Aplikasi GRADUAN x Waze bantu cari kerja

PENGURUS GRADUAN, Nabil Marie (kiri) bersama Pengurus Perniagaan Waze, Edward Ling pada majlis pelancaran GRADUAN x Waze, di sini hari ini.

KUALA LUMPUR: Buat julung kali, GRADUAN bekerjasama dengan Waze, aplikasi lalu lintas dan nagivasi popular melancarkan GRADUAN x Waze bagi membolehkan pemandu mencari peluang pekerjaan berhampiran lokasi mereka.

Pengarah GRADUAN, Nabil Marie, berkata kerjasama itu menawarkan platform yang berdaya maju iaitu orang ramai mencari pekerjaan hanya menggunakan aplikasi Waze.

“Hanya klik GRADUAN dalam aplikasi berkenaan, Waze akan memberi lokasi pekerjaan dalam radius lima kilometer dari lokasi mereka.

“Mereka boleh menggunakan Waze untuk ke destinasi berkenaan. Orang ramai atau lepas universiti boleh menggunakan aplikasi berkenaan tanpa perlu menggunakan kaedah lama seperti mencari dalam portal pekerjaan di internet,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini terdapat 100 syarikat yang sudah bekerjasama dengan GRADUAN untuk menawarkan pekerjaan antaranya Sime Darby dan Maybank.

“Mereka boleh mencari pekerjaan berhampiran rumah atau di mana mana sekalipun. Setakat ini, aplikasi ini sudah berada di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Johor.

“Selain menawarkan pekerjaan, GRADUAN ingin membantu mereka untuk memudahkan cara atau teknik mencari pekerjaan sekali gus dapat mengurangkan pengangguran pekerjaan dalam negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

UPM menang anugerah harta intelek

DATUK Jamil Salleh menyampaikan Anugerah Harta Intelek Negara 2017 kategori Organisasi kepada Naib Canselor UPM, Prof Datin Dr Aini Ideris (dua dari kanan) pada Majlis Anugerah Harta Intelek Negara sempena Hari Harta Intelek Negara 2017 anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di Hotel Pullman Kuala Lumpur, Bangsar. Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Seri Abdul Manan Ismail (kiri). – Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul pemenang pingat emas Anugerah Harta Intelek Negara 2017, anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Perbadanan Harta Intelek (MyIPO), hari ini.

UPM memenangi anugerah itu bagi kategori organisasi ‘Pengurusan Harta Intelek’ buat kali kelima selepas memenanginya pertama kali pada 2008.

Kemenangan itu membolehkan UPM memenangi wang tunai RM30,000, piala pusingan, piala iringan, piala Organisasi Harta Intelek Dunia (WIPO) dan sijil penghargaan.

Hadiah kemenangan disampaikan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Salleh Jamil kepada Naib Canselor UPM, Prof Datin Dr Aini Ideris.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Jamil berkata, sehingga Jun lalu, MyIPO menerima sebanyak 9,918 permohonan harta intelek tempatan.

“Kita menerima 23,403 permohonan harta intelek dan 42 peratus daripadanya adalah permohonan tempatan, dan berharap permohonan harta intelek ini dapat ditingkatkan menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Dr Aini yang ditemui selepas majlis itu berkata, kejayaan itu adalah hasil daripada ekosistem yang dibangunkan oleh UPM sejak beberapa tahun lalu, bertujuan memastikan setiap kajian yang dilaksanakan dapat dibangunkan dan dikomersialkan.

“Ekosistem yang mantap ini dapat melahirkan usahawan dalam kalangan pelajar,” katanya.

Turut menerima hadiah termasuk Universiti Malaya (UM) yang meraih perak dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperoleh gangsa. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 dan RM10,000 bersama piala dan sijil penghargaan.

Sumber: Berita Harian

Intervensi tablet: Guru sambut baik

KUALA LUMPUR 18 Julai – Warga pendidik menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan dan Kumpulan Utusan mengadakan Program Intervensi Tablet Guru bagi membimbing mereka memanfaatkan aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia dalam merancang pengajaran dengan lebih berkesan, cepat dan sistematik.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kuantan 2 di sini, Saifullazman Shafei berkata, menerusi program itu terutama penggunaan Tutor Guru dapat membantu guru membuat persediaan mengajar yang mantap.

“Guru sangat teruja menggunakan aplikasi berkenaan bagi menghasilkan lembaran kerja digital untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di dalam kelas,” katanya selepas tamat program itu di sini hari ini.

SK Jalan Kuantan 2 merupakan sekolah ketujuh yang melaksanakan program intervensi di bawah kendalian Penasihat Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain; Pengurus dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim serta Eksekutif Pendidikan Utusan Malaysia, Khairul Azmi Kamaludin.

Dalam program ini, guru dibimbing membuat persediaan aktiviti PdPc yang memenuhi keperluan pem­belajaran abad ke-21 iaitu dengan membina lembaran kerja digital yang me­ngandungi soalan latihan, sumber rangsangan multimedia dan jawapan berserta huraian.

Pada masa sama, SK Jalan Kuantan 2 turut ditauliahkan sebagai Sekolah Mentor yang boleh dijadikan rujukan sekolah lain berkaitan penggunaan aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia.

Dengan menggunakan Tutor Guru, 120,000 pendidik di Sarawak, Kuala Lumpur dan Selangor yang telah menerima tablet berkenaan, boleh membuat persediaan mengajar pada bila-bila masa mengikut kelapangan masing-masing, selagi ada capaian Internet.

Terap ilmu keusahawanan – Usaha SMK Nusa Damai lahirkan pelajar serba boleh, ceburi bidang perniagaan

PASIR GUDANG 18 Julai – Pembelajaran di peringkat sekolah ketika ini sudah berbeza berbanding yang dialami generasi lalu kerana proses itu bukan hanya memberi penekanan terhadap pencapaian akademik semata-mata.

Ini bagi melahirkan lebih ramai generasi muda yang bukan sahaja dapat mengisi kekosongan pekerjaan dalam pasaran malah kerajaan juga turut mencipta peluang pekerjaan menerusi bidang keusahawanan.

Justeru, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nusa Damai, di sini mengambil inisiatif me­ngadakan Hari Keusahawanan, Diskusi Akademik dan Pelancaran Inovasi 2017, baru-baru ini.

Program yang bermula pukul 8 pagi itu melibatkan seramai 5,000 pengunjung, terma­suk pelajar dan guru sekolah, ibu bapa serta masyarakat setempat.

Bagi menjayakan program ber­kenaan, pihak sekolah menyediakan 34 ruang niaga termasuk gerai jualan dan permainan yang kebanyakannya diuruskan oleh pelajar sekolah tersebut.

Pengetuanya, Muhamad Ali Ha­run berkata, mat­lamat utama program tersebut adalah untuk menerapkan nilai holistik dalam membentuk gene­rasi muda, khususnya pelajar di sekolah bertaraf kluster kecemerlangan itu.

“Sekolah menyokong dasar pen­didikan negara dalam usaha menerapkan nilai holistik dan keseimbangan dalam membina modal insan dan jati diri para pelajar.

“Ini bermakna mereka bukan sahaja didedahkan dengan ilmu akademik, malah ilmu keusahawanan, kreativiti dan inovasi serta kemahiran lain,” katanya.

Program tersebut di­rasmikan oleh Penolong Pengurus Besar (Bahagian Khidmat Korporat dan Pembangunan) Lembaga Pelabuhan Johor, Kamaruzzan Munasir.

Sempena program tersebut, pihak sekolah turut melancarkan Smart Cafe, iaitu sebuah pusat komputer lengkap bagi kegunaan pelajar yang menghuni asrama sekolah tersebut.

“Kebiasaannya mereka hanya dapat mengakses internet ketika waktu pembelajaran, namun kini mereka turut mempunyai kemudahan itu ketika berada di asrama,” katanya.