Malaysia, Brunei bekerjasama dalam pendidikan minyak dan gas

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pendidikan Brunei, Pehin Dato Suyoi Osman di Jakarta, sebentar tadi. – Foto Asyraf Hamzah

JAKARTA: Malaysia dan Brunei bersetuju bekerjasama dalam beberapa bidang, temasuk pendidikan berhubung minyak dan gas.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya berharap usaha itu mampu melahirkan pelajar pada peringkat sekolah menengah yang berkemahiran dan menjadi bekalan tenaga kerja dalam bidang berkenaan.

“Sebagai contoh, kita boleh wujudkan sekolah teknik dan vokasional di Pengerang, Johor, dengan menggunakan khidmat guru dari Brunei, yang mempunyai kemahiran dalam bidang itu.

“Buat permulaan, kita boleh adakan kerjasama untuk peringkat sijil dan diploma kemahiran,” katanya selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Menteri Pendidikan Brunei, Pehin Dato Suyoi Osman, di sini, sebentar tadi.

Pertemuan itu adalah sebahagian daripada agenda yang diadakan bersempena dengan Persidangan Majlis Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEC) ke-49, yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini.

Sumber: Berita Harian

Advertisements