Kawad kaki mantapkan disiplin

JERLUN: Menyedari kejayaan biasanya datang daripada usaha keras dan disiplin yang kental, maka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Kedah mewajibkan setiap pelajarnya untuk berkawad kaki sebagai salah satu elemen pemantapan jati diri.

Pengetuanya, Abdul Razak Mat, berkata idea memperkenalkan program kawad kaki untuk semua pelajar itu tercetus apabila mendapati negara hebat seperti Jepun dan Korea Selatan terkenal dengan budaya disiplin dan semangat patriotik yang tinggi.

“Melalui kemahiran berkawad kaki, pelajar akan belajar mendengar arahan dengan lebih baik daripada ketua dan bertindak mengikut arahan.

“Disiplin tinggi yang dipupuk semasa sesi latihan dan ketika pertandingan mampu mendidik pelajar supaya lebih fokus dengan pembelajaran di sekolah,” katanya kepada BH Minda, baru-baru ini.

Sehubungan itu, pihak sekolah turut menganjurkan pertandingan kawad kaki antara kelas bagi setiap tingkatan untuk melihat komitmen pelajar dengan setiap kelas diwajibkan menghantar satu pasukan bagi menyertai pertandingan berkenaan.

Abdul Razak berkata, pertandingan yang diadakan secara berperingkat mengikut tingkatan itu ternyata mampu menarik perhatian pelajar untuk aktif dalam kegiatan berkenaan.

“Menggunakan khidmat jurulatih kawad kaki dalaman dan dari luar sekolah, pelajar menunjukkan minat dan komitmen yang tinggi dengan sentiasa hadir sesi latihan.

“Malah ada yang mengambil inisiatif dengan sanggup datang sendiri untuk sesi latihan tambahan pada hujung minggu bersama rakan sepasukan,” katanya.

Beliau berkata, hasilnya, pelajar tampil lebih bersemangat dan berdisiplin, terutama dari segi pengurusan masa dan sikap.

Katanya, pelajar juga lebih peka dengan arahan guru di dalam kelas dan dapat memberikan fokus dengan lebih baik.

“Pelajar juga lebih menghargai masa dengan berusaha sebaik mungkin menepati masa, terutamanya jika bergerak ke makmal, surau atau ke kelas semasa waktu rehat,” katanya.

INFO

Program Kawad SMK Jerlun

– Mula diperkenalkan tahun lalu

– Membabitkan 418 pelajar Tingkatan Satu hingga Lima

– Sebanyak 16 kelas terbabit

Sumber: Berita Harian

Lepasan vokasional laris di pasaran

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. – Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Sebanyak 90 peratus atau 2,045 daripada 2,273 graduan dari 15 kolej vokasional (KV) rintis, yang menamatkan pengajian pada Ogos tahun lalu, sudah mendapat pekerjaan mengikut bidang yang dipelajari.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, sebanyak 41.74 peratus daripada 12,997 pelajar KV bagi kohort 2013 sudah bekerja dan pencapaian itu menunjukkan mereka mempunyai kemahiran serta diiktiraf pihak industri.

Katanya, program pengajian Diploma KV diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Pihak MQA telah selesai membuat verifikasi akreditasi penuh program diploma di 15 KV rintis, yang menawarkan 16 program.

“Kementerian menyasarkan untuk memperoleh akreditasi penuh pada Disember ini,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Abdul Azeez ingin mengetahui sejauh mana kebolehpasaran graduan KV dan usaha kementerian untuk menaik taraf kemudahan kolej berkenaan.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pelajar lepasan diploma KV juga boleh menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, ia sejajar dengan matlamat kementerian dalam Transformasi Pendidikan Vokasional, yang menyasarkan 70 peratus ke pasaran kerja, 20 peratus melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi dan 10 peratus menjadi usahawan.

Sumber: Berita Harian

2,058 sekolah kebangsaan kurang murid

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. – Foto Amir Irsyad Omar

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,058 sekolah kebangsaan (SK) di seluruh negara diletakkan dalam kategori sekolah kurang murid (SKM) iaitu mempunyai murid kurang daripada 150 orang.

Sebanyak 578 sekolah jenis kebangsaan Cina dan 360 sekolah jenis kebangsaan Tamil turut dikategorikan sebagai SKM.

Daripada jumlah itu, 132 SKM mempunyai murid seramai 20 orang ke bawah, manakala 44 sekolah mempunyai kurang daripada 10 murid.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kementerian mempunyai dua kaedah bagi menangani masalah 2,996 SKM di seluruh negara ini iaitu kelas bercantum dan sekolah bergabung.

“Kementerian sudah menjalankan Kajian Kebolehlaksanaan Kelas Bercantum di SKM dan penggabungan sekolah, tahun lalu bagi menangani perkara ini.

“Bagi Kelas Bercantum, murid Tahun Dua dan Tahun Tiga dicantumkan dalam satu kelas, begitu juga dengan murid Tahun Empat yang disatukan dengan murid Tahun Lima.

“Murid Tahun Satu dan Tahun Enam, tidak terbabit dan mereka kekal belajar di dalam kelas sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Lai Bujang (BN-Sibuti), yang bertanya mengenai kajian untuk menggabungkan SKM di Sarawak, di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, kaedah kedua ialah Sekolah Bergabung iaitu beberapa sekolah digabungkan menjadi satu sekolah.

Berdasarkan kajian rintis yang dijalankan di Kuala Lumpur, tiga sekolah iaitu SK Jalan Pasar digabungkan dengan SK Jalan Pasar 2 dan SK (L) Jalan Pasar, digabungkan menjadi satu.

“Di Parlimen Sibuti umpamanya, terdapat 27 SKM yang boleh digabungkan mengikut kesesuaian pelaksanaannya berdasarkan kajian rintis berkenaan.

“Penggabungan SKM ini boleh dilaksanakan secara berperingkat terutama untuk sekolah yang dalam lingkungan lima kilometer dari sekolah asal,” katanya.

Mahdzir berkata, jika penggabungan sekolah dilaksanakan, satu komponen yang perlu dibina adalah asrama bagi kemudahan murid.

Sumber: Berita Harian

PCG bantu murid kurang berkemampuan

KERTIH: PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu murid kurang bernasib baik di kawasan operasi mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Chemical Ethylene Sdn Bhd dan PETRONAS Chemicals Polyethylene Sdn Bhd, Rosfinah Ab Kadir, berkata program itu adalah kepentingan entiti perniagaan dalam pemerkasaan komuniti melalui bidang pendidikan yang menjadi tunjang perniagaan syarikat sejak sekian lama.

Katanya, Program Sentuhan Kasih ‘Kembali ke Sekolah’ yang memasuki tahun ketujuh itu adalah inisiatif PCG dengan matlamat memperbaiki keupayaan pelajar khususnya dalam menguasai subjek Sains dan Matematik, selain diharap meningkatkan teknik mengajar dalam kalangan pendidik.

“Kami bangga dapat berkongsi kejayaan dengan komuniti sekitar, malah pelbagai program berimpak tinggi sudah dijalankan bagi memperkasakan masyarakat setempat seperti program Sentuhan Kasih yang dilaksana ini.

“Harapan kami acara seumpama ini dapat memberi cetusan motivasi dan memanfaatkan murid serta modal insan negara pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih ‘Kembali Ke Sekolah’, Bengkel Kecemerlangan Sains dan Matematik serta Sumbangan Beg Sekolah yang diadakan di Petronas Chemical Ethylene dan Polyethylene Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pengurusan Kurikulum (Sains dan Matematik) Dungun, Azhan Abd Rahim; Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Wan M Hasnan Abdullah dan Pengarang Pendidikan BH, Fadzlena Jafar.

Sementara itu, Azhan berkata, sokongan badan korporat seperti PCG menganjurkan program CSR amat dialu-alukan bagi memperkasa sektor pendidikan ke tahap terbaik.

“Menerusi kerjasama pelbagai pihak ini, saya yakin usaha untuk mengembangkan potensi individu dapat dilakukan secara menyeluruh, seterusnya memastikan matlamat mewujudkan insan seimbang dari segi intelek seiring aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dapat dicapai.

“Selain itu, usaha yang dilakukan BH menerusi penganjuran bengkel kecemerlangan ini adalah amat bertepatan dan diharap supaya murid dapat mempraktikkan ilmu diperoleh bagi meningkatkan penguasaan dalam Sains dan Matematik,” katanya.

Pada majlis itu, Rosfinah turut menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada murid daripada keluarga kurang berkemampuan.

Info:

Program Sentuhan Kasih ‘Kembali ke Sekolah’ PCG

* Kerjasama strategik PCG-BH yang memasuki tahun kedua bertujuan memacu kelestarian pendidikan anak bangsa secara holistik.

* Bengkel Kecemerlangan Matematik dan Sains turut diadakan di Labuan; Sipitang, Sabah dan Gurun, Kedah

* Membabitkan seramai 243 peserta Tahun Satu hingga Lima dari lapan sekolah rendah sekitar daerah Kemaman dan Dungun.

* Antara sekolah terbabit iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Paka II, SK Paka III, SK Seri Paka, SK Tebing Tembah, SK Durian Mentangau, SK Kijal dan SK Kg Baru Rasau Kerteh 5.

Sumber: Berita Harian

Peminjam menganggur boleh runding dengan PTPTN

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. – Foto Ahmad Irham Mohd Noor.

KUALA LUMPUR: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang belum bekerja, boleh berunding dengan pegawai perbadanan itu bagi mengelakkan mereka disenarai hitam selain sukar mencari kerja.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ia disebabkan sesetengah majikan melihat pelbagai aspek termasuk penilaian sikap pemohon mengikut rekod PTPTN.

“Saya nasihatkan peminjam yang belum bekerja datang berbincang kerana PTPTN menganggap selepas beberapa bulan tamat belajar, peminjam sudah bekerja.

“Jika sudah bekerja tetapi tidak mampu bayar mengikut jumlah yang ditetapkan, juga kena berunding berdasarkan kemampuan mereka. Contohnya, jika RM100 tidak mampu, bayarlah RM50, PTPTN fleksibel dalam cara pembayaran balik.

“Bagaimanapun, agak menyedihkan masih ada yang sudah bekerja dengan gaji RM5,000 hingga RM10,000 sebulan tetapi enggan membuat bayaran walau sedikitpun, ” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Ke-13 Kolej Antarabangsa Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, 106 graduan menerima diploma masing-masing dalam pelbagai jurusan dan empat daripadanya menerima Anugerah Pelajar Terbaik YPC tahun 2017.

Yang turut hadir, Pengerusi YPC, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee yang bersama-sama melancarkan Auditorium Tan Sri Syed Abbas Alhabshee sebagai kemudahan tambahan sekolah angkat YPC.

Sumber: Berita Harian

Klinik UPSR BH bantu kecemerlangan murid

SEBAHAGIAN daripada peserta yang mengikuti Seminar Bimbingan Peperiksaan UPSR BH Didik yang diadakan di UMS, Kota Kinabalu, Sabah

KOTA KINABALU: Seminar Bimbingan Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), anjuran BH menyediakan panduan dan maklumat berguna kepada murid bagi menghadapi peperiksaan sebenar.

Guru Bahasa Inggeris, Ng Kiat Fung, berkata penceramah yang disediakan BH juga memberi penerangan tepat dan santai mengenai kaedah menjawab soalan memenuhi skema pemarkahan.

Kiat Fung, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Koporingan, Tuaran, berkata maklumat itu penting sebagai strategi calon mendapat markah maksimum A.

Beliau berkata, sejak tahun 2006, sekolahnya tidak pernah melepaskan peluang menghantar murid ke program itu bagi membolehkan peserta membuat persiapan rapi sebelum menduduki UPSR, September ini.

“Setiap tahun pasti ada murid saya berjaya meraih A. Kejayaan itu membuktikan program ini memang berkesan. Saya pastikan setiap tahun murid dari sekolah saya menyertai seminar ini,” katanya ketika ditemui pada seminar itu, di sini hari ini.

Seramai 600 peserta tidak melepaskan peluang mengikuti program selama dua hari itu yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Membabitkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Seminar itu disertai calon UPSR antaranya dari sekitar bandar Kota Kinabalu, Sandakan, Beaufort, Kudat, Lahad Datu, Papar, Tamparuli, Kunak, Kota Belud dan Tawau.

Sumber: Berita Harian

Kementerian Pendidikan hargai inisiatif YPC

Kementerian Pendidikan menghargai dan sentiasa menyokong usaha Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) melaksanakan pelbagai program pendidikan yang memberi manfaat besar kepada sekolah, guru dan pelajar.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM), Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, pihak­nya melihat YPC merupakan antara pertubuhan bukan kerajaan yang sangat aktif menjayakan banyak program pendidikan yang melibatkan pengetua, guru, pelajar dan juga ibu bapa.

Acara tahunan yang dihadiri 150 guru Sekolah Angkat YPC itu turut dimeriahkan oleh Pengerusi YPC, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa YPC, Datuk Dr. Noel Robert.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2000, YPC komited menganjurkan pelbagai program pendidikan antaranya seminar untuk guru, bengkel teknik menjawab soalan peperiksaan dan ceramah motivasi di samping memperkenalkan Anugerah Guru Bestari.

Menurut Khair, anugerah itu merupakan manifestasi bahawa profesion keguruan merupakan satu kerjaya yang mulia dan perlu diberikan penghargaan oleh masyarakat.

“Anugerah yang diadakan pada setiap dua tahun ini merupakan satu penghargaan, pengiktirafan dan suntikan semangat kepada guru-guru yang dicalonkan oleh sekolah masing-masing terutama mereka yang berkhidmat dengan cemerlang,” katanya.

Selain itu, ujar beliau, YPC juga banyak menyalurkan bantuan kewangan kepada semua sekolah angkat bertujuan membantu mereka melaksanakan program pendidikan di peringkat sekolah masing-masing bagi meningkatkan kualiti dan penguasaan pelajar dalam akademik.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan sentiasa menyokong usaha yang digerakkan oleh YPC dan harus diteruskan oleh agensi dan pertubuhan bukan kerajaan lain.

“Pelbagai program pendidikan yang digerakkan YPC merupakan hasil kerjasama dan penglibatan pihak kementerian dan jabatan pendidikan di semua zon sekolah angkat YPC,” ujarnya.