Subsidi pendidikan antara terbaik dunia

MAHDZIR Khalid (dua kanan) memukul gong sebagai gimik merasmikan Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri UMNO Bahagian Shah Alam 2017 diiringi Ketua UMNO Bahagian Shah Alam Datuk Azhari Shaari (dua dari kiri), Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Ya’akop (kanan), Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagaian Shah Alam, Jumaeah Masdi (kiri) di Bangunan UMNO Selangor, Shah Alam. – Foto Faiz Anuar

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan memperuntukkan sebanyak RM42 bilion setahun bagi tujuan pentadbiran dan pengurusan kelengkapan. Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pemberian subsidi pendidikan di negara ini adalah antara yang terbaik di dunia, namun cuba diputar-belit oleh pakatan pembangkang kononnya kerajaan Persekutuan gagal memberikan pendidikan sempurna kepada rakyat. “Pelajar diberi buku teks percuma, dikecualikan yuran peperiksaan dan kerajaan juga tanggung yuran keselamatan. Kita juga wujudkan Rancangan Makanan Tambahan, Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin, Biasiswa Kecil Persekutuan dan pelbagai lagi. “Selain itu, untuk perbelanjaan makanan di sekolah asrama di seluruh negara sahaja babitkan kos RM1 bilion. Ini belum termasuk dengan perbelanjaan sekolah Orang Asli dan peruntukan tahunan RM50 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil,” katanya. Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berucap merasmikan Mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Shah Alam di sini, hari ini. Mahdzir turut mengingatkan pakatan pembangkang supaya berhenti memainkan isu pendidikan percuma kerana Kerajaan Persekutuan sudah melaksanakannya di peringkat sekolah rendah dan menengah. “Dalam pendidikan tidak perlu cabar mencabar kerana kita buat yang terbaik untuk rakyat. Saya tidak setuju kalau isu pendidikan diputar belit. “Selain itu, kita sentiasa memastikan kemiskinan tidak menjadi kekangan untuk setiap anak bangsa mendapatkan pendidikan untuk mengubah nasib mereka,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Tuisyen@KKLW bela nasib pelajar miskin

Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara, Datuk Zahida Zarik Khan, (tiga dari kiri) merasmikan Tuisyen Rakyat@KKLW by YPM@Parlimen Padang Besar di Dewan MRSM, Beseri. – Foto NSTP/Azhar Ramli

PADANG BESAR: Yayasan Pelajaran MARA (YPM) terus komited membantu meningkatkan aspek pendidikan khususnya dalam kalangan pelajar miskin di seluruh negara, melalui program kelas bimbingan tambahan disediakan. Pengerusi YPM, Datuk Zahida Zarik Khan, berkata ini terbukti apabila bilangan pelajar yang dibantu melalui program Tuisyen@KKLW yang dianjurkan dengan kerjasama Pergerakan Puteri UMNO itu kini mencecah 30,000 orang iaitu meningkat lebih 100 peratus berbanding hanya 13,000 pelajar ketika mula ia diperkenalkan pada 2013. Beliau berkata, jumlah bilangan pelajar dipertingkatkan setiap tahun bagi memastikan pelajar yang mempunyai tahap pendidikan sederhana dapat meningkatkan pencapaian akademik mereka. “Sebahagian besar mereka berpotensi untuk menjadi pelajar cemerlang, namun kekangan kewangan bagi memperoleh kelas bimbingan tambahan menjadi penghalang…jadi kita membantu mereka. “Buktinya pencapaian pelajar yang mengikuti Tuisyen@KKLW meningkat 40 peratus bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 60 peratus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Tuisyen Rakyat@KKLW peringkat Parlimen Padang Besar, di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, di sini, hari ini. Tuisyen@KKLW di Parlimen Padang Besar menyaksikan seramai 100 pelajar sekolah menengah yang bakal menduduki SPM dan 100 pelajar sekolah rendah yang bakal menduduki UPSR terpilih menyertai kelas bimbingan percuma berkenaan. Pusat tuisyen berkenaan memberi tumpuan kepada mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains bagi calon UPSR serta mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah bagi SPM.

Sumber: Berita Harian

Pendidikan kaedah terbaik tangani kemiskinan, keciciran

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Seminar Motivasi Untuk Pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Daerah Bagan Datuk, malam ini. – Foto Muhaizan Yahya

BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cara terbaik untuk menangani kemiskinan ialah menerusi pendidikan yang dapat mengelakkan keciciran dalam kalangan remaja sehingga menimbulkan masalah sosial. Timbalan Perdana Menteri berkata, remaja yang tercicir dan tidak dapat menyambung pelajaran akan tinggal di rumah dan bergaul dengan rakan sebaya yang boleh terjerumus kegiatan jenayah. “Saya minta maaf cakap, di Malaysia ini, apabila sebut kegiatan gangsterisme, orang akan ingat masyarakat India, apabila masalah dadah ia merujuk kepada orang Melayu dan orang Cina dikaitkan dengan judi. “Kita tidak mahu ini berlaku dan mahu generasi kita tidak terbabit dengan jenayah dan mengikut kaum,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Motivasi Untuk Pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Daerah Bagan Datuk di sini malam ini. Seramai 150 murid sekolah jenis kebangsaan Tamil di daerah Bagan Datuk menyertai seminar sehari itu siang tadi. Ahmad Zahid berkata, sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk beliau adalah ‘buta warna’ dan mahu semua anak Bagan Datuk tanpa mengira kaum dan agama dibantu supaya cemerlang dalam pendidikan daripada peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sehingga Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Beliau berkata, program motivasi pendidikan di semua peringkat sudah dilaksanakan sejak tahun 1984 ketika menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk dan memberi komitmen akan meneruskan program itu. “Mana ada Ahli Parlimen di Malaysia yang memperuntukkan RM500,000 setahun hanya untuk melaksanakan program motivasi pelajar (seperti) di daerah Bagan Datuk,” katanya.

Sumber: Berita Harian

BH, UniKL kerjasama dekati calon SPM

ADHAM (tengah) dan Azhar bergambar bersama pelajar pada majlis perasmian Seminar Bimbingan Peperiksaan SPM UniKL-BH 2017. – Foto Hairul Anuar Rahim

KOTA TINGGI: Kerjasama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan Berita Harian (BH) dalam penganjuran Seminar Bimbingan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menunjukkan keprihatinan kedua-dua belah pihak memenuhi kehendak masyarakat. Pro Canselor dan Pengerusi UniKL, Datuk Sri Dr Adham Baba, berkata penganjuran seminar itu adalah platform terbaik untuk UniKL lebih dekat dengan anak-anak yang akan menduduki peperiksaan berkenaan. “Saya percaya penganjuran ini sedikit sebanyak dapat membantu anak-anak di sekolah ini khususnya serta Bandar Tenggara secara amnya dalam mendapatkan teknik menjawab soalan peperiksaan dengan betul dan tepat mengikut kehendak peperiksaan. “Di samping itu, penganjuran seminar ini juga bertujuan membimbing dan membantu calon-calon peperiksaan yang terpilih memantapkan persediaan mereka untuk menduduki peperiksaan di bawah bimbingan mereka yang berpengalaman dengan fokus kepada subjek Fizik dan Matematik Tambahan,” katanya di sini, hari ini. Yang turut hadir Pengarang Bersekutu BH, Azhar Abu Samah; Pengurus Besar Bahagian Pemasaran dan Pengambilan Pelajar UniKL, Zambri Pawan Chik; Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Bahagian Tenggara, Jamalludin Mohd Zakaria dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laksamana, Samion Kasim.

ADHAM (kiri) menyampaikan sumbangan kepada YDP PIBG SMK Laksamana, Zol Bahari Abu Bakar sambil diperhatikan Samion (dua dari kiri) dan Azhar (kanan) pada majlis perasmian Seminar Bimbingan Peperiksaan SPM UniKL-BH 2017. – Foto Hairul Anuar Rahim Seramai 210 peserta dari lima sekolah sekitar menyertai Seminar Bimbingan Peperiksaan SPM itu bertempat di Dewan SMK Tun Habab hari ini. Adham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja turut memberi sumbangan kertas A4 sebanyak 15 rim kepada sekolah menengah dan 10 rim kepada sekolah rendah yang terpilih dalam kawasan berkenaan.

Sumber: Berita Harian 

Strategi suburkan minat terhadap STEM

TIMBALAN Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan beramah mesra dengan pelajar-epalajr yang menyertai Olimpiad Matematik Antarabangsa di Rio de Janeiro, Brazil pada 12 hingga 23 Julai depan, pada Majlis Powering The Power Oleh ExxonMobil Berkaitan Pendidikan STEM di Kuala Lumpur, hari ini. – Foto Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam tempoh terdekat, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan. Beliau berkata, pelan itu adalah antara inisiatif kerajaan bagi meningkatkan minat pelajar untuk menyertai aliran berkaitan STEM di sekolah bagi membolehkan sasaran Dasar 60:40 yang diperkenalkan pada tahun 1967, tercapai. Katanya, inisiatif hasil kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu dirangka berikutan ketika ini, jumlah pelajar yang menyertai aliran sains khususnya di sekolah menengah masih rendah dan semakin menurun. “Statistik kementerian menunjukkan hanya 46.7 peratus pelajar memilih subjek berkaitan STEM di peringkat menengah dan menengah atas di sekolah pada tahun 2014. “Selain itu, kajian Science Outlook oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) pada 2015 menunjukkan kita ketinggalan dalam membangun, memanfaat dan mengekalkan bakat STEM untuk menyumbang kepada inovasi teknologi bagi mencapai aspirasi negara. “Pelan Pembangunan Pendidikan STEM akan melihat semula dasar, kaedah serta peningkatan inisiatif bagi menaikkan minat pelajar terhadap subjek STEM bagi mencapai matlamat Dasar 60:40,” katanya pada Majlis Powering The Power Oleh ExxonMobil Berkaitan Pendidikan STEM di sini, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Anak Syarikat ExxonMobil Malaysia, Edward Graham; Pengarah PERMATApintar, Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak dan Pengarah Projek Mega Science 3.0 ASM, Prof Emeritus Datuk Dr Mazlan Othman. Terdahulu, Kamalanathan menyaksikan penyerahan replika cek oleh ExxonMobil kepada Cabaran Sains Kebangsaan 2017 sebanyak RM250,000, selain tajaan RM120,000 kepada delegasi Malaysia yang akan menyertai Olimpiad Matematik Antarabangsa di Rio de Janeiro, Brazil pada 12 hingga 23 Julai depan. Dasar 60:40 adalah dasar yang dilaksanakan bagi meningkatkan jumlah pelajar bagi aliran sains sebanyak 60 berbanding 40 peratus pelajar bukan sains.

Sumber: Berita Harian 

UUM disenarai dalam THE APAC Ranking 2017

NAIB Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak. – Foto NSTP

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) melakar sejarah apabila disenaraikan di kedudukan ke-200+ dalam edisi pertama Times Higher Education (THE) Asia-Pacific University Ranking 2017 yang diumumkan hari ini. Berdasarkan kaji selidik yang dikeluarkan oleh THE, UUM berada di kedudukan 200+ dalam penilaian yang membabitkan 243 universiti daripada 13 negara di rantau Asia-Pasifik. THE APAC Rankings 2017 mengguna pakai 13 indikator yang dikelompokkan kepada lima kategori dalam menilai sesebuah universiti iaitu mengajar (persekitaran pembelajaran), penyelidikan (jumlah, pendapatan dan reputasi), petikan (pengaruh penyelidikan), pandangan antarabangsa (kakitangan, pelajar dan penyelidikan) dan pendapatan industri (pemindahan pengetahuan). Pengarah Editorial Global Ranking THE, Phil Baty, berkata universiti yang tersenarai di dalam Asia-Pasific Ranking untuk edisi pertama adalah satu pencapaian yang hebat. “Ranking ini mewakili 243 institusi terbaik dan memberi gambaran mengenai negara dan universiti yang dijangka menjadi peneraju pengajian tinggi dunia pada masa hadapan. “Tiada keraguan bahawa sebahagian daripada universiti ini yang berada dalam rantau Asia Pasifik berjaya membuktikan mereka adalah universiti yang dinamik dan kompetitif,” katanya. Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata penyenaraian dalam edisi pertama THE APAC Ranking 2017 adalah satu sejarah dan amat membanggakan buat UUM. Beliau berkata, penyenaraian dalam ranking ini meletakkan UUM setaraf dengan universiti terkemuka lain seperti Sophia University Japan, University Seoul, Universiti Kansai Jepun, Universiti Meiji, University of Philippines dan Universiti Indonesia. “Diharap semua warga UUM dapat terus bekerja keras bukan sahaja untuk meningkatkan ranking UUM, bahkan juga untuk mencapai pelbagai kejayaan lain,” ujarnya.

Sumber: Berita Harian

Dr Lutfi cipta sejarah ke Harvard

DR Mohd Lutfi bergambar di hadapan Harvard. – Foto Ihsan Dr Mohd Lutfi

KUALA LUMPUR: Dr Mohd Lutfi Fadil Lokman mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama ditawarkan belajar di Universiti Harvard dalam Doktorat Kesihatan Awam (DrPH). Pada September tahun lalu, Dr Mohd Lutfi, 30, juga pernah mengharumkan nama negara apabila disenarai sebagai pencetus perubahan dalam agenda Pembangunan Kelestarian 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan di dalam Forbes 30 Under 30 Asia pada April lalu. Duta Belia Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang sudah pun berada di Amerika Syarikat ketika dihubungi BH berkata, beliau hanya mahu mencuba nasib ketika mengisi permohonan ke universiti nombor satu dunia itu pada Mei tahun lalu, namun tidak sangka berjaya dipilih. Katanya, beliau perlu bersaing dengan lebih 350 calon lain dari seluruh dunia dan universiti berkenaan hanya mengambil 20 pelajar pada setiap tahun selepas bidang pengajian itu kali pertama diperkenalkan pada 2013. “Selain universiti ini, saya juga ada menerima tawaran sama dari Universiti Yale dan Universiti John Hopkins. Namun saya memilih Harvard kerana seperti semua orang tahu, ia adalah salah satu universiti dalam ‘ivy league’ dan antara terbaik di dunia. Cuti bergaji selama 3 tahun “Antara sebab saya memilih Harvard adalah kerana kursus pengajian ini diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan dan mereka juga sudi memberi cuti bergaji sepanjang tiga tahun saya berada di sini dan selepas tamat nanti akan sambung berkhidmat dengan kementerian semula,” katanya. Dr Mohd Lutfi berkata, beliau perlu menjalani tiga ujian berbeza iaitu Matematik, Bahasa Inggeris dan bertulis, selain perlu ditemuduga sebanyak dua kali oleh pihak Universiti Harvard yang dijalankan menerusi teknologi panggilan video, Skype. Katanya, pengiktirafan yang diterima daripada PBB dan Forbes memang sedikit sebanyak membantu beliau untuk mendapatkan tempat ke universiti berkenaan. “Saya memilih bidang kesihatan awam kerana memang minat dan bercita-cita untuk menjadi pakar perubatan kesihatan awam.  “Selain itu, ia juga mempunyai kaitan dengan aktiviti kebajikan yang saya buat di Hospital Beyond Boundaries (HBB) yang menawarkan rawatan percuma kepada orang miskin,” katanya. Bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba itu turut mengakui hasil sokongan keluarga dan isteri yang tidak pernah putus asa memberi semangat membuatkan beliau bersemangat untuk ke Harvard.

Sumber: Berita Harian