masyarakat yang terdidik.

Sebagai contoh, katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ditaja sepenuhnya oleh Brickfield Asia College (BAC) membantu dalam melonjakkan kualiti pendidikan di Malaysia.

“Pembangunan portal pendidikan percuma, www.freeschool.my satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) BAC yang menyediakan sokongan kemudahan pendidikan dengan pendekatan lebih interaktif secara dalam talian, khususnya kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Dengan platform ini, pelbagai kemudahan boleh dicapai sekaligus dapat dimanfaatkan pelajar melalui sistem pengurusan pembelajaran yang komprehensif apabila mereka boleh akses kepada perkhidmatan e-buku, latihan topikal dalam talian, seminar SPM secara langsung dan rakaman serta webinar (web seminar) secara percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Portal Pendidikan Percuma www.freeschool.my di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Urusan BAC, Raja Singham.

Sehubungan itu, Khair menggesa guru memaksimum manfaat teknologi perkomputeran dan liputan talian Internet supaya mereka dapat mentransformasi landskap dalam kelas agar lebih interaktif.

Beliau berkata, platform yang menggunakan ICT seharusnya mudah diakses untuk dijadikan bahan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) tambahan bagi pelajar dan guru.

“Kaedah ini dapat meningkatkan pengetahuan mereka secara berterusan serta mampu bersaing sehingga ke peringkat global.

“Besar harapan saya agar warga pendidikan dan semua pihak memberi sokongan padu dalam usaha sama meningkatkan penggunaan teknologi dalam sistem pendidikan negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

UPSR: Guru prihatin jemput murid Orang Asli

GURU Besar SK Paya Bungor, Bahar Nizam Baharudin (dua kiri) melihat Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Mohd Ali Hanafiah Shafii (kiri) membantu calon UPSR pelajar Orang Asli, Noraina (dua kanan) dan Noraini selepas tular di media sosial, guru menjemput pelajar Orang Asli ke sekolah untuk menduduki peperiksaan UPSR di SK Paya Bungor. – Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Tindakan dua guru menjemput murid Orang Asli di rumahnya supaya menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam, yang viral dalam media sosial, mendapat pujian sebahagian besar netizen.

Guru Penolong Kanan, Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bungor, Mohd Ali Hanafiah Shafii dan guru Sains, Khairul Nizam Aseh memujuk murid perempuan bernama Noraina dengan datang ke rumah murid dan membawanya ke sekolah bagi memastikan murid itu tidak terlepas menduduki kertas Bahasa Melayu.

Mohd Ali berkata, sekolah menyedari murid perempuan bernama Noraina itu tidak hadir ke sekolah ketika guru mengambil kedatangan murid sebelum masuk ke dewan peperiksaan kira-kira jam 7.30 pagi.

“Apabila kami mendapat tahu Noraina tidak datang ke sekolah selepas bertanya kepada adik kembar Noraina lantas saya terus mengajak Khairul Nizam untuk ke rumah murid itu yang terletak kira-kira lima kilometer dari sekolah.

“Khairul Nizam mengambil masa lebih 15 minit untuk memujuk Noraina yang ketika itu berkurung di dalam bilik tidurnya. Noraina akhirnya membuka pintu bilik dan memberi alasan pakaian sekolahnya basah serta tidak mempunyai baju lain.

“Beliau kemudiannya mencadangkan supaya memakai baju kurung ataupun pakaian sukan namun Noraina enggan kerana malu. Saya kemudian meminjam baju sekolah jiran mereka untuk dipakai Noraina dan mujur kami sempat sampai ke sekolah bagi membolehkan dia menduduki peperiksaan, pada mulanya bimbang juga sekiranya kami terlewat sampai,” katanya ketika ditemui di sekolah itu, di sini, hari ini.

Mohd Ali yang juga guru Bahasa Melayu berkata, Noraina seorang calon yang mempunyai potensi untuk lulus dan pihak pengurusan sekolah perlu memastikannya hadir ke sekolah memandangkan UPSR peperiksaan penting bagi murid sekolah rendah.

Katanya, murid Orang Asli itu kebanyakannya mempunyai perasaan rendah diri yang menebal, sekiranya pakaian mereka tidak sama atau berbeza dengan rakan lain mereka sanggup untuk tidak hadir ke sekolah kerana malu.

“Jadinya, guru perlu memainkan peranan penting untuk memujuk mereka, walaupun sudah menjadi kebiasaan mereka ini tidak hadir ke sekolah sekurang-kurangnya satu hari seminggu, namun untuk hari peperiksaan ini, kami perlu lebih tegas.

“Sebenarnya, ini bukan kali pertama kami menjemput murid di rumah mereka, sebelum ini kami pernah juga berbuat demikian kepada murid Tahun Empat dan Tahun Lima. Semuanya bagi memastikan mereka hadir ke sekolah,” katanya.

Sementara itu Guru Besar SK Paya Bungor, Bahar Nizam Baharudin, berkata pihak sekolah mengadakan pelbagai program termasuk menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), pemimpin masyarakat dalam usaha memberi kesedaran kepada murid mengenai pentingnya aspek pendidikan.

“Sekolah bercadang untuk menjadikan kuarters guru sebagai ‘asrama mini’ dengan calon UPSR ditempatkan di kuarters sepanjang tempoh peperiksaan bagi memudahkan kita memantau kedatangan mereka.

“Kita sudah berbincang dengan JAKOA supaya menyediakan makanan dan minuman serta keperluan lain untuk murid ini. Insya Allah kita akan laksanakan tahun depan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

UPM ‘terbang’ dengan AirAsia

IDRIS Jusoh bergambar bersama Tony Fernandes (empat dari kanan), Dr Aini Ideris (empat dari kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur (tiga dari kanan) di majlis kerjasama strategik UPM-Airasia yang telah menghasilkan livery pada sebuah pesawat Airasia hasil rekaan Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM di Sepang. – Foto Mohd Fadli Hamzah

SEPANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) melakukan penjenamaan secara berani dengan memaparkan logonya pada badan pesawat syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia.

Majlis pelancaran pesawat dengan nombor 9MAQD itu dirasmikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh di hangar Sepang Aircraft Engineering Sdn Bhd di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris.

Idris berkata, kerjasama antara UPM dan AirAsia itu bukti kejayaan program CEO@Facultyyang dilaksanakan di univerisiti dengan pembabitan Fernandes sebagai seorang CEO yang berkongsi pengalaman dan kejayaannya dengan pelajar dan kakitangan UPM.

“Sejak dilaksanakan dua tahun lalu, seramai 60 CEO dari syarikat besar di Malaysia seperti Khazanah Nasional Berhad, Shell, Motorola, Microsoft dan CIMB memberikan ceramah di universiti dan membina jaringan dengan pensyarah.

“Program CEO@Faculty ini akan memastikan kurikulum di universiti sentiasa menepati kehendak industri dan paparan nama serta logo UPM pada pesawat ini antara bukti kerjasama dan testimoni program berkenaan,” katanya pada sidang media di sini.

Sementara itu, Aini berkata, idea untuk memaparkan jenama UPM pada pesawat AirAsia itu tercetus hasil perbincangan pengurusan UPM yang diketuai beliau dengan Fernandes pada Jun 2016.

“AirAsia menyediakan platform untuk UPM menghasilkan rekaan, kreativiti dan seni dalam projek berimpak tinggi dan selepas ini, UPM boleh menawarkan kepakaran dalam bidang rekaan kepada pesawat AirAsia,” katanya.

Pesawat dengan logo UPM itu membuat penerbangan sejak bulan lalu dalam negara dan rantau Asia. Selain nama dan logo rasmi, imej pokok Angsana juga dipaparkan pada pesawat yang menggambarkan kampus hijau UPM.

Sumber: Berita Harian

Mia Sara tawakal duduki UPSR

PELAKON kanak-kanak, Mia Sara Nasuha. – Foto Instagram Mia Sara

KUALA LUMPUR: Pelakon kanak-kanak, Mia Sara Nasuha, 12, mengaku berdebar-debar menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula semalam.

Bagaimanapun, Mia berdoa dapat menduduki peperiksaan itu dengan baik hingga Isnin ini.

“Semalam, saya habiskan kertas Bahasa Melayu (BM) Pemahaman dan BM Penulisan. Hari ini pula Bahasa Inggeris (BI) Pemahaman dan BI Penulisan. Berdebar rasanya.

“Tetapi saya berserah kepada Allah selepas bekerja keras membuat ulang kaji,” katanya kepada BH Online.

Ditanya caranya belajar, antara lain Mia membuat ulang kaji melalui Astro Tutor TV kerana lebih mudah.

“Selain membaca buku, saya lebih gemar menggunakan konsep belajar sambil menonton TV. Ia memberi pengalaman berbeza daripada belajar cara biasa.

“Ia lebih menarik dan saya boleh memberi fokus yang baik kerana tidak membosankan,” katanya.

Selain aktif dalam lakonan drama, Mia pernah membintangi filem Nur Kasih The Movie, Sekali Lagi, Papa I Love You dan Lagenda Budak Setan 3: Kasyah.

Sumber: Berita Harian

UM antara terbaik QS Graduate Employability Rankings

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) tersenarai dalam 300 universiti terbaik dunia Quacquarelli Symonds (QS) Graduate Employability Rankings 2018 bagi kebolehpasaran graduannya.

Berdasarkan penarafan edisi ketiga itu yang diumumkan hari ini, UM disenaraikan pada kedudukan 201-250 dengan skor 75.3 peratus yang mendahului universiti lain di Malaysia.

Bagaimanapun, kedudukan itu menurun berbanding kejayaan UM memasuki senarai 151-200 pada penarafan berkenaan tahun lalu.

Dua lagi universiti negara ini yang memasuki senarai 500 terbaik dunia penarafan sama kali ini ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Kedua-dua UKM yang mencatat skor 65.9 peratus dan UiTM menduduki tangga 301-500.

Universiti Sains Malaysia (USM) yang mencatat kedudukan 201+ pada QS Graduate Employability Rankings 2017, bagaimanapun tidak memasuki senarai tahun ini.

Pengarah Kaji Selidik QS, Ben Sowter, berkata kaji selidik itu dihasilkan bagi membantu universiti meningkatkan kebolehpasaran pelajar yang menjadi antara komponen penting dalam misi setiap institusi pengajian tinggi (IPT).

“Penarafan ini bukan sahaja membantu pelajar membuat perbandingan dalam memilih universiti, tetapi juga menunjukkan setiap universiti tidak sepatutnya hanya bersandarkan kepada reputasi semata-mata.

“Setiap IPT perlu komited menghasilkan kaedah pengajaran inovatif, meningkatkan hubungan dengan industri secara proaktif dan menyediakan pelbagai peluang bagi pelajar untuk bertemu dengan bakal majikan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Lima universiti di Amerika Syarikat (AS) unggul dalam senarai 10 universiti terbaik penarafan itu diterajui Stanford University pada kedudukan pertama, selain dua universiti United Kingdom (UK), Australia (dua) dan China (satu).

INFO

QS Graduate Employability Rankings 2018

10 universiti terbaik

1. Stanford University (AS)

2. University of California, Los Angeles (UCLA) (AS)

3. Harvard University (AS)

4. The University of Sydney (Australia)

5. Massachusetts Institute of Technology (MIT) (AS)

6. University of Cambridge (UK)

7. The University of Melbourne (Australia)

8. University of Oxford (UK)

9. University of California, Berkeley (UCB) (AS)

10. Universiti Tsinghua (China)

Sumber: Berita Harian