Reka cipta pelajar memukau pada pameran ‘Luminous’

SHAH ALAM: Sebanyak 144 hasil reka cipta 72 pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Perindustrian (Kepujian), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, diketengahkan pada pameran ‘Luminous’ di sini, baru-baru ini.

Pameran itu membabitkan 27 model kenderaan, 45 perabot dan 72 produk dengan pelbagai kegunaan yang mengambil kira keperluan dan isu dihadapi masyarakat di negara ini.

Pensyarah Kanan Jabatan Seni Reka Perindustrian, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) UiTM, Norhayati Che Daud, berkata pelajar memilih tema ‘Luminous’ bagi menggambarkan daya pukau hasil karya mereka dan kebolehan dimiliki.

“Idea ditampilkan pelajar jurusan ini semakin bagus, malah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) FSSR, Prof Madya Alias Yussof turut mengaku karya dihasilkan sangat menarik dan boleh dikomersialkan.

Terus dipergiat

“Pihak fakulti amat berharap kreativiti mereka tidak terhenti di sini, sebaliknya terus dipergiat apabila menceburi dunia pekerjaan kelak,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan pameran itu yang disempurnakan oleh Prof Madya Alias.

Sempena pameran itu, Redzuan Salwi dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Keseluruhan atas prestasi cemerlang sepanjang menyiapkan projek tahun akhir jurusan berkenaan, manakala Mohamad Hazwan Harun muncul Pelajar Terbaik Rekaan Pengangkutan dan Amirul Aswad Rusli pula Pelajar Terbaik Rekaan Perabot.

Mengulas kejayaannya, Redzuan berkata, model kenderaan Lexus Deca yang dicipta memiliki fungsi kegunaan di darat dan ditukar menjadi bot ketika banjir.

“Tujuan model kenderaan ini dihasilkan ialah menyelesaikan dua isu, iaitu banjir dan mengurangkan impak apabila melalui jalan berlubang.

Ada kelebihan

“Antara kelebihan ialah boleh terapung kerana tayarnya dilengkapi kipas. Tayar itu juga tidak menggunakan udara tetapi bahan elastik yang dapat mengurangkan impak jika kenderaan melanggar lubang, sekali gus menurunkan risiko kemalangan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Hazwan pula menghasilkan model kenderaan berat ‘Scania Cobra X’ bersama idea mengaplikasikan bentuk sisik ular tedung selar atau King Cobra pada rekaan kepala pengangkutan berkenaan.

“Hasil reka cipta ini ada kelebihan seperti pengesan yang boleh memberi amaran kepada pemandu sekiranya melebihi had laju atau kenderaan mempunyai masalah imbangan.

“Saya mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan model kenderaan ini yang membabitkan kos kira-kira RM700,” katanya.

INFO
Pameran ‘Luminous’

  • Berlangsung selama tiga hari di FSSR, UiTM Shah Alam
  • Diadakan bagi menilai projek tahun akhir pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Perindustrian (Kepujian)
  • Turut dihadiri penilai luar terdiri daripada pihak industri

 

Sumber: Berita Harian

YSS platform terbaik bentuk pemimpin sukarelawan

PESERTA YSS menyiapkan makanan untuk hidangan harian kepada 1,500 pelarian dalam program ‘Kitchen In Calais” di Kem Calais, Perancis. – Foto ihsan YSS

SUKARELAWAN adalah perkataan tidak asing lagi dalam masyarakat kita pada zaman serba moden ini. Aktiviti kesukarelawanan adalah aktiviti atau pekerjaan dianggap mulia serta dipandang tinggi oleh masyarakat saentaro dunia, lebih-lebih lagi apabila terdapat golongan mahasiswa yang turut serta dalam aktiviti mulia ini.

Mahasiswa pada zaman ini mula menampakkan minat mendalam dalam aktiviti kesukarelawanan yang dianjurkan sama ada di kampus ataupun badan sukarelawan di Malaysia mahupun luar negara.

Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) adalah 100 peratus hak milik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang begitu aktif dalam menjalankan aktiviti kesukarelawanan membabitkan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang pengajian seperti mahasiswa Universiti Awam (UA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Kolej Komuniti.

YSS adalah satu platform begitu baik untuk golongan mahasiswa melatih diri dan mengasah bakat supaya menjadi seorang pemimpin sukarelawan siswa yang akan disegani oleh masyarakat dunia.

Mahasiswa yang terpilih untuk menyertai misi sukarelawan di bawah pimpinan YSS perlu melalui satu sesi temu duga diadakan di zon Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Temu duga itu biasanya akan dihadiri oleh ribuan mahasiswa daripada seluruh negara dan hanya mahasiswa layak sahaja akan terpilih.

Kebanyakan mahasiswa terpilih untuk menyertai misi sukarelawan YSS mempunyai latar belakang kepimpinan di universiti masing-masing seperti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Presiden atau Exco Persatuan serta mahasiswa yang aktif menjalankan program berimpak di universiti.

Terpilih untuk menyertai Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Miri, Sarawak pada Februari lalu adalah satu peluang dan ruang yang telah diberikan untuk melatih diri dan menimba pengalaman supaya menjadi seorang pemimpin sukarelawan siswa di pentas global.

Misi sukarelawan ini yang berkonsepkan ‘immersion’ dan ‘right volunteers for the right job’disertai oleh 121 sukarelawan siswa  termasuk dua mahasiswa dari Vietnam dan dua lagi dari Laos bagi mempromosikan semangat Asean kepada golongan mahasiswa serta masyarakat Malaysia.

Mengembangkan potensi diri

Sebelum terbang ke Bumi Kenyalang, Sarawak, sukarelawan siswa perlu mengikuti Pre-Departure Training (PDT) selama dua hari bertempat di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Negeri Sembilan dan selama satu hari di IPG Kampus Miri, Sarawak.

YSS adalah satu badan organisasi sukarelawan yang begitu sistematik dan strategik kerana sukarelawan akan diberi latihan, ilmu pengetahuan dan pendedahan mengenai negeri Sarawak serta perlu mengetahui Standard Operating Procedure (SOP) ketika menjalankan aktiviti sukarelawan di pedalaman Sarawak.

Selepas menamatkan sesi PDT, sukarelawan siswa YSS bertolak ke lima perkampungan yang terletak di dua daerah iaitu Bekenu dan Beluru. Setiap perkampungan akan didiami oleh 24 sukarelawan dan akan menjalankan aktiviti sukarelawan di sana selama dua minggu.

Ditempatkan di Rumah Panjang (Rh) Ayai, Bekenu yang memakan masa hampir dua jam perjalanan darat daripada IPG Kampus Miri berbaloi apabila kedatangan sukarelawan siswa disambut mesra oleh semua penghuni Rh Ayai yang diketuai oleh Tuai Rumah, En Ayai anak Sawing.

Untuk pengetahuan semua, penghuni di Rh Ayai adalah kaum Iban yang majoritinya beragama Kristian. Oleh itu, sukarelawanan siswa perlu mempunyai sikap toleransi dan saling menghormati serta menghargai perbezaan baik dari segi agama, suku kaum dan adat setempat.

Membabitkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan di pedalaman Sarawak telah membuka peluang kepada sukarelawan siswa YSS untuk mengembangkan potensi diri seperti kemahiran berkomunikasi,  penyelesaian masalah, bekerjasama dalam satu kumpulan serta memupuk semangat ikhlas dalam membantu masyarakat dunia.

Oleh itu, mahasiswa berjiwa sukarelawan sudah pasti akan menjadi seorang pemimpin yang mempunyai sikap prihatin dan cakna terhadap masyarakat di sekeliling mereka.

Penulis ialah Ketua Jabatan Kerohanian dan Integrasi Sosial Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2016/2017 dan Alumni Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS)

Sumber: Berita Harian

Pakar perubatan bertunjangkan ajaran Islam

SEBAHAGIAN latihan yang dijalankan dalam program sarjana perubatan USIM.

NILAI: Menyedari keperluan untuk mewujudkan kumpulan pakar perubatan bertunjangkan ajaran Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memulakan program pengajian perubatan dan sains kesihatan melalui Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK).

Timbalan Dekan Akademik & Penyelidikan FPSK, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, berkata fakulti itu memulakan operasinya dengan pengambilan 29 pelajar perubatan pada tahun 2005 yang kini telah lulus sebagai doktor perubatan dan sedang berkhidmat di hospital di bawah Kementerian Kesihatan.

Katanya, FPSK baru-baru ini dianugerahkan akreditasi penuh oleh Agensi Kelayakan Malaysia dan Majlis Perubatan Malaysia yang menjadi asas kepada hasrat untuk menawarkan program pengajian tahap lebih tinggi iaitu program Sarjana Sains Perubatan.

“Hasrat kami ialah untuk melahirkan pengamal perubatan yang mampu bertindak sebagai pemimpin ummah, justeru pengajian di FPSK diolah secara holistik untuk mencapai matlamat ini.

“Bakal doktor keluaran USIM dilatih bukan saja dalam bidang perubatan dan pembedahan, tetapi juga dalam pengajian Islam peringkat tinggi dengan kursus berteraskan al-Quran dan Sunnah yang diadun secara langsung sebagai sebahagian daripada kurikulum pengajian,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Mewujudkan kolaborasi

Kursus di FPSK merangkumi Hafalan Al-Quran, Hadith dan Sunnah Rasulullah, Bahasa Arab, Sejarah Perubatan Islam, Fiqh dan lain-lain.

Mengulas mengenai program Sarjana Sains Perubatan, Dr Rafidah Hanim berkata ia dimulakan tahun lalu secara mod teradun atau ‘mixed mode’ merangkumi sebanyak 30 peratus secara kerja kursus dan baki 70 peratus secara penyelidikan.

TIMBALAN Dekan Akademik & Penyelidikan FPSK, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.

Katanya, pelajar perlu lulus 14 jam kredit yang merangkumi kursus wajib fakulti iaitu kursus Falsafah Sains Islam, Kaedah Kajian, Analisis Data, Etika penyelidikan, serta kursus Prosedur Saintifik dan Kemahiran Makmal.

“Baki jam kredit pelajar akan dipenuhi dengan kursus penulisan penyelidikan iaitu Tesis I, Tesis II dan Tesis III.

“Bagi mengukuhkan lagi program ini, FPSK juga telah mewujudkan kolaborasi dengan pelbagai institut penyelidikan perubatan di Malaysia bagi menyebarluaskan penyelidikan pelajar pascasiswazah,” katanya.

Mematuhi prinsip Islam

Dr Rafidah Hanim berkata, program Sarjana Perubatan itu diharap akan dapat melahirkan profesional perubatan yang berkemahiran dan berpengetahuan dalam bidang sains perubatan, selain dapat menyediakan perkhidmatan dan perundingan berkesan.

Katanya, pengamal perubatan dari USIM juga akan menjadi pemangkin kepada profesionalisme kedoktoran yang mematuhi prinsip dan nilai Islam, serta bertindak selaras dengan keperluan syarak.

“Doktor yang dilahirkan dari program ini juga diharapkan akan dapat mengadaptasikan teknologi terkini dalam amalan profesional mereka, selain akan terus meneroka kepakaran mereka dalam pelbagai bidang sains perubatan mengikut keperluan dan perkembangan semasa.

“Penawaran program sarjana perubatan ini juga diharap akan mampu menjadi penggerak visi FPSK untuk memartabatkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang perubatan dan sains kesihatan, sekali gus mengeluarkan graduan holistik yang mampu berkhidmat kepada masyarakat, negara dan umat manusia,” katanya.

INFO

  • Program Sarjana Sains Perubatan ini dibuka kepada pelajar dalam dan luar negara.
  • Ditawarkan dalam dua tempoh pengajian iaitu secara sepenuh masa dengan minimum empat semester, dan separuh masa dengan minimum lima semester.
  • Terdapat 6 opsyen untuk syarat kemasukan ke program sarjana ini, dan program sarjana lain di USIM.
  • 1 tahun pengalaman kerja adalah bersamaan dengan 0.05 PNGK.

Syarat kemasukan ke program sarjana di USIM adalah:

1.  Ijazah Sarjana Muda (dengan Kepujian) yang berkaitan, dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) minimum 2.75 dari Universiti

2. Ijazah Sarjana Muda (dengan Kepujian) yang berkaitan, yang diiktiraf oleh Senat dengan pencapaian seperti berikut:

(a) Jayyid, atau

(b) PNGK 2.75 / 4.00 dan ke atas, atau

(c) PNGK 3.50 / 5.00 dan ke atas, atau

(d) markah keseluruhan sebanyak 60 peratus dan ke atas

3. Ijazah Sarjana Muda yang berkaitan daripada Universiti atau mana-mana institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Senat dengan gred berikut dan sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman kerja yang relevan selepas memperoleh:

(a) tahap Makbul, atau

(b) PNGK kurang daripada 2.75 / 4.00 tetapi lebih daripada 2.50 / 4.00, atau

(c) PNGK kurang daripada 3.50 / 5.00 tetapi lebih daripada 3.00 / 5.00, atau

(d) markah keseluruhan kurang daripada 60 peratustetapi lebih daripada 50 peratus

4. Kelayakan lain yang setaraf dengan Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian dan pengalaman kerja profesional yang berkaitan

5. Diploma Lanjutan berkaitan dengan PNGK 2.75 / 4.00 dan ke atas dari institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Senat dan dengan sekurang-kurangnya lima (5) tahun pengalaman kerja yang berkaitan; atau

6. Diploma Lanjutan berkaitan dengan PNGK 2.50 / 4.00 dan ke atas dari institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Senat dan dengan sekurang-kurangnya 10 tahun pengalaman kerja berkaitan.

Sumber: Berita Harian

Inovasi ‘Super Magic Rice’

JELI: Melihat kepada proses penyediaan nasi kerabu yang rumit dan perlu melalui tempoh yang lama untuk disiapkan mendorong pasukan inovasi dari Sekolah Menengah (SM) Sains Jeli, di sini, membangunkan produk inovasi Super Magic Rice.

Guru pasukan inovasi sekolah itu, Salmi Suhani Kamaruddin, berkata inovasi diketengahkan adalah berkonsep beras berwarna hijau yang menggunakan pewarna semula jadi daripada daun pitang yang tidak toksik serta boleh bertukar kepada nasi berwarna ungu gelap apabila dimasak.

Beliau berkata, lebih penting, produk berkenaan dapat menjimatkan masa, di samping dapat mengelakkan penggunaan pewarna tiruan dalam menghasilkan nasi kerabu.

“Proses awal adalah mengekstrak daun pitang menjadi air ekstrak daun pitang (WEP) sebelum direndam ke dalam beras selama 30 minit serta dikeringkan dengan ketuhar pada suhu 45 darjah selama 30 minit.

“Seterusnya, WEP ini diuji ketoksikannya menggunakan Brine Shrimp Lethality Test (BSLT) dengan keputusan menunjukkan WEP adalah tidak toksik.

“Kandungan WEP diuji menggunakan High Pressure Liquid Chromatography (HPLC) dan didapati beberapa antosianin yang menyebabkan warna beras bertukar selepas dimasak,” katanya kepada BH Skor, baru-baru ini.

Salmi Suhani menjelaskan produk berkenaan masih pada peringkat prototaip dan cadangan, selain perlu melalui beberapa fasa kajian saintifik untuk membuktikan keberkesanannya dari sudut saintifik dan klinikal.

“Inovasi ini mampu memberi impak positif kepada masyarakat khususnya bagi mengelak kesan terhadap kesihatan apabila menggunakan pewarna tiruan dalam makanan.

“Saya berharap supaya kajian lanjut seperti kaedah pembungkusan yang sesuai dan ujian terhadap jangka hayat produk ini dapat dijalankan bagi mendapatkan hak harta intelek (IP) sekali gus inovasi ini dapat dipasarkan dengan lebih meluas,” katanya.

INFO
Super Magic Rice

  • Mendapat sokongan pihak pentadbiran sekolah khususnya dari aspek kewangan dan galakan moral.
  • Kajian dijalankan dengan kerjasama pensyarah Fakulti Industri Asas Tani, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Shamsul Muhamad.
  • Pasukan inovasi terdiri daripada dua pelajar Tingkatan Empat iaitu Nurin Fatini Zukri Suzita dan Anis Sallsabila Zulkifli.
  • Memenangi pingat emas dalam Pertandingan International RMC Young Scientist Conference and Exhibition 2017(i-RYSCE17) yang diadakan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 10 hingga 15 Julai lalu.

Sumber: Berita Harian