Teater Bilik guna penceritaan ganas

KUALA LUMPUR: Pementasan teater Bilik membawa mesej ringkas, namun sarat cabaran tersendiri untuk dipersembahkan sempena Penilaian Tahun Akhir (PeTA) Diploma Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Pengarahnya, Mohamad Zulhusni Abdul Aziz, berkata beliau mengambil masa tiga bulan untuk membuat segala persiapan merealisasikan teater itu, baru-baru ini.

“Cabaran terbesar ialah meletakkan konsep dan latar bagi pemahaman penonton kerana karya ini sebenarnya berat walaupun idea asal ringkas.

“Teater ini menggunakan penceritaan ganas bertema ‘Apokalips’. Justeru, semua elemen meliputi set pentas, kostum dan tatarias perlu menepati asas konsep ini,” kata ketika ditemui.

Bilik mengisahkan sekumpulan pembunuh yang tinggal bersama di satu ruang, berantakan ekoran kehadiran seorang wanita bernama Noraishah, yang dibawa seorang daripada mereka.

Peraturan bilik itu ialah orang baharu, terutama mangsa yang mereka ingin bunuh, tidak dibenarkan memasuki ruang berkenaan dan jika dilanggar, individu terbabit akan dibunuh.

Mengulas lanjut, Mohamad Zulhusni berkata, persediaan dari aspek pentas ialah antara elemen utama dititikberatkan kerana tidak boleh menggunakan set besar dan statik.

Dari segi kostum pula, pihaknya terpaksa mengolah semula baju lama sedia ada berikutan tiada bajet besar, selain mencipta melodi baharu untuk lagu.

“Cabaran lain ialah melatih pelakon membawa watak pembunuh kejam. Ia agak sukar apabila perlu mengajar tiga pelakon wanita, namun mereka berjaya menjiwainya hasil sesi latihan,” katanya.

INFO

Teater Bilik

Sinopsis

Mengisahkan sekumpulan pembunuh terdiri daripada lima orang dewasa yang tinggal di sebuah bilik, iaitu Hasni, Fared. Faridah, Hamed dan Helmy.

Selepas menyelesaikan misi, mereka berjumpa di dalam bilik dan berbual mengenai hasil pembunuhan dilakukan sambil menikmati kopi.

Ketika berbual, Hamed membuat satu keputusan memeranjatkan, iaitu membawa pulang seorang wanita bernama Noraisah. Hal itu mencetuskan kekecohan antara mereka.

Noraisah yang dibawa ke bilik itu dan dikurung di dalam sangkar, berasakan dirinya bakal dibunuh oleh kumpulan berkenaan. Noraisah meronta di dalam sangkar, sementara lima orang dewasa terbabit bergaduh sesama mereka.

Pergaduhan itu berterusan sehingga mengakibatkan kematian Hasni, Fared, Helmy dan Faridah. Cuma tinggal Hamed dan Noraisah di dalam bilik.

Hamed dan Noraisah berasakan hubungan mereka berjaya menyelamatkan nyawa kedua-duanya, namun kopi ditinggalkan di atas meja menjadi hidangan terakhir Hamed.

Pengarah: Mohamad Zulhusni Abdul Aziz

Sinografer: Ahmad Solehin Jamingun

Pelakon: Siti Nurbainun Nor Harizan, Farahan Nadjwa Mohd Najib, Raja Syaqinah Raja Abdullah, Muhamad Amirul Illias, Mohd Fadhli Masoot

Sumber: Berita Harian

‘Bukan semua mampu miliki peranti’

Antara pengakap yang menyertai Jambori Pengakap Negeri Kedah Kali ke lima dan Persaudaraan Antarabangsa 2017. – Foto Noorazura Abdul Rahman

BUKIT KAYU HITAM: Kementerian Pendidikan tidak mewajibkan setiap pelajar membawa peranti ke sekolah dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) kerana memahami tidak semua waris mampu menyediakan alat itu untuk anak mereka.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata peranti hanya akan digunakan sebagai alat tambahan bagi membantu pelajar membuat rujukan serta lebih interaktif antara guru dan pelajar.

“Perkara ini sangat sensitif pada pandangan masyarakat, jadi pihak saya ingin menegaskan, membawa alat peranti ini bukan wajib dan bukan satu paksaan, proses PdP masih berjalan seperti biasa.

“Tidak semua mampu memiliki peranti…ia berdasarkan keupayaan yang ada, malah pihak kementerian juga sedar tidak semua kawasan sekolah mempunyai liputan Internet yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pembukaan Rasmi Jambori Pengakap Negeri Kedah Kali Kelima dan Persaudaraan Antarabangsa 2017 di Kolej Pertanian Malaysia, di sini, malam tadi.

Seramai 4,000 pengakap dari Malaysia, Indonesia dan Thailand menyertai jambori pengakap berkenaan, sekali gus menjadi penyertaan paling ramai berbanding empat penganjuran sebelum ini.

Antara pengakap yang menyertai Jambori Pengakap Negeri Kedah Kali ke lima dan Persaudaraan Antarabangsa 2017. – Foto Noorazura Abdul Rahman

Yang turut hadir, Ketua Pengakap Negara, Tan Sri Shafei Mohd Salleh.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, sehingga kini, panel bersama Kementerian Pendidikan menetapkan hanya peranti yang dibenarkan sahaja dibawa ke sekolah berikutan alat itu sudah lama digunakan di sekolah berasrama penuh dan berprestasi tinggi.

Katanya, biarpun terdapat cadangan untuk membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah kerana fungsinya hampir sama, alat komunikasi itu belum termaktub dalam peraturan Kementerian Pendidikan.

“Telefon bimbit tak ada dalam peraturan, satu hari nanti apabila sampai masa kita boleh tetapkan.

“Buat masa sekarang, kita tetapkan peranti yang dibawa ke sekolah bukan telefon bimbit.

“Bagi penggunaan peranti ini pula, kementerian juga belum putuskan berapa jam sehari ia akan digunakan dalam PdP, termasuk waktu dan subjek yang sesuai untuk menggunakannya,” katanya.

Kementerian Pendidikan sebelum ini pernah bercadang membenarkan penggunaan alat peranti di sekolah bagi tujuan Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdP) dalam kelas mengikut masa dan subjek yang akan ditetapkan.

Sumber: Berita Harian