1M1P galak pelajar Orang Asli ke sekolah

LIPIS 25 Julai – Seramai 220 pelajar Orang Asli di negeri ini menerima sekaki payung setiap seorang sempena program 1Murid 1Payung (1M1P) peringkat negeri di Asrama Pusat Lipis, di sini kelmarin sebagai antara usaha untuk mengga­lakkan mereka ke sekolah.

Pengarah Pendidikan nege­ri, Datuk Rosdi Ismail berkata, pihaknya menjalankan pelbagai program tanggungjawab sosial dan kali ini mereka memilih untuk memberi sumbangan payung kepada murid daripada masyarakat Orang Asli.

“Walaupun sumbangan ini nilainya sedikit, namun ia mampu memberi galakan kepada mereka ke sekolah dengan menggunakan payung diberikan sama ada semasa cuaca panas atau hujan,” katanya selepas majlis penye­rahan payung berkenaan.

Menurut Rosdi, majoriti pelajar yang terlibat berjalan kaki hampir satu kilometer ke sekolah dan berharap mereka dapat menggunakan payung tersebut sebaik mungkin.

Kata beliau, pihaknya turut merancang pelbagai aktiviti mengikut keperluan murid dan pelajar terutama melibatkan golongan yang kurang berkemampuan sebagai motivasi kepada mereka ke sekolah bagi me­nuntut ilmu.

“Kita sentiasa berusaha dan mencari pelbagai jalan bagi meningkatkan tahap pencapaian pendidikan masyarakat Orang Asli,” katanya.

Advertisements

1M1P galak pelajar Orang Asli ke sekolah

LIPIS 25 Julai – Seramai 220 pelajar Orang Asli di negeri ini menerima sekaki payung setiap seorang sempena program 1Murid 1Payung (1M1P) peringkat negeri di Asrama Pusat Lipis, di sini kelmarin sebagai antara usaha untuk mengga­lakkan mereka ke sekolah.

Pengarah Pendidikan nege­ri, Datuk Rosdi Ismail berkata, pihaknya menjalankan pelbagai program tanggungjawab sosial dan kali ini mereka memilih untuk memberi sumbangan payung kepada murid daripada masyarakat Orang Asli.

“Walaupun sumbangan ini nilainya sedikit, namun ia mampu memberi galakan kepada mereka ke sekolah dengan menggunakan payung diberikan sama ada semasa cuaca panas atau hujan,” katanya selepas majlis penye­rahan payung berkenaan.

Menurut Rosdi, majoriti pelajar yang terlibat berjalan kaki hampir satu kilometer ke sekolah dan berharap mereka dapat menggunakan payung tersebut sebaik mungkin.

Kata beliau, pihaknya turut merancang pelbagai aktiviti mengikut keperluan murid dan pelajar terutama melibatkan golongan yang kurang berkemampuan sebagai motivasi kepada mereka ke sekolah bagi me­nuntut ilmu.

“Kita sentiasa berusaha dan mencari pelbagai jalan bagi meningkatkan tahap pencapaian pendidikan masyarakat Orang Asli,” katanya.

Malaysia, Brunei bekerjasama dalam pendidikan minyak dan gas

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pendidikan Brunei, Pehin Dato Suyoi Osman di Jakarta, sebentar tadi. – Foto Asyraf Hamzah

JAKARTA: Malaysia dan Brunei bersetuju bekerjasama dalam beberapa bidang, temasuk pendidikan berhubung minyak dan gas.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya berharap usaha itu mampu melahirkan pelajar pada peringkat sekolah menengah yang berkemahiran dan menjadi bekalan tenaga kerja dalam bidang berkenaan.

“Sebagai contoh, kita boleh wujudkan sekolah teknik dan vokasional di Pengerang, Johor, dengan menggunakan khidmat guru dari Brunei, yang mempunyai kemahiran dalam bidang itu.

“Buat permulaan, kita boleh adakan kerjasama untuk peringkat sijil dan diploma kemahiran,” katanya selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Menteri Pendidikan Brunei, Pehin Dato Suyoi Osman, di sini, sebentar tadi.

Pertemuan itu adalah sebahagian daripada agenda yang diadakan bersempena dengan Persidangan Majlis Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEC) ke-49, yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini.

Sumber: Berita Harian

Menteri terkejut ada pelajar sanggup racun kawan

Menteri Pendidikan merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) dan Ketua UMNO Bahagian Sekijang, Datuk Dr Baharum Mohamed (kiri) pada sidang media ketika Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sekijang di Dewan Serbaguna Segamat. – Foto NSTP/ADI SAFRI

SEGAMAT: Semua sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diarah mengaktifkan langkah pencegahan bagi menangani masalah disiplin pelajar.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata langkah itu termasuk mengenal pasti sekolah yang mempunyai pelbagai masalah terutama berkaitan disiplin pelajar.

Katanya, kes terbaharu seorang murid sebuah sekolah di Sri Aman, Sarawak semalam yang ditahan polis selepas meracun rakan sekolahnya dengan racun lipas juga memerlukan masyarakat bersedia menghadapi dunia baharu yang tidak pernah terfikir.

“Saya tak tahu nak cakap apa…dahsyat. Dia punya ‘revenge’ (balas dendam) pun dahsyat. Ada sesuatu dalam masyarakat yang kita kena hadapi dengan dunia baharu kerana kita bukan sahaja tak jangka dan tak fikir (mengenai tindakan itu) sebelum ini, tapi dia dah buat.

“Awak ingat tak apa, tak akan budak-budak akan sampai ke situ. Tetapi (begitu) hari ini punya mentaliti, kalau masa kita sekolah dulu, tak akan kita racun kawan. Hari ini, dia racun kawan,” katanya yang turut terkejut dengan kejadian berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sekijang di Dewan Serbaguna Jalan Genuang di sini, hari ini.

Mahdzir yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, sehubungan itu, satu usaha berganda perlu dilakukan dengan lebih giat terutama di peringkat PPD dan sekolah.

“Kita kena kenal pasti sekolah dan jika ada (masalah), ambil perhatian. Suasana sekolah seperti kes kehadiran pelajar merosot, kena siasat.

“Yang kedua dari segi disiplin. Kalau disiplin nampak macam kelam kabut di sekolah, mungkin ada sebab (ia berlaku), mungkin dadah, ponteng sekolah, gangsterism dan buli. Kita kena kaji dengan lebih mendalam terutama dari segi ‘micro targetting'” katanya.

Sumber: Berita Harian

Ranking pendidikan tinggi negara 2017 catat sejarah

TAHUN 2017 mencatat sejarah dalam sistem pendidikan tinggi Malaysia yang meletakkan negara pada kedudukan ke-25 di dunia. Ia merupakan satu pencapaian yang amat dibanggakan dengan melonjak 11 anak tangga dalam tempoh enam tahun berbanding di kedudukan ke-36 pada tahun 2013.

Penarafan itu diberikan oleh Universitas 21 (U21) iaitu satu-satunya badan penarafan antarabangsa yang diterbitkan oleh Institut Ekonomi Gunaan dan Penyelidikan Sosial Melbourne, Universiti Melbourne. Ia menilai mengikut negara keseluruhannya tanpa diukur melalui pencapaian setiap universiti.

Sebanyak 50 negara dinilai U21 secara tahunan dengan turut menyenaraikan negara maju dan membangun. Malaysia mencapai kedudukan nombor satu mengatasi United Kingdom, Hong Kong, Jerman dan Jepun dalam kategori peruntukan sumber sekali gus membuktikan kerajaan sangat komited dalam menyuntik dana termasuk dalam kerja-kerja penyelidikan dan kos pengajian setiap pelajar untuk kemajuan pendidikan tinggi.

Ini menunjukkan bahawa kerajaan memperuntukkan sumber yang mencukupi. Walau bagaima­napun, tidak dinafikan bahawa universiti awam boleh memper­tingkatkan kecekapan perbelanjaan dan pengurusan mereka.

Kedudukan pendidikan tinggi negara turut berada pada tempat ke-13 dalam kategori persekitaran manakala dari sudut jaringan perhubungan ditempatkan pada kedudukan ke-38 selain kategori Output disenaraikan pada tempat ke-25 iaitu meningkat tujuh kedudukan dalam tempoh lima tahun.

Pencapaian Universiti Malaya (UM) pula terus mengukir kejayaan dan menghampiri 100 universiti terbaik dunia apabila universiti tertua negara itu memperbaiki kedudukan pada tempat ke-114 di dunia.

Kedudukan itu melonjak 19 kedudukan dari tahun lalu atau 53 tempat daripada kedudukan ke-167 yang dicatatkan pada tahun 2013.

Pada kedudukan membanggakan di peringkat dunia itu, UM mengatasi universiti terkemuka lain di seluruh dunia termasuk Universiti RMIT di Melbourne, Universiti Georgetown di Amerika Syarikat (AS) dan Universiti SOAS di London.

Peningkatan UM itu juga secara tidak langsung disumbangkan oleh pelaburan terbesar kerajaan dalam bidang pendidikan tinggi dan pengenalan inisiatif Penyelidikan Berimpak Tinggi (HIR). UM telah memperbaiki kedudukan lima tahun berturut-turut tanpa sebarang penurunan. Dengan pencapaian memberangsangkan itu, UM dijadualkan untuk memasuki 100 teratas dunia dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang.

Penarafan yang dibuat oleh QS World University Ranking 2017/2018 itu turut meletakkan universiti di Malaysia disenaraikan dalam kedudukan ketiga (UM), keempat (Universiti Putra Malaysia), kelima (Universiti Kebangsaan Malaysia), ketujuh (Universiti Teknologi Malaysia) dan kelapan ( Universiti Sains Malaysia) di ASEAN. Ia sekali gus menunjukkan bahawa negara menjadi destinasi pendidikan tinggi berkualiti di rantau ini.

Badan penarafan antarabangsa itu turut merekodkan lima universiti penyelidikan negara iaitu UM, USM, UKM, UPM dan UTM dalam kelompok satu peratus terbaik dunia daripada 26,000 universiti keseluruhannya.

UPM pula bertambah baik untuk tempoh lima tahun berturut-turut. Universiti itu meningkat sebanyak 41 tempat pada tahun lalu. Sejak tahun 2013, UPM telah meningkatkan 182 tempat yang mengejutkan dari kedudukan ke-411 pada tahun tersebut kepada 229 pada tahun ini.

UKM juga tidak kurang hebatnya apabila menunjukkan peningkatan terbaik dalam 12 bulan lalu dengan 72 tempat manakala UTM pula memperbaiki kedudukan ke-102 sejak tahun 2013. Tidak ketinggalan USM turut mengukir kejayaan dengan penambahbaikan kedua terbaik iaitu sebanyak 66 tempat sejak tahun lalu dan 91 tempat sejak 2013.

Kejayaan lima universiti penyelidikan negara bukanlah satu kebetulan. Inisiatif kerajaan dalam satu dekad sejak tahun 2007 itu merupakan hasil daripada komitmen dan pelaburan kerajaan dalam pendidikan tinggi di samping kerjasama kukuh yang disumbangkan oleh pasukan pensyarah dan penyelidik selain Kementerian Pendidikan Tinggi.

Di samping pencapaian dari segi peningkatan kedudukan, sistem pendidikan tinggi negara turut menunjukkan peningkatan baik dari segi hasil penyelidikan, paten yang didaftarkan, produk yang dikomersialkan dan kerjasama industri yang lebih besar.

Sebanyak 11 subjek yang ditawarkan oleh empat universiti di Malaysia ditempatkan dalam 50 teratas dunia menurut QS World University Ranking dalam ka­tegori subjek. Ahli-ahli akademik universiti-universiti di negara ini telah diiktiraf sebagai ‘Berfikiran Saintifik Paling Berpengaruh di Dunia’ antara tahun 2014 dan 2016.

Bagi manfaat masyarakat dan negara, kerajaan kini memberi tumpuan dalam menterjemahkan setiap hasil penyelidikan supaya ia tidak hanya tertulis di atas kertas. Komitmen itu turut dinyatakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa kejayaan universiti tempatan digolongkan dalam kelompok terbaik dunia bukan hanya memberi kebaikan kepada sektor pendidik­an negara tetapi turut membawa manfaat kepada rakyat khususnya masyarakat di luar bandar.

Katanya, semakin baik ke­dudukan universiti tempatan dalam kelompok dunia, semakin berkualiti inovasi yang berjaya dihasilkan sekali gus membantu memudahkan kehidupan rakyat.

KBAT: PIBG perlu main peranan

PADANG TERAP 21 Julai – Ibu bapa dan pihak sekolah termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu berkomunikasi secara berterusan dalam usaha memupuk pen­getahuan tentang kaedah kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) di sekolah.

MAHDZIR KHALID

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penge­tahuan tentang pelaksanaan KBAT harus disemai dalam semua peringkat anggota masyarakat kerana kaedah itu merupakan anjakan paradigma untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara.

“Dalam konteks ini pihak sekolah dan PIBG boleh memainkan peranan untuk berkomunikasi dengan ibu bapa ba­gi memahami KBAT yang dipelajari anak-anak mereka,” katanya selepas Majlis Pemimpin Bersama Jemaah Haji di Kuala Nerang di sini hari ini.

Tambah beliau, kemente­ri­an sentiasa bersikap terbu­ka dengan mengalu-alukan rea­­ksi semua pihak berhubung kaedah pembelajaran di negara ini.

“Ibu bapa datang daripada (pendidikan) konvensional, se­­mentara anak pula KBAT, tentu ada sedikit perbezaan pendapat, namun saya kira dari semasa ke semasa semua pihak akan memahami apa yang dibuat kementerian,” katanya.

Penyelidik UKM hasil antena penampal satelit terkecil

PROF Dr Mohammad Tariqul Islam (kiri) bersama Prof Dr Norbahiah Misran (tengah) dan Dr Mohd Fais Mansor menunjukkan antena rekaan mereka di Universiti Kebangsaan Malaysia. – Foto Nurul Syazana Rose Razman

BANGI: Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya membina reka bentuk antena penampal UHF/VHF pertama di dunia untuk satelit nano, CubeSat.

Ketua Penyelidiknya, Prof Dr Mohammad Tariqul Islam, berkata kebiasaannya satelit menggunakan antena ekakutub tujahan keluar, namun kebarangkalian kegagalan mekanikal untuk ia berfungsi adalah tinggi.

Beliau yang juga pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina (FKAB) UKM berkata, antena penampal tidak berdepan masalah sedemikian kerana ia nipis dan melekat pada satelit.

“Komunikasi antara CubeSat dan bumi amat bergantung kepada sistem antena, justeru antena bersaiz kompak, ringan dan stabil diperlukan untuk kelancaran misi satelit nano ini.

“Jadi, antena rekaan kami ini amat sesuai untuk satelit paling kecil dengan ukuran 10 sentimeter (cm) x 10cm x 10cm,” katanya pada sidang media di UKM di sini, hari ini.

Yang turut hadir Dekan FKAB, Prof Datuk Ir Dr Abdul Wahab Mohammad.

Projek yang turut dijayakan Prof Dr Norbahiah Misran dan Dr Mohd Fais Mansor itu mendapat kerjasama Kyushu Institute of Technology, Jepun, yang turut memberi geran penyelidikan RM200,000 kepada kumpulan itu.

Prof Norbahiah berkata, kumpulannya itu membuat lebih 50 rekaan antena sebelum menghasilkan rekaan yang digunakan CubeSat.

Katanya, penyelidikan itu mengambil masa setahun setengah untuk disiapkan dan dipasang pada satelit nano berkenaan.

“Terdapat dua antena penampal pada satelit ini iaitu masing-masing untuk UHF dan VHF untuk komunikasi dan ia amat penting kerana fungsi CubeSat antaranya ialah merakam gambar.

“Ini adalah rekaan antena terkecil di dunia yang diperbuat daripada tembaga menggunakan teknik gulungan beroperasi pada frekuensi UHF/VHF,” katanya.

INFO

– CubeSat berjaya dilancarkan mengikut jadual menggunakan tangan robotik Jaxa KIBO untuk model eksperimen Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 7 Julai 2017.

– Dari bumi ia dibawa menggunakan Space X, Roket Falcon 9 oleh misi CRS-11 dari Pusat Angkasa Lepas Kennedy, Amerika Syarikat pada awal Jun 2017.

Sumber: Berita Harian