Proses peralihan IPG dijangka selesai 2020

MELAKA: Kementerian Pendidikan menjangkakan proses peralihan status Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada politeknik dan Kolej Vokasional akan selesai menjelang tahun 2020.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Dr Amin Senin, berkata setakat ini kementerian sudah merangka penyusunan bagi tujuan latihan kepada pensyarah IPG selaras dengan perkembangan serta keperluan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Proses peralihan sudah dilakukan secara berperingkat dan dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun.

“Pensyarah di institut itu (IPG) juga diberi latihan permulaan untuk kefahaman (sebelum beralih sepenuhnya),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Kementerian Pendidikan: Program Sokongan Komuniti Terhadap Guru, Sekolah peringkat negeri di Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini, hari ini.

Peralihan status IPG dilakukan kerajaan susulan pembentangan Bajet 2017 yang menyaksikan sembilan IPG di seluruh negara ditukar status selaras perkembangan serta keperluan TVET.

Yang turut hadir, Timbalan EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md Rawi Mahmud dan Pengarah Pendidikan negeri, Abu Bakar Sahari.

Sementara itu, Amin berkata, kementerian itu akan memperluaskan program berkenaan di seluruh negara dengan membawa masuk komuniti untuk terbabit sama dalam pelaksanaan aktiviti bersama murid dan guru.

“Melalui NBOS dengan pelbagai agensi kerajaan, ia dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan,” katanya.

Aktiviti berpusat NBOS di UTC negeri menyaksikan kerjasama Kementerian Pendidikan bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di tingkat satu, Perpustakaan Awam Melaka (tingkat enam) dan Jabatan Belia dan Sukan (tingkat lapan).

Sumber: Berita Harian

Advertisements