SMKSSAAS juara Kuiz Sejarah dan Patriotisme 2017

PASUKAN SMKSSAAS ceria menunjukkan piala dan sijil dimenangi mereka pada Pertandingan Kuiz Sejarah dan Patriotisme 2017 peringkat Selangor yang diadakan di Shah Alam, hari ini. – Foto Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SMKSSAAS) Shah Alam muncul juara Pertandingan Kuiz Sejarah dan Patriotisme 2017 peringkat sekolah menengah seluruh Negeri Selangor yang diadakan, di sini, hari ini.

Tempat kedua dimenangi pasukan dari SMK Puncak Alam, manakala SMK Bandar Sungai Buaya, Rawang, di tempat ketiga.

Dengan kemenangan itu, SMKSSAAS membawa pulang piala dan sijil penyertaan, sekali gus mewakili Selangor ke pertandingan sama peringkat kebangsaan yang dijadual diadakan di Seremban, Negeri Sembilan pada 21 Ogos ini.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Datuk Orang Kaya Maha Bijaya Petaling, Datuk Emran Kadir.

Yang turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana, Abdul Ghaffar Bakar; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKSSAAS, Datuk Ahmad Mua’dzam Shah Ya’akob, dan pengetua sekolah, Azizan Yusoff.

Pada majlis itu, turut berlangsung Pelancaran Bulan Kebangsaan 2017 peringkat sekolah.

Sementara itu, Emran dalam ucapannya berkata, penting untuk masyarakat berbilang kaum negara ini terutama pelajar menghayati sejarah pembentukan Malaysia dengan menyeluruh.

“Program seperti ini secara tidak langsung dapat menggalakkan pelajar dengan nilai-nilai murni, semangat patriotisme dan cintakan negara khususnya bagi memperingati jasa dan sumbangan pejuang kemerdekaan terdahulu,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Advertisements