UPM menang anugerah harta intelek

DATUK Jamil Salleh menyampaikan Anugerah Harta Intelek Negara 2017 kategori Organisasi kepada Naib Canselor UPM,┬áProf Datin Dr Aini Ideris (dua dari kanan) pada Majlis Anugerah Harta Intelek Negara sempena Hari Harta Intelek Negara 2017 anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di Hotel Pullman Kuala Lumpur, Bangsar. Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Seri Abdul Manan Ismail (kiri). – Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul pemenang pingat emas Anugerah Harta Intelek Negara 2017, anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Perbadanan Harta Intelek (MyIPO), hari ini.

UPM memenangi anugerah itu bagi kategori organisasi ‘Pengurusan Harta Intelek’ buat kali kelima selepas memenanginya pertama kali pada 2008.

Kemenangan itu membolehkan UPM memenangi wang tunai RM30,000, piala pusingan, piala iringan, piala Organisasi Harta Intelek Dunia (WIPO) dan sijil penghargaan.

Hadiah kemenangan disampaikan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Salleh Jamil kepada Naib Canselor UPM, Prof Datin Dr Aini Ideris.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Jamil berkata, sehingga Jun lalu, MyIPO menerima sebanyak 9,918 permohonan harta intelek tempatan.

“Kita menerima 23,403 permohonan harta intelek dan 42 peratus daripadanya adalah permohonan tempatan, dan berharap permohonan harta intelek ini dapat ditingkatkan menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Dr Aini yang ditemui selepas majlis itu berkata, kejayaan itu adalah hasil daripada ekosistem yang dibangunkan oleh UPM sejak beberapa tahun lalu, bertujuan memastikan setiap kajian yang dilaksanakan dapat dibangunkan dan dikomersialkan.

“Ekosistem yang mantap ini dapat melahirkan usahawan dalam kalangan pelajar,” katanya.

Turut menerima hadiah termasuk Universiti Malaya (UM) yang meraih perak dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperoleh gangsa. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 dan RM10,000 bersama piala dan sijil penghargaan.

Sumber: Berita Harian

Advertisements