Bomba bantu calon UPSR

BETONG : Bimbang terlepas menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) esok, dua murid terpaksa meminta bantuan anggota bomba untuk menghantar mereka balik ke asrama.

Bantuan itu diperlukan berikutan laluan dari kediaman murid terbabit di Rumah Panjang Aman Jugau di sini ke Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Kadir, tidak dapat dilalui akibat banjir.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.24 pagi.

Beliau berkata, bertindak atas panggilan itu, empat anggota dikerah ke lokasi untuk melaksanakan misi khidmat khas.

“Jarak kediaman murid dengan sekolah dalam tujuh kilometer dan kawasan yang tidak boleh dilalui akibat banjir pula sepanjang 700 meter.

“Anggota kami berjaya menghantar dua murid itu ke sekolah mereka dengan selamat bagi membolehkan mereka menduduki UPSR esok,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Sebak tiada ayah saksi kejayaan

NUR Saliza yang juga graduan Jabatan Kejuruteraan Elektrik pada Majlis Konvokesyen Ke-16 Politeknik Kuala Terengganu. – Foto Ghazali Kori

KUALA TERENGGANU: “Saya sebak kerana tidak dapat berkongsi kejayaan ini bersama bapa yang meninggal pada Disember lalu, sedangkan dulu arwah yang menghantar saya masuk ke sini”.

Demikian kata anak yatim piatu, Nur Saliza Awang Besar, 25, dari Kampung Kubang Ikan di sini, yang menerima Anugerah Khas Ketua Jabatan sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Kuala Terengganu Ke-16 di sini, hari ini.

Graduan Diploma Kejuruteraan Elektronik Komunikasi itu kehilangan bapanya, Awang Besar Mohammad kerana penyakit gout dan buah pinggang pada Disember tahun lalu, manakala ibunya, Saadiah Mohamad, meninggal dunia selepas beliau selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lapan tahun lalu.

“Saya anggap kejayaan ini adalah berkat pengorbanan saya untuk bapa ketika hayatnya.

“Pastinya saya sedih tidak dapat berkongsi kejayaan ini kerana bapa bersungguh mahu saya melanjutkan pengajian dan arwah sempat menghantar saya mendaftar di Politeknik ini walaupun keadaannya kurang sihat ketika itu,” katanya sambil menahan sebak.

Nur Saliza berkata, selepas ibunya meninggal, beliau menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat di Politeknik Perlis dan di UniKL, tetapi terpaksa menolak kerana mahu menjaga ayahnya yang uzur.

“Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerana jarak sekolah tidak jauh daripada rumah.

“Jadi bolehlah saya menjaga ayah memandangkan kakak dan abang sudah berkeluarga dan tinggal berjauhan,” katanya.

Saliza berkata, selepas tamat STPM pada 2013, penyakit bapanya semakin teruk dan memaksanya menjalani rawatan di hospital lebih kerap.

“Ketika itu saya terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah kerana terpaksa menghantar dan menjaga arwah ayah di hospital memandangkan tahap kesihatannya tidak menentu.

“Bagaimanapun, saya menyambung semula pengajian kerana arwah ingin saya menyambung pelajaran bagi menjamin masa depan,” katanya.

Nur Saliza yang kini tinggal bersama kakaknya, Nazirah Awang Besar, 27, berhasrat menyambung pelajarannya selepas ini dalam bidang pendidikan kerana ingin mencapai cita-cita sebagai pendidik.

Sumber: Berita Harian

Ketua Menteri Melaka terima ijazah doktor kehormat

CANSELOR MMU, Tun Zaki Tun Azmi menyampaikan Ijazah Doktor Kehormat Pengetahuan Sains kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron pada Majlis Konvokesyen ke-18 MMU di Cyberjaya. – Foto Nor Shayaumil Qhairil Eemann

CYBERJAYA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menerima Ijazah Doktor Kehormat Pengetahuan Sains pada Majlis Konvokesyen ke-18 Universiti Multimedia (MMU), di sini hari ini.

Ijazah disampaikan Canselor MMU, Tun Zaki Tun Azmi pada sesi pertama hari pertama konvokesyen yang berlangsung selama tiga hari itu di Dewan Tun Canselor MMU.

Anugerah itu bagi mengiktiraf sumbangan besar Idris yang banyak melakar kejayaan dan pembangunan dalam bidang sains dan teknologi kepada negara khususnya di Melaka.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Dr Halim Shafie dilantik sebagai Pro Canselor MMU.

Beliau menggantikan Tan Sri Ir Md Radzi Mansor yang meninggal dunia pada Julai lalu.

Seramai 4,048 graduan menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen kali ini.

Sumber: Berita Harian

Kesusahan ibu bapa pembakar semangat

 

PASIR GUDANG: Kesusahan ibu bapa mencari rezeki bagi menyara keluarga menjadi kekuatan kepada pelajar Orang Asli, Jesy Hamdan, 17, untuk melakar keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), November ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Litar, Mersing, itu antara 185 pelajar yang menyertai Seminar Kecemerlangan Peperiksaan 2017 anjuran Yayasan FELCRA dengan kerjasama BH, di sini, hari ini.

Anak penoreh getah itu berkata, melihat penat lelah ayahnya keluar menoreh seawal jam 5 pagi hingga 1 tengah hari setiap hari, membuatkan dirinya mahu membalas jasa ibu bapa dan mengubah nasib keluarga dengan memperoleh keputusan SPM terbaik.

Menceritakan pengalamannya, beliau pernah mengulang kaji pelajaran dalam keadaan gelap apabila janakuasa yang digunakan di rumahnya rosak.

“Saya tinggal di kawasan kampung di pedalaman Mersing dan terpaksa menggunakan lilin setiap kali janakuasa rosak atau kehabisan minyak.

“Kesusahan ayah untuk mencari wang bagi menyara keluarga membuatkan saya semakin bersemangat untuk mendapatkan keputusan cemerlang pada peperiksaan nanti,” katanya ketika ditemui pada seminar itu.

Seminar dua hari itu dirasmikan oleh Setiausaha Eksekutif Yayasan FELCRA, Hashimuddin Hashim.

Yang turut hadir, Pengurus Pembangunan Peserta FELCRA Berhad Wilayah Johor, Azhaniza Jamaludin dan Pengarang Pendidikan BH, Fadzlena Jafar.

Hashimuddin berkata, Yayasan FELCRA memberi peluang kepada seramai 3,414 pelajar menyertai Seminar Kecemerlangan Peperiksaan iaitu 1,892 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 1,520 calon SPM, bermula April lalu.

Beliau berkata, seminar itu adalah inisiatif Yayasan FELCRA bagi membantu pelajar mendapatkan strategi menjawab soalan secara berkesan sebelum menghadapi peperiksaan sebenar.

“Saya berharap pelajar dapat memanfaatkan semua pendedahan dan teknik yang diberikan dan menggunakan masa yang ada untuk mengulang kaji pelajaran.

“Terima kasih kepada BH yang membawa dan mengenal pasti penceramah yang berkaliber untuk mencapai objektif program ini. Saya berharap kerjasama dalam seminar ini, boleh diteruskan pada tahun akan datang,” katanya.

Yayasan FELCRA memperuntukkan kira-kira RM1.36 juta sepanjang tahun ini bagi menganjurkan 20 siri seminar berkenaan dengan kerjasama BH bagi membantu meningkatkan pencapaian anak peserta FELCRA dalam akademik.

INFO
Seminar Kecemerlangan Peperiksaan Yayasan FELCRA

  • Program penutup khusus untuk calon SPM
  • Seminar 2 hari merangkumi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah
  • Seramai 185 calon SPM membabitkan 26 sekolah di Johor

Sumber: Berita Harian

‘Mahu balas jasa ibu’

KAJANG: “Saya hadiahkan kejayaan ini kepada ibu saya, seorang ibu tunggal yang bekerja keras membesarkan saya dan kakak kembar sejak kami berusia empat tahun,” kata graduan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL), Pheobe Shafinaz Jasni.

Penerima Anugerah Naib Canselor pada Konvokesyen ke-15 IUKL itu berkata, beliau mahu membalas jasa ibunya, Ritadewi Ramdzan, 45, yang banyak berkorban dan memberi sokongan kepada beliau untuk berjaya dalam setiap bidang yang diceburinya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (kepujian) dalam Komunikasi Pemasaran Bersepadu itu berkata, biarpun sibuk dengan pelbagai program kesukarelawanan dan penganjuran projek di universiti, selain terbabit dalam aktiviti peragaan separuh masa, akademik tetap diberi keutamaan.

“Memang memenatkan apabila perlu terkejar ke sana sini untuk melakukan banyak perkara dan dalam masa sama fokus kepada pengajian, namun ia menyeronokkan serta berbaloi apabila kita memperoleh pelbagai pengalaman.

“Saya sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik, justeru apabila bakat kita dihargai pensyarah membuatkan saya lebih bersemangat,” kata gadis kelahiran Kuala Lumpur yang meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.933 itu ketika ditemui pada majlis konvokesyen IUKL, di sini, hari ini.

Seramai 1,050 graduan menerima sijil masing-masing terdiri daripada empat penerima ijazah doktor falsafah, 54 ijazah sarjana, 679 ijazah sarjana muda dan 313 diploma.

Majlis sesi pertama disampaikan oleh Canselor IUKL, Tan Sri Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, manakala sesi kedua dan ketiga disempurnakan oleh Pro Canselor IUKL, Datuk Lee Yee Cheong.

Yang turut hadir, Naib Canselor IUKL, Prof Dr Roslan Zainal Abidin dan Pengerusi Lembaga Pengelola IUKL, Tan Sri Hadenan Abdul Jalil.

Seorang lagi penerima Anugerah Naib Canselor IUKL yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian, Lai Jet Kee, 24, berkata sepanjang tempoh pengajian, beliau perlu belajar lebih rajin kerana lemah dalam subjek bahasa.

Beliau yang meraih PNGK 3.90 berkata, sebagai pelajar yang mengikuti sekolah aliran Cina, beliau perlu berusaha lebih untuk mendalami bahasa Inggeris dan Melayu bagi memahami perbendaharaan kata dalam nota pensyarah.

“Saya memang amat mahir dalam pengiraan, namun untuk benar-benar memahami pengajaran pensyarah saya akan meluangkan lebih masa untuk belajar.

“Usaha saya selama ini berbaloi dengan kejayaan yang diperoleh hari ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

UUM terima anugerah di Kazakhstan

MOHAMED Mustafa (kanan) menerima anugerah Best Islamic Finance Education Provider pada edisi ketujuh GIFA yang diadakan di Astana, Kazakhstan, baru-baru ini – Foto ihsan UUM

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dipilih sebagai satu daripada pemenang anugerah berprestij Global Islamic Finance Award (GIFA) 2017.

UUM dianugerahkan ‘Best Islamic Finance Education Provider’ pada edisi ketujuh GIFA yang diadakan di Astana, ibu kota Kazakhstan, di sini baru-baru ini.

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak hadir menerima anugerah itu pada majlis yang turut dihadiri Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan UUM di sini hari ini, anugerah itu sebagai pengiktirafan kepada komitmen penyedia pendidikan kewangan Islam dalam menyediakan profesional kewangan Islam yang mahir untuk mengekalkan pertumbuhan industri berkenaan.

Sementara itu, Prof Mohamed Mustafa berkata, ini ialah kali ketiga UUM menerima pengiktirafan daripada GIFA dalam kategori berbeza.

Beliau berkata, dua pengiktirafan yang diterima UUM sebelum ini bagi kategori GIFA Market Leadership (For Education in Islamic Banking & Finance) pada 2016 di Jakarta, Indonesia dan ‘Best Islamic Finance Qualification’ melalui progam Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam pada 2013 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Sumber: Berita Harian

UPSR: Ada pelan tindakan banjir

MAHDZIR bergambar dengan pemenang selepas Majlis Penyampaian Hadiah Esei Anugerah Duta Linguistik DKLS di Putrajaya, hari ini. – Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan sudah bersedia jika berdepan dengan masalah banjir yang mungkin berlaku di beberapa kawasan sepanjang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) minggu depan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof dan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian sudah mengambil langkah awal dengan menyediakan pelan tindakan bagi menghadapi bencana alam berkenaan.

“Jika hujan berterusan, sudah tentu ada masalah banjir. Justeru, kementerian sudah mengenal pasti beberapa sekolah yang berisiko tinggi dilanda banjir dan kebanyakannya sekolah di tepi sungai terutama di Sarawak.

“Ada beberapa kawasan yang kita sudah buat persediaan untuk pelajar itu mengambil peperiksaan di tempat lain jika sekolah mereka dilanda banjir,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Esei Anugerah Duta Linguistik DKLS di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alias Ahmad.

Sementara itu, Mahdzir berkata, pihaknya akan bertemu dengan Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan (Kongres) pada 12 September ini bagi membincangkan isu salah laku dan masalah disiplin di sekolah.

Beliau berkata, pihaknya akan terus mendekati kesatuan guru sebagai satu usaha untuk mendapatkan kaedah penyelesaian dalam pelbagai isu.

Sumber: Berita Harian