UTM-NAHRIM jalin kerjasama tingkat kualiti air

DR Wahid (dua dari kiri) menukar dokumen bersama Dr Azuhan (dua dari kanan) disaksikan Prof Dr Khairul Anuar (kiri) dan Mohd Fauzi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) di Menara Razak. – Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjalin kerjasama dengan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) bagi aktiviti penyelidikan membabitkan bidang kejuruteraan air.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar, berkata kerjasama yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) itu akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi maklumat serta menjalankan aktiviti berkaitan bersama.

Katanya, antara aktiviti akan dijalankan ialah penggunaan fasiliti bersama, penyelidikan termasuk perkongsian data batimetri, ombak, laut, melaksana kerja lapangan, perundingan serta penganjuran seminar.

“UTM menerusi Jabatan Hidraulik dan Hidrologi, Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) giat menjalankan kajian bidang hidraulik meliputi kesan iklim kepada taburan hujan, air bumi, sungai, pencemaran, banjir, empangan, hakisan dan kejuruteraan pantai.

“Bidang ini selaras dengan misi NAHRIM untuk memberi perkhidmatan cemerlang sebagai pusat pakar rujuk kebangsaan dalam bidang air dan persekitarannya untuk memastikan pembangunan dan peningkatan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani MoU antara UTM dengan NAHRIM di Menara Razak UTM, hari ini.

Pada majlis itu, UTM diwakili Wahid, manakala NAHRIM diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Ir Dr Azuhan Mohamed dan disaksikan oleh Dekan FKA UTM, Prof Dr Khairul Anuar Kassim serta Timbalan Ketua Pengarah NAHRIM, Ir Mohd Fauzi Mohamad.

Wahid berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak itu sudah lama terjalin membabitkan penyelidik dan pensyarah dalam kajian bersama berkaitan penuaian air hujan, kesan perubahan iklim kepada padi, sawit serta getah.

“Kami juga bekerjasama dalam kajian status kualiti air tasik, pembangunan pengurusan tasik di Sembrong dan Batang Ai.

“Diharap kerjasama ini akan memberi impak kepada masyarakat, selari dengan harapan Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Idris Jusoh) yang menamakan 2017 ini sebagai tahun ‘Translational Research’,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Proses peralihan IPG dijangka selesai 2020

MELAKA: Kementerian Pendidikan menjangkakan proses peralihan status Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada politeknik dan Kolej Vokasional akan selesai menjelang tahun 2020.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Dr Amin Senin, berkata setakat ini kementerian sudah merangka penyusunan bagi tujuan latihan kepada pensyarah IPG selaras dengan perkembangan serta keperluan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Proses peralihan sudah dilakukan secara berperingkat dan dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun.

“Pensyarah di institut itu (IPG) juga diberi latihan permulaan untuk kefahaman (sebelum beralih sepenuhnya),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Kementerian Pendidikan: Program Sokongan Komuniti Terhadap Guru, Sekolah peringkat negeri di Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini, hari ini.

Peralihan status IPG dilakukan kerajaan susulan pembentangan Bajet 2017 yang menyaksikan sembilan IPG di seluruh negara ditukar status selaras perkembangan serta keperluan TVET.

Yang turut hadir, Timbalan EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md Rawi Mahmud dan Pengarah Pendidikan negeri, Abu Bakar Sahari.

Sementara itu, Amin berkata, kementerian itu akan memperluaskan program berkenaan di seluruh negara dengan membawa masuk komuniti untuk terbabit sama dalam pelaksanaan aktiviti bersama murid dan guru.

“Melalui NBOS dengan pelbagai agensi kerajaan, ia dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan,” katanya.

Aktiviti berpusat NBOS di UTC negeri menyaksikan kerjasama Kementerian Pendidikan bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di tingkat satu, Perpustakaan Awam Melaka (tingkat enam) dan Jabatan Belia dan Sukan (tingkat lapan).

Sumber: Berita Harian

Graduan perlu beri nilai tambah pada diri

SHAH ALAM: Graduan Management & Science University (MSU) perlu sentiasa memberi nilai tambah kepada diri sendiri dengan terus belajar dan menambah ilmu ke peringkat lebih tinggi, sejajar dengan pembelajaran sepanjang hayat.

Canselor MSU, Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Hamimah Hamidun bertitah, graduan perlu berusaha, mengejar dan meneroka pelbagai bidang ilmu dengan peluang pendidikan yang ditawarkan di negara ini, terutamanya MSU.

“Apa yang penting, kesungguhan dan keinginan untuk terus berjaya dengan cemerlang. Cabaran hari ini sudah tentu tidak sama dengan apa yang dilalui semalam, serta apa yang bakal dihadapi esok dan tahun mendatang.

“Beta ingin berpesan, graduan jangan bataskan diri. Graduan perlu ada keberanian dan semangat bersaing dalam menghadapi persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar,” titah baginda.

Baginda bertitah di Majlis Konvokesyen MSU Ke-21 yang berlangsung hari ini dan esok, di kampus MSU di sini.

Sementara itu, Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid pula mengingatkan graduan MSU agar mengelakkan kejayaan segera yang tidak memotivasikan mereka ke arah kecemerlangan dalam pelajaran dan kerjaya kelak.

“Saya ingin memastikan budaya kecemerlangan dalam pelajaran dibawa dalam bidang kerja. Budaya kejayaan segera tiada nilai integriti dan akan menyebabkan pelajar hilang minat sebenar untuk belajar.

“Saya selalu nasihatkan dan beri semangat kepada graduan MSU agar mengekalkan budaya kompetitif dalam belajar dan budaya kecemerlangan. Jangan ikut budaya kejayaan segera kerana ia merosakkan semangat sebenar untuk berjaya,” katanya.

Mohd Shukri berkata, pada istiadat konvokesyen kali ini seramai 35 graduan dianugerahkan Doktor Falsafah, 42 graduan menerima ijazah sarjana, 883 graduan menerima ijazah sarjana muda dan 911 graduan menerima diploma.

Beliau berkata, MSU turut menganugerahkan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Farmaseutikal kepada Profesor Dr Kenji Sugibayashi, Presiden Universiti Antarabangsa Josai (JIU), Jepun.

“Penganugerahan ini adalah pengiktirafan terhadap kepimpinan dan sumbangan beliau dalam memacu perkembangan JIU dalam bidang pendidikan di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Lima lagi kategori anugerah khas graduan cemerlang turut diberikan kepada 59 graduan atas pencapaian mereka dalam bidang masing-masing iaitu Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Presiden, Mohd Shukri Yajid Outstanding Award, Anugerah Akademik dan Anugerah Industri,” katanya.

Sumber: Berita Harian

SMK Mutiara Impian wakili negara ke Piala Gothia 2017

PENGURUS Umum Daerah Amphenol TCS Malaysia Sdn Bhd, Datuk Lee Teong Li (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan dana kepada Jurulatih SMK Mutiara Impian, Muhammad Faqhri Sobri(tiga dari kiri) di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Georgetown. – Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

GEORGETOWN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Impian, Simpang Ampat, melakar sejarah apabila terpilih mewakili negara ke kejohanan bola sepak Piala Gothia 2017 di Shenyang, China.

SMK Mutiara Impian dipilih ke kejohanan tahunan berprestij itu selepas mengetepikan sebuah pasukan dari negara jiran, Indonesia, pada pusingan kelayakan dengan jaringan 1-0, pada Mac lalu di Kuala Lumpur.

Acara kemuncak kejohanan remaja dunia itu akan berlangsung dari 13 hingga 19 Ogos ini. Kejohanan itu akan disertai 160 pasukan dari seluruh dunia.

Jurulatih SMK Mutiara Impian, Muhammad Faqhri Sobri, berkata beliau tidak menyangka pasukan bimbingannya mampu mencipta kejayaan sehingga menjadi sekolah pertama di Pulau Pinang akan mewakili negara ke kejohanan itu.

Beliau berkata, meskipun hanya sempat berlatih dalam tempoh singkat kerana jadual persekolahan padat, ia tidak mematahkan semangat pemain untuk mengekalkan kecemerlangan.

“Kami sudah membuat persiapan rapi dan berlatih bersungguh-sungguh untuk memastikan persembahan cemerlang ketika di China nanti.

“Kami menyasarkan untuk berada dalam kelompok empat terbaik,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian dana di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, di sini.

Sumber: Berita Harian