‘Puas dapat berbakti kepada orang lain’

SHAH ALAM: Kemahiran menjalankan projek komuniti sehingga berjaya meningkatkan kehidupan masyarakat pedalaman, membantu graduan Malaysia, Nur Farhana Nadirah Hassan, 24, muncul juara sulung Anugerah MyASEAN Youth (MAYA) 2017, baru-baru ini.

Program anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu bertujuan menyediakan platform kepada alumni kumpulan pertama skim latihan industri TalentCorp-MITI, MyASEAN Internship, melaksanakan projek bertema ‘Impak Sosial’ bagi menyuntik perubahan kepada masyarakat di Asia Tenggara.

Nur Farhana yang juga graduan Management & Science University (MSU) berkata, dia meraih kemenangan melalui projek Revolusi Tohor yang memfokus kepada penambahbaikan tiga elemen kehidupan, iaitu kesihatan, pendidikan dan sosioekonomi penduduk Orang Asli suku Temuan di Kampung Tohor, Negeri Sembilan.

“Penilaian akhir untuk anugerah ini membabitkan dua peringkat, iaitu pertama memerlukan calon menghantar video rakaman pelaksanaan projek dibangunkan.

“Kedua, calon perlu membuat pembentangan di hadapan panel juri, termasuk mengenai latar belakang diri dan pengisian projek dijalankan, selain sesi soal jawab,” katanya ketika ditemui di MSU di sini.

Secara keseluruhan, penganjuran MAYA 2017 selaras usaha membangunkan wilayah lebih bersepadu dan mengubah ASEAN menjadi pusat ekonomi serantau yang paling penting.

Program julung kali diadakan itu menerima sambutan menggalakkan daripada lebih 50 alumni negara ASEAN sebelum disenarai pendek kepada tiga finalis.

Mengulas lanjut mengenai projeknya, Nur Farhana Nadirah berkata, masyarakat Orang Asli terbabit dipilih kerana golongan itu kurang mendapat pendedahan mengenai kepentingan memajukan kehidupan mereka dalam tiga elemen berkenaan.

Elemen kesihatan menyaksikan beliau memberi pendedahan dan pengajaran berhubung aspek kebersihan tubuh, penjagaan diri serta pemeliharaan kawasan sekitar yang berjaya diterapkan oleh penduduk di situ.

Bagi elemen pendidikan pula, beliau menerangkan kepentingan ilmu untuk masa depan generasi muda dan menerusi usaha itu, buat pertama kali ada anak penduduk berkenaan yang mendaftar sebagai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.

Selain itu, beliau berjaya menarik minat kanak-kanak dan remaja di situ terhadap ilmu sains, termasuk melalui dokumentari mengenai angkasawan.

“Memandangkan kaum lelaki di perkampungan itu memiliki kemahiran teknik meraba ikan, projek ini menyaksikan pembinaan kolam ikan tilapia dan keli untuk mereka usahakan dan menjana ekonomi tetap. Disasarkan hasil jualan mencecah RM10,000 berbanding kira-kira RM500 sebulan ketika ini.

“Saya juga membantu mengkomersialkan kraf tangan daripada anyaman kelarai dan bakul daun kelapa yang dihasilkan kaum wanita di perkampungan itu bagi menjana ekonomi bulanan lebih tinggi,” katanya yang ingin menjadikan Kampung Tohor hab pelancongan terkenal.

Bagi membangunkan projek itu, beliau memperuntukkan modal RM20,000, iaitu masing-masing RM10,000 hasil kegiatan keusahawanan dijalankan di universiti dan dana pemberian penganjur.

Menyentuh cabaran dari segi persediaan, Nur Farhana Nadirah berkata, beliau mengambil masa dua minggu untuk merakamkan video dan membuat persiapan pembentangan.

“Sebagai pekerja dengan amanah tugas di pejabat, saya terpaksa menggunakan cuti hujung minggu dan memperuntukkan beberapa jam sehari bagi memastikan projek ini berjalan lancar,” katanya.

Mengulas kepentingan MAYA 2017 secara peribadi, Nur Farhana berkata, anugerah itu bukan sahaja memberi peluang untuk mengetengahkan hasil projek tetapi juga menggalakkan pembabitan belia dalam kerja kemasyarakatan dan membantu menambah baik kehidupan.

Beliau berkata, penyertaan dalam anugerah bertaraf antarabangsa itu membolehkan dia meneruskan minat terhadap kerja kebajikan yang disertai sejak di universiti.

“Saya puas apabila dapat berbakti kepada orang lain. Kerja kebajikan ini juga menyedarkan saya bahawa masyarakat Orang Asli lebih hebat dari segi kemahiran diri dan bakat, cuma kurang mendapat pendedahan, peluang serta bantuan.

“Ia juga membantu saya menjadi individu lebih positif, prihatin, menghargai orang lain, berpengetahuan luas dan menyumbang idea ke arah pembangunan kehidupan masyarakat,” katanya.

PROFIL

Nur Farhana Nadirah Hassan

Umur: 24 tahun

Tarikh lahir: 31 Januari 1993

Tempat lahir: Ipoh, Perak

Kedudukan dalam keluarga: Anak bongsu daripada empat adik-beradik

Pendidikan tinggi: Ijazah Sarjana Muda Kewangan, MSU

Kerjaya: The Complete Banker Associate di CIMB Group Holdings Berhad

Trivia:

– Minat membaca bahan berunsurkan falsafah dan psikologi

– Gemar melayari Internet

– Menyukai sukan bola keranjang dan badminton

– Memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.86

– Penerima Anugerah Presiden, Anugerah Dekan dan Mohd Shukri Yajid Outstanding Award daripada MSU

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Dalami teknik pertanian ‘gogo rancah’ di Mataram

LOMBOK: Bagi mendalami teknik penanaman padi di tanah berkelembapan rendah, sekumpulan pelajar jurusan pengurusan sumber tanah (LARM), Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), mengadakan lawatan akademik ke Fakultas Pertanian, Universitas Mataram (UNRAM) di sini, baru-baru ini.

Kunjungan delegasi diketuai Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian UPM, Dr Daljit Singh Karam, bersama pensyarah, Dr Dzarifah Zulperi itu berhasil mendapatkan maklumat mengenai teknik terbabit dikenali sebagai gogo rancah.

Pada pertemuan itu, Dekan Fakultas Pertanian UNRAM, Dr Ir Sukartono, menjelaskan bahawa teknik gogo rancah berjaya menambah hasil tuaian padi, sekali gus mempertingkat pulangan ekonomi kepada Mataram.

Periuk nasi utama

Beliau berkata, malah Mataram yang dahulunya antara kawasan kurang maju, kini menjadi satu daripada ‘periuk nasi’ utama Indonesia sehingga menjadi pengeksport beras.

“Teknik gogo rancah meliputi pembentukan kolah air atau embung, kebanyakannya dijalankan di kawasan selatan Mataram kerana taburan hujan rendah. Bagi kawasan yang menerima taburan hujan tinggi, Mataram dapat menghasilkan padi tiga kali setahun.

“Embung menyalurkan air dari kawasan tinggi ke kawasan rendah. Oleh itu, kawasan penanaman padi di sini adalah bukit yang dibuat secara teres dengan biji benih padi ditabur terus atau ‘direct seeding’ sebelum musim hujan,” katanya.

Pendedahan amat berguna kepada peserta selaras fokus bidang LARM pada teori dan praktikal pembangunan tanah dengan mampan membabitkan ilmu sains, perundangan serta konservasi tanah, pengurusan sisa pencemaran dan pengurusan tanah secara lestari.

Sementara itu Ketua Pelajar LARM, Fakulti Pertanian UPM, Mohd Shahrul Nizam Mohd Salleh, berkata destinasi berkenaan dipilih kerana Mataram bukan sahaja terkenal dalam bidang pertanian tetapi juga pelancongan.

Penggunaan optimum

Melalui kunjungan itu, beliau berkata, mereka menyaksikan penggunaan tanah secara optimum untuk pertanian seperti penanaman padi, jagung, cili dan kacang, sekali gus menunjukkan kepentingan bidang itu amat dititikberatkan di Lombok yang ada kira-kira empat juta penduduk.

“Kami juga berpeluang melawat Pulau Gili Trawangan, mendekati penduduk tempatan di Benang Stokel, mengenali gaya hidup etnik Sasak dan menyaksikan penghasilan mutiara yang sinonim dengan Lombok,” katanya.

Pertanian bandar

Peserta, Hilmy Sazlin Azny Abdul Aziz, pula berkata corak pembangunan tanah antara Malaysia dengan Indonesia amat berbeza kerana sektor pertanian bandar masih kurang di Malaysia.

“Di Lombok, penanaman padi secara komersial dijalankan di sebelah lapangan terbang. Saya pasti bahawa pertanian bandar boleh dilaksanakan secara besar-besaran di Malaysia jika pelbagai faktor dalaman dan luaran pembangunan tanah diambil kira,” katanya.

Seorang lagi peserta, Norizah Ramly, berkata segala ilmu pengajian dan pengalaman ditimba hasil lawatan itu akan digunakan sebaik mungkin sekiranya terbabit dalam bidang pembangunan kawasan serta penyelesaian masalah berkaitan kelak.

Sumber: Berita Harian

Ci Coffee hasil kaji selidik di 4 negara

KUALA LUMPUR: Minat terhadap kopi dan coklat memberi ilham kepada Muhammad Safwan Zaharudin untuk membuka perniagaan berasaskan dua produk itu menerusi jenama Ci Coffee.

Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam (Pengajian Islam), Universiti Malaya (UM) itu berkata, kaji selidik dilakukannya mendapati permintaan terhadap dua produk itu adalah tinggi dalam kalangan pelajar di universiti berkenaan.

Berikutan itu, beliau turut mengunjungi Ho Chi Minh, Vietnam, dan Aceh, Indonesia, untuk membuat kaji selidik serta bertemu janji dengan pengeluar kopi bagi mempelbagaikan produk jualan.

“Ci Coffee dalam proses menjadi syarikat francais dan membuka cawangan ke universiti awam (UA) lain serta institusi pendidikan tinggi swasta di Malaysia, di samping membuka kedai berkonsepkan kafe.

Kendali kios

“Alhamdulillah, Ci Coffee berjaya mewakili UM ke pertandingan Varsity Entrepreneurship Skills And Talents (VEST) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, baru-baru ini, selain bersaing dalam Johor Corporation Intraprenuer Challenge 2.0,” katanya ketika dihubungi.

Menceritakan permulaan minatnya terhadap dunia perniagaan, anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu berpengalaman menjadi Timbalan Pengarah Kelab Usahawan Muda di sekolah menengah.

Ketika itu, beliau bertanggungjawab mengendalikan kios selama setahun yang menyaksikan pendapatan diraih amat memberangsangkan sehingga dicalon sebagai kios terbaik sekolah pada peringkat Negeri Sembilan.

Titik tolak minat

Sewaktu berada dalam Tingkatan Lima pula, beliau dilantik sebagai Ketua EXCO Ekonomi Badan Pengawas sekolah yang mempunyai koperasi sendiri di asrama dan berjaya meraih pendapatan menggalakkan.

“Itulah titik tolak minat saya terhadap dunia perniagaan selepas melihat peluang dan kelebihan bidang ini yang juga dapat memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Bagi memantapkan lagi jenama Ci Coffee, Muhammad Safwan berazam mempertingkat usaha, termasuk dengan menyertai lebih banyak program keusahawanan, pengurusan dan pemasaran untuk menambah ilmu perniagaan.

Selepas beberapa bulan beroperasi di Akademi Pengajian Islam UM, katanya, beliau mampu meraih purata pulangan kira-kira RM6,000 sebulan.

“Perancangan dalam masa terdekat ialah membuka satu lagi cawangan di Kompleks Perdanasiswa UM selepas mengenal pasti lokasi yang strategik,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Malim Gunung Kinabalu gembira terima biasiswa

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Almacrest International Collage, Stephanie Yen Chung Wai (tiga dari kiri) bersama Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Junaydie Sihan (kanan) serta malim gunung yang menerima pengiktirafan daripada Royal Institute Singapore di Kota Kinabalu. – Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: “Saya gembira dengan biasiswa ini dan akan mengambil peluang ini untuk meneruskan pengajian dalam bidang berkaitan dengan kerja sekarang,” kata Junaydie Sihan, 40.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu ialah sebahagian daripada 135 malim Gunung Kinabalu yang mendapat tajaan biasiswa dan pengiktirafan daripada Almacrest International College, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sijil pengiktirafan daripada Royal Institution Singapore di Menara Tun Mustapha, di sini hari ini.

Junaydie juga merakamkan terima kasih kepada Almacrest International College dengan tajaan biasiswa itu yang dianggap sebagai penghargaan kepada malim gunung yang terbabit membantu mangsa gempa bumi, kira-kira dua tahun lalu.

“Saya percaya ramai malim gunung yang mendapat biasiswa ini terutama yang masih muda akan meneruskan pembelajaran mereka ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu dalam majlis yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Unit Pengurusan Almacrest International College, Stephanie Yen Chung Wai, berkata seramai 135 malim Gunung Kinabalu mendapat tajaan biasiswa dan pengiktirafan daripada kolej berkenaan.

Katanya, tajaan biasiswa dan pengiktirafan itu ialah tanggungjawab sosial korporat (CSR) kolej itu bagi menghargai bantuan yang diberikan malim gunung kepada pelancong dalam dan luar negara, ketika gempa bumi di Ranau pada Jun 2015.

“Ini sebahagian daripada CSR kita bagi membolehkan malim gunung atau anak-anak dan saudara mereka meneruskan pembelajaran ke peringkat diploma di kolej ini menerusi tajaan biasiswa berkenaan.

“Seramai 131 daripada 135 malim gunung itu akan mendapat biasiswa sebanyak RM6,000 seorang manakala bagi empat malim gunung yang terkorban, pengajian anak atau saudara mereka selama dua tahun di kolej itu akan ditanggung sepenuhnya, iaitu sebanyak RM20,000 seorang.

“Sekiranya malim gunung itu sudah berusia, mereka boleh memindahkan biasiswa itu kepada anak-anak atau saudara lain,” katanya.

Sebanyak enam kursus yang ditawarkan pada peringkat diploma di Almacrest International College antaranya dalam bidang ekonomi, perakaunan dan pemasaran.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan biasiswa itu mencecah RM900,000.

Tragedi gempa bumi bermagnitud 5.9 skala Richter pada 5 Jun lalu mengegarkan Sabah sekaligus meragut 18 nyawa serta mengakibatkan kerosakan harta benda terutama di Ranau.

Daripada 18 mangsa yang terkorban dalam kejadian gempa bumi itu, sembilan daripadanya ialah warganegara Singapura, enam Malaysia, masing-masing seorang dari Jepun dan China manakala seorang merupakan warganegara Filipina yang menjadi penduduk tetap di Singapura.

Sumber: Berita Harian

Penuntut OKU UniSZA belajar dalam talian

MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (dua kiri) bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (kiri) bertanya kepada Ahmad Faiz Ibrahim, 19 yang menghadapi kecacatan otak bahagian saraf kawalan yang dipanggil ‘Celebral Palsy’ menyebabkan tidak boleh duduk atau berjalan antara pelajar yang memasuki Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) beri keistimewaan mengikuti kuliah dirumah tanpa berada di bilik kuliah di Majlis Perasmian Asrama Taman Ilmu di Asrama Taman Ilmu, Besut. – Foto Mohamad Ishak

JERTIH: Bekas pelajar cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2016, Ahmad Faiz Ibrahim, 19, terus membuktikan kecacatan bukan penghalang untuknya meneruskan cita-cita melanjutkan pengajian ke universiti.

Ahmad Faiz, dari Kampung Demit, Kubang Kerian, Kelantan, yang menghidap penyakit palsi serebrum, iaitu kecacatan otak bahagian saraf kawalan antara pelajar beruntung apabila Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membenarkan beliau mengikuti pengajian di rumah tanpa perlu berada di bilik kuliah.

Keistimewaan itu diberikan kerana anak sulung dari lima beradik itu tidak boleh duduk atau berjalan, tangan tidak mampu memegang barang dan hanya mampu duduk di kerusi roda.

Ahmad yang sebelum ini muncul pelajar cemerlang STAM 2016 di Kelantan, diterima melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usuluddin) di UniSZA di Falkulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA.

“Saya gembira dan sangat bersyukur kerana dapat membuktikan kepada orang lain, remaja OKU seperti saya juga boleh berjaya jika ada kemahuan,” katanya.

Beliau dibawa khas oleh UniSZA sempena majlis perasmian Asrama UniSZA oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Taman Ilmu Tembila, dekat sini hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh yang ditemui pada majlis itu berkata, pihaknya akan memberi keistimewaan dan kelonggaran kepada penuntut terbabit untuk mengikuti pengajian secara dalam talian dan beliau hanya perlu mengikuti kuliah di rumah.

“Ahmad Faiz turut diberikan komputer riba sumbangan Menteri Besar untuk kemudahan belajar, manakala UniSZA akan membuat pemantauan terhadapnya sepanjang pengajian di rumah.

“Ahmad Faiz penuntut pertama diberi kemudahan seumpama ini kerana beliau mempunyai kebolehan luar biasa dan mampu bersaing dengan individu normal,” kata Idris.

Idris berharap dengan peluang diberikan, Ahmad Faiz dapat melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi.

Ahmad Faiz mencuri perhatian ramai apabila muncul sebagai antara pelajar terbaik STAM 2016 di Kelantan, walaupun terpaksa menjawab soalan peperiksaan dengan bantuan dagu dan mulut.

Sumber: Berita Harian

Pelajar OKU bertuah diterima UUM

TIMBALAN Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof.Dr. Abdul Malek Abdul Karim (tiga dari kanan) melihat Nur Syiham menggunakan kemudahan fasiliti Van Orang Kurang Upaya yang baharu milik Universiti Utara Malaysia selepas sidang media Pendaftaran Pelajar Baru sesi 2017/2018 di Inasis Petronas Universiti Utara Malaysia (UUM). – Foto Sharul Hafiz Zam

SINTOK: Kesukaran berjalan seperti insan normal kesan daripada barah tulang belakang dihidapi tidak pernah membataskan hasrat seorang gadis menyambung pengajiannya ke peringkat lebih tinggi.

Nur Syiham Naz’izan, 20, yang mendaftar sebagai pelajar baharu di Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini, tekad berusaha memastikan masa depan yang lebih cerah.

Anak sulung daripada empat beradik itu menghadapi masalah apabila kedua-dua kakinya di bahagian buku lali kerap kejang kesan daripada penyakit dihidapinya sembilan tahun lalu.

Pada 2008, Nur Syiham berkata, dia lumpuh akibat kanser tulang belakang, iaitu ketika di Tahun Lima di Sekolah Kebangsaan Bandar Tasek Puteri, Selangor.

“Saya menjalani rawatan kimoterapi serta turut menjalani pembedahan. Selepas setahun, saya pulih dan kembali berjalan.

“Bagaimanapun kesannya saya menghadapi masalah saraf yang menyebabkan buku lali saya kejang dan tidak mampu berjalan dan berdiri lama seperti orang lain,” katanya yang masih menjalani rawatan susulan setiap tahun di Hospital Kuala Lumpur.

Nur Syiham yang menyambung pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam (Kepujian) ialah sebahagian daripada 4,957 pelajar baharu UUM yang mendaftar di Inapan Siswa PETRONAS di sini.

Nur Syiham yang menetap di Sungai Petani, dekat sini, mengakui bernasib baik kerana diterima UUM memandangkan universiti itu menyediakan pelbagai kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

“Saya dimaklumkan UUM menyediakan pelbagai kemudahan untuk individu seperti saya termasuk penginapan mesra OKU serta laluan khas untuk kami ke kelas.

“UUM juga mempunyai bas khas untuk OKU dan saya rasa lega apabila mendapat tahu mengenainya hari ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kembar sambung ijazah bersama

PASANGAN kembar, Nurul Nadiah (kiri) dan Nurul Najwa menunjukkan surat tawaran ketika tiba pada hari pertama pendaftaran pelajar baharu UTM sesi 2017/2018 di Kolej 9, UTM, Skudai. – Foto NSTP/Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHRU: Selepas tiga tahun bersama di peringkat diploma, sepasang kembar sekali lagi teruja apabila ditawarkan Ijazah Sarjana Muda, juga dalam jurusan sama di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pasangan Nurul Nadiah Abdul Halim dan Nurul Najwa Abdul Halim, 21, kini menyambung pengajian dalam jurusan Pengurusan Sumber Manusia.

Pasangan yang berasal dari Johor dan kini menetap di Bangi, Selangor itu sebelum ini menuntut Diploma Pengurusan Teknologi di UTM Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Nadiah berkata, beliau bersyukur kerana sehingga kini tidak berpisah dengan adik, Najwa.

“Walaupun kali ini bilik bersebelahan, saya bersyukur. Boleh ulang kaji dan belajar bersama adik, tambah pula kursus sama.

NURUL Nadiah (kanan) dan Nurul Najwa mengemas barangan keperluan di dalam bilik kolej ketika tiba pada hari pertama pendaftaran pelajar baharu UTM sesi 2017/2018 di Kolej 9, UTM, Skudai. – Foto NSTP/Hairul Anuar Abd Rahim

“Cita-cita kami juga sama dalam bidang sumber manusia dan harapan kami untuk mendapat anugerah dekan pada setiap semester pengajian di sini,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar, berkata seramai 6,101 pelajar ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda dan pascasiswazah di universiti itu.

“Ia membabitkan 4,012 pelajar sarjana muda dengan pecahan 3,612 penuntut tempatan, manakala baki 400 lagi pelajar antarabangsa.

“Bagi pascasiswazah, seramai 1,235 membabitkan 1,015 pelajar tempatan dan 220 pelajar antarabangsa ditawarkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana, manakala 854 lagi peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kolej Rahman Putra, di sini bagi meninjau suasana hari pendaftaran, hari ini.

Sumber: Berita Harian