SK Seksyen 9 lancar Trak Patrol Denggi

SHAH ALAM: Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya denggi, Sekolah Berprestasi Tinggi – Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 Shah Alam mengambil inisiatif dengan melancarkan Trak Patrol Denggi.

Majlis pelancaran Trak Patrol Denggi sekolah itu telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim, baru-baru ini.

Yang turut hadir pada majlis itu Pengerusi PIBG, Prof Saifollah Abdullah dan Guru Besar, Isa Zakariya.

Trak itu yang digunakan untuk melaksanakan misi menggempur denggi, disumbangkan oleh Penaung Program Patrol Denggi, Datuk Azhar Muhammad yang juga Pengerusi Biforst Dinamik Sdn Bhd.

Pelaksanaan program dan majlis itu turut mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Pejabat Kesihatan Daerah.

Sementara itu, Isa berkata, dengan adanya trak itu, misi gempur denggi dapat disebarkan dengan lebih luas bagi menyedarkan masyarakat betapa bahayanya denggi.

Katanya, kejayaan program itu banyak bergantung kepada kerjasama erat antara ibu bapa dan guru.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Graduan jadi usahawan

ADUN Bebar, Mohamad Fakhruddin Mohd. Ariff (kanan) ketika mengadakan lawatan ke tapak bazar selepas merasmikan Penutup Karnival Perniagaan dan Perakaunan KPMIM 2017 di Kolej Profesional Mara, Indera Mahkota. – Foto Muhd Asyraf Sawal

KUANTAN: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mesti berusaha memiliki ilmu keusahawanan jika mereka mahu mencipta pekerjaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata kemahiran dalam bidang keusahawanan penting jika mereka mahu mengubah kehidupan selepas tamat pengajian.

Katanya, ilmu akademik saja tidak mencukupi jika mereka mahu meningkatkan taraf sosio ekonomi keluarga.

Beliau berkata, mahasiswa perlu ada kemahiran dalam bidang keusahawanan kerana bidang itu menjadikan pelajar lebih kompetetif serta berpotensi menjana pendapatan lumayan.

“Banyak IPT menyediakan program keusahawanan yang boleh diikuti pelajar. Latihan itu boleh juga diadakan dalam tempoh singkat, contohnya ketika cuti semester atau hujung minggu.

“Pelajar perlu merebut peluang ini dan menyertai kursus disediakan bagi meningkatkan lagi pengetahuan dalam keusahawanan,” katanya.

Beliau yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Perniagaan dan Perakaunan 2017 di Kolej Profesional MARA (KPM) Indera Mahkota, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah KPM Indera Mahkota, Dr Saadiah Abdul Rahman dan Pengarah MARA negeri, Salemi Yusoff.

Mohammad Fakhruddin turut menasihatkan pelajar supaya memiliki keperibadian tinggi dan berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

Katanya, sikap positif seperti itu penting dalam membantu melahirkan graduan berdaya saing.

Sumber: Berita Harian

Hasilkan graduan masa depan

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berucap pada majlis perasmian Seminar Revolusi Industri 4.0 Kementerian Pendidikan Tinggi di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur. – Foto NSTP/Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi akan membentangkan rangka kerja Pendidikan 4.0 kepada Kabinet, selewat-lewatnya pertengahan September ini.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata rangka kerja itu sebagai persediaan mempersiap pendidikan negara menghadapi ‘tsunami’ Revolusi Perindustrian 4.0.

Beliau berkata, kemunculan sistem fizikal siber itu yang sedang melanda seluruh dunia akan menyebabkan 60 peratus pekerjaan yang ada pada masa kini, lesap pada 2050.

Penggubalan rangka kerja itu, katanya, diketuai oleh Ketua Pengarah, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan akan dibentangkan di peringkat kementerian terlebih dulu, sebelum dibawa ke Kabinet, bulan depan.

“Kementerian sudah mempersiap elemen Revolusi Perindustrian 4.0 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan (Pendidikan Tinggi) untuk tempoh 2015 hingga 2025.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (kanan) dan Ketua Pakar Pendidikan Bank Dunia, Francisco Marmolejo disidang media selepas majlis perasmian Seminar Revolusi Industri 4.0 Kementerian Pendidikan Tinggi di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur. – Foto NSTP/Aswadi Alias

“Rangka kerja ini sebagai tambahan menyeluruh kepada persediaan kementerian mewujudkan silibus akademik dan kemahiran baharu untuk pelajar menceburi industri pekerjaan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Revolusi Industri 4.0 – Pendidikan Tinggi Terus Maju Dalam Era Revolusi Industri, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pakar Pendidikan, Bank Dunia, Francisco Marmolejo; Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mary Yap Kain Chin dan Ketua Setiausaha, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Seminar dua hari berkenaan menampilkan penceramah dari Microsoft Malaysia dan Jabatan Perdana Menteri, yang membabitkan 200 peserta dari dalam dan luar negara.

Mengulas lanjut, Idris menggesa pemain industri menyumbangkan idea untuk menghasilkan graduan yang menepati kehendak pasaran masa depan.

“Pemain industri sering memainkan sentimen graduan tidak memenuhi kehendak pasaran kerja.

“Kita minta mereka tampil berbincang kriteria yang diperlukan untuk graduan tempatan,” katanya.

Sementara itu, Marmolejo berkata, sistem pendidikan tinggi seluruh dunia akan mengalami perubahan berdasarkan Revolusi Perindustrian 4.0.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (tengah) berswafoto bersama Ketua Pakar Pendidikan Bank Dunia, Francisco Marmolejo (dua kanan), Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir Dr. Siti Hamisah Tapsir (kanan), Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching (dua kiri) dan Setiausaha Agung Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur (kiri) pada majlis perasmian Seminar Revolusi Industri 4.0 Kementerian Pendidikan Tinggi di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur. – Foto NSTP/Aswadi Alias

Beliau berkata, langkah Malaysia melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan menghadapi cabaran revolusi ialah satu tindakan ke hadapan.

Katanya, rangka kerja dan tindakan itu sangat baik bukan saja untuk masa depan tetapi juga keperluan semasa.

“Kami memerlukan institusi pendidikan tinggi untuk lebih fleksibel, lebih bersedia untuk menjangka masa depan.

“Menjelang 30 tahun akan datang, pasaran kerja dipenuhi dengan mereka yang berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran kritis,” katanya.

Sumber: Berita Harian

PPD akan diperkasakan – Mahadzir

KUCHING 23 Ogos – Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) akan diperkasakan bagi melancarkan tugas-tugas berkaitan pendidikan dan dasar yang ditetapkan di kawasan masing-masing.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata, pemerkasaan tersebut dibuat dengan menurunkan kuasa agar tidak semuanya perlu melalui Putrajaya.

Selain itu, soal penjawatan juga akan disentuh disamping memastikan semua PPD dapat berfungsi dengan baik dalam memastikan perlaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan PPD 2017 di sini hari ini. Seramai 142 PPD seluruh negeri bersidang selama tiga hari membincangkan pelbagai perkara berkaitan dasar pendidikan, amalan terbaik dan pelaksanaan PPPM yang telah memasuki gelombang kedua.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamed Yusof dan Pengarah Pendidikan negeri, Rakayah Madon.

KBAT: Masyarakat perlu terbuka

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Masyarakat perlu berfikiran terbuka dan me­nerima penerapan elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam sistem pendidikan negara ini memandang­kan pendidikan perlu berubah selari dengan kehendak semasa.

MAHDZIR KHALID

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau sedar sukar untuk memperkenalkan sesuatu yang baharu namun pada abad ke-21 ini masyarakat perlu ber­ubah dan mempu­nyai pemikiran baharu terutama dalam bidang pendidikan.

“Saya mempunyai keyakinan rakyat negara ini boleh membantu Kementerian Pendidikan dalam menjayakan KBAT tetapi ia merupakan satu proses yang panjang untuk dilaksanakan.

“Kita tidak perlu takut dan merasa rendah diri dengan hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan malah kita perlu ada sema­ngat yang kuat untuk melangkah menjadi sebuah negara maju,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Rahemah Idris dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Menurut Mahdzir, Kementerian Pendidikan turut menganjurkan bengkel yang melibatkan ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memberi pemahaman kepada mereka mengenai KBAT.

“Penerapan KBAT di dalam sistem pembelajaran masa kini memerlukan pemahaman dan sokongan semua pihak.

“Sebab itu dianjurkan bengkel terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman yang turut di­sertai ibu bapa bagi memastikan mereka memahami apa itu KBAT dan mengubah pemikiran mereka mengenai pendidikan,” ujarnya.

Katanya, Kementerian Pendidikan juga menyedari bahawa demografi negara ini berada dalam empat kategori iaitu pelajar di bandar, pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman.

Oleh itu, kata beliau, guru hendaklah membuat pengubahsuai­an kaedah pengajaran dengan mengambil kira demografi pelajar dan para guru juga perlu krea­tif serta berinovasi untuk mengajar menggunakan kaedah yang disesuaikan dengan persekitaran.

Perak ungguli kategori Forum Remaja, Sajak dan Sahibba Koakademik Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Tiga sekolah dari Perak mengungguli kategori Forum Remaja, Sajak dan Sahibba (Sekolah Rendah) pada Pertandingan Koakademik Bahasa Melayu peringkat Kebangsaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) – Kementerian Pendidikan Malaysia 2017, di sini hari ini.

Sekolah Menengah (SM) Sains Bagan Datoh, Perak dinobatkan sebagai johan kategori Forum Remaja, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sagor, Muhammad Airil Fitri Jalalluddin (sajak) dan murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Manjung, Sarah Najwa Mohd Shaharudin (sahibba).

Tempat kedua, ketiga dan keempat kategori Forum Remaja masing-masing dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, Pulau Pinang; SMK Agama Sultan Muhammad, Melaka dan SMK Sadong Hilir, Sarawak.

Bagi kategori Deklamasi Puisi (Sajak), tempat kedua dimenangi oleh pelajar SMK Tinggi Segamat, Johor, Nur Atirah Sofiya Mohd Nordin dan pelajar Maktab Sultan Ismail, Kelantan, Ahmad Amer Hakimi Saharuddin (tempat ketiga).

Pemenang tempat kedua, ketiga dan keempat kategori Sahibba Sekolah Rendah, masing-masing murid dari SK Seksyen 9, Kota Damansara, Selangor, Delima Humaira Ahmad Tarmizi; Muhammad Naufal Hariez Abu Hassan (SK Kerubong, Melaka) dan Mohd Sharizal Voo Jen Koh (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Choi, Sabah).

Kategori Deklamasi Puisi (Syair) pula dimenangi oleh pelajar SMK Agama Sheikh Haji Mohd Said, Negeri Sembilan, Muhammad Affan Mazlan, tempat kedua ialah Nur Adnin Roslan (SMK Sayong, Perak) dan tempat ketiga oleh Amira Badriyah Azaha (SMK Agama Maahad Muar, Johor).

Pelajar SM Sains Perempuan Seremban 1, Negeri Sembilan muncul juara bagi kategori Sahibba (Sekolah Menengah), diikuti pesaingnya, Mohammad Akmal Faramzsyam Syah Abdullah dari SMK Terusan, Sabah (tempat kedua), Dhania Hani Mohd Fadzil dari SMK Bandar Tenggara 2, Johor (tempat ketiga) dan Muhammad Fikri Sharunazim dari SM Sains Muzaffar Syah, Melaka (tempat keempat).

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan.

Yang turut hadir ialah, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas.

Kamalanathan berkata, pertandingan koakademik dilihat mampu menggalakkan golongan pelajar meningkatkan penguasaan dan kemahiran mereka dalam bahasa Melayu serta meningkatkan keyakinan pelajar untuk berkomunikasi dengan mantap dalam bahasa kebangsaan.

Katanya, pelajar boleh mengaplikasi pengetahuan melalui pelbagai kosa kata yang dikuasai mereka untuk membantu dalam penulisan kreatif dan pembelajaran akademik masing-masing.

“Dengan usaha ini, diharapkan seluruh rakyat di negara dapat bersama-sama memartabatkan bahasa kebangsaan selaras dengan semangat 1Malaysia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

 

Latihan industri di syarikat terkemuka

JAMES (tengah) dan Tajuddin (kiri) bersama wakil 12 syarikat yang menandatangani Sijil Kerjasama di Karnival Kerjaya PSA di Shah Alam. – Foto Norzamira Che Noh

SHAH ALAM: Kira-kira 1,400 penuntut tahun akhir Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di sini, berpeluang menjalani latihan industri dengan syarikat terkemuka menerusi penganjuran Karnival Kerjaya PSA, hari ini.

Pengarah PSA, Tajuddin Abdul Rashid, berkata penuntut tidak perlu bersusah payah mencari syarikat untuk menjalani latihan industri kerana pihak PSA sendiri membawa syarikat serta pemain industri ke karnival itu.

“Karnival kerjaya kali ini memberi fokus kepada Program Latihan Berstruktur, iaitu program latihan yang memberikan pengalaman praktikal dan menekankan perkembangan pengetahuan atau kemahiran tertentu kepada penuntut.

“Latihan ini bertujuan memastikan penuntut yang dihasilkan PSA berkualiti tinggi serta memenuhi standard yang dimahukan oleh industri.

“Pada tahun lalu, sebanyak 85 peratus penuntut PSA yang menjalani latihan industri mendapat tawaran kerja sebaik sahaja tamat latihan,” katanya berucap pada Majlis Menandatangani Sijil Kerjasama dan Karnival Kerjaya PSA di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden The Chartered Institute of Marketing, Tan Sri Dr James Alfred.

PSA bekerjasama dengan 12 syarikat bagi memastikan penuntut tahun akhir PSA mendapat tempat untuk menjalani latihan industri.

Antaranya ialah Panasonic Air-Conditioning Group Malaysia, Top Glove Sdn Bhd, Fire Fighter Sdn Bhd, Tekmark Sdn Bhd, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Hexamine Sdn Bhd.

Sumber: Berita Harian