Akaun 2 KWSP selesaikan pinjaman pendidikan

KUALA LUMPUR: Mulai 21 Julai ini, ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menggunakan simpanan dari Akaun Dua untuk menyelesaikan baki pinjaman pendidikan mereka. Pengeluaran itu tidak lagi terhad kepada tarikh kuatkuasa perjanjian pinjaman pendidikan masing-masing. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP, Datuk Mohd Naim Daruwish, berkata penambahbaikan polisi itu memanfaatkan 70,000 ahli yang belum menyelesaikan baki pinjaman pendidikan. Beliau berkata, ia dilakukan selepas mengambil kira maklum balas ahli yang mengalami kesukaran mengurang atau menyelesaikan baki pinjaman pendidikan menggunakan simpanan mereka. “Pihak KWSP sentiasa memberikan pengalaman positif kepada ahli dan berusaha melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” kata agensi itu dalam kenyataan. Dalam pada itu, Mohd Naim berkata syarat baharu itu terbuka kepada semua tarikh kuatkuasa pinjaman yang tertakluk kepada syarat semasa pengeluaran akaun kedua ketika ini. Katanya, ia masing-masing menggantikan syarat semasa untuk pembiayaan pengajian anak ahli di peringkat ijazah dan ke atas serta setaranya pada 1 April 2000; pembiayaan pengajian ahli peringkat diploma dan ke atas serta setaranya pada 2 Januari 2001; dan pembiayaan pengajian ahli dan anak di peringkat diploma dan ke atas atau setaranya pada 17 Januari 2006.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Kerajaan buat keputusan bijak

Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Eqwan Roslan

KUALA LUMPUR: Keputusan Kabinet mewajibkan Pegawai Perubatan Gred UD41 lantikan kontrak lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah tepat dan sejajar kedudukan bahasa itu sebagai Bahasa Kebangsaan negara. Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Eqwan Roslan, berkata kerajaan membuat keputusan bijak dengan tidak mengorbankan Bahasa Kebangsaan untuk mengisi jawatan berkenaan. “Kami menyambut baik keputusan Kabinet hari ini yang menetapkan syarat wajib lulus Bahasa Melayu bagi syarat lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41,” katanya kepada BH, hari ini. Kabinet memutuskan semua lantikan kontrak baharu bagi Pegawai Perubatan Gred UD41 wajib lulus BM peringkat SPM yang mana peperiksaan tunggal bagi kertas itu dibenarkan bermula November ini. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata peperiksaan itu akan dikendalikan Kementerian Pendidikan pada setiap Jun dan November.

Sumber: Berita HarianĀ 

UD41: Boleh duduki kertas BM tunggal – Zahid

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media menarik balik kelonggaran syarat kelayakan lulus dengan kepujian Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan Pegawai Perubatan Gred UD41 di Putrajaya. – Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Semua lantikan kontrak baharu bagi Pegawai Perubatan Gred UD41 tanpa mempunyai kelulusan Bahasa Melayu (BM) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh menduduki kertas BM secara tunggal bermula November ini. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata peperiksaan itu akan dikendalikan Kementerian Pendidikan pada setiap Jun dan November. Katanya, perkara itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan beliau, hari ini. Selain itu, Ahmad Zahid berkata, Kabinet juga memutuskan supaya Akta Perubatan 1971 dipinda bagi mewajibkan perkhidmatan pegawai perubatan selama dua tahun selepas tamat ‘housemanship’ dan memasukkan syarat kelulusan BM. “Kita menyerahkan perkara ini kepada Kementerian Kesihatan untuk berbincang dengan Peguam Negara, sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. Sebelum ini, isu kelonggaran syarat kelayakan BM di peringkat SPM untuk pengambilan pegawai perubatan Gred UD41 secara kontrak hangat diperdebatkan, selepas Kementerian Kesihatan mengeluarkan kenyataan mengenainya. Ahmad Zahid berkata, Kabinet menarik balik kelonggaran syarat itu dan mengekalkan syarat lulus BM dalam pengambilan semua jawatan dalam sektor awam di negara ini. “Tiada sebarang kelonggaran berkaitan BM diizinkan untuk sebarang jawatan. Jemaah Menteri komited untuk mempertahankan Perkara 152 yang termaktub dalam Perlembagaan. “BM adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Persekutuan, selaras dengan Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32),” katanya.

Sumber: Berita HarianĀ 

Kabinet putus wajib lulus BM peringkat SPM

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam semasa sidang Media Sihat di Kementerian Kesihatan. – Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Kabinet putuskan Pegawai Perubatan Gred UD41 lantikan kontrak baharu mesti lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata langkah itu bagi mewujudkan keseragaman dalam lantikan. Beliau menjelaskan Kementerian Pendidikan akan membantu mewujudkan peperiksaan BM peringkat SPM yang boleh diambil secara tunggal tanpa membabitkan subjek lain. Katanya, lantikan kontrak untuk Pegawai Perubatan Gred UD41 diperkenalkan sejak Disember 2016 kerana kebanjiran graduan perubatan. “Ketika lantikan ini, kita menghadapi situasi yang mana sekumpulan kecil (graduan) tidak dapat mengikuti sistem pendidikan seperti di negara ini kerana mengikut ibu bapa bekerja di luar negara. “Sistem pendidikan mereka berbeza dengan negara ini dan tidak mengambil subjek BM. “Daripada sejumlah 4,500 lantikan kontrak sejak 2016 hingga kini, hanya 23 daripada mereka yang berdepan situasi tidak mempunyai kelulusan dalam Bahasa Melayu,” katanya pada sidang media di sini. Isu tercetus beberapa hari lalu apabila Kementerian Kesihatan mengumumkan kelonggaran syarat kelayakan lulus BM peringkat SPM kepada graduan perubatan yang dilantik secara kontrak.

Sumber: Berita Harian

UD41: Keputusan kerajaan semarak keyakinan terhadap BM

TAN Sri Dr Rais Yatim.- Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan mewajibkan Pegawai Perubatan Gred UD41 lantikan kontrak lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mampu menyemarakkan semula keyakinan terhadap BM sebagai bahasa kebangsaan. Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada kerajaan yang tegas dan prihatin dalam menyelesaikan kemelut bahasa dalam perjawatan awam. Katanya, beliau dan pejuang budaya dan bahasa tidak akan sesekali leka selagi BM tidak dijadikan bahasa ilmu dan perdagangan. Beliau berkata, orang Melayu sendiri wajib sedar dan bangkit berjuang mempertahankan BM. “Saya ingin melihat Pemuda UMNO sekurang-kurangnya lantang memperjuangkan kepentingan ini. Memperjuangkan BM adalah teras dalam Perlembagaan UMNO. Orang Melayu sebagai pemegang kuasa majoriti mesti sedar takrif Perkara 160 Perlembagaan Malaysia. “Bahasa, Islam dan adat budaya yang mentakrifkan Melayu itu. Kita suka orang Melayu pandai berbahasa Inggeris, Cina dan Tamil tetapi jati dirinya mesti Melayu. Justeru, sesiapa mahu menjadi penjawat awam sekurang-kurangnya mesti lulus asas Bahasa Melayu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Rais turut melahirkan rasa terkilan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dilihat lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu dalam memilih nama jalan dan taman perumahan. Katanya, biarpun 90 peratus anggota PBT orang Melayu, mereka dilihat lebih cenderung kepada penggunaan bahasa Inggeris. “Nama jalan, nama taman perumahan dan urusan perbankan serta di gedung perniagaan sudah menjadi pasar raya bahasa Inggeris sehingga mengenepikan penggunaan bahasa Melayu. “Di Semenanjung Malaysia pun, orang Melayu sendiri sudah tidak sebut lagi. Precint, Boulevard, Terrace, Kondominium, semua ini ada versi Bahasa Melayunya tapi rata-rata diketepikan. “Seolah-olah kita semua berada di London dan New York. Kita leka dibuai nilai global tapi nilai glokal dilupai. Jangan lupa peringatan Perdana Menteri mengenai hal ini beberapa tahun lalu,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Tambah buku perubatan bahasa Melayu

PENGERUSI Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Budiman Mohd Zohdi. – Foto Khairull Azry Bidin. KUALA LUMPUR: Penerbit buku tanah air bersedia memperbanyak bahan bacaan berbahasa Melayu khususnya dalam bidang perubatan untuk membantu pengamal perubatan mudah memahami istilah dalam bahasa Melayu. Pengerusi Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Budiman Mohd Zohdi, berkata ia menjadi agenda dalam pembaharuan Dasar Buku Negara yang sedang diusahakan secara kolektif dengan pelbagai pihak terbabit. Budiman yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar, berkata agensi kerajaan sepatutnya menjadi jentera pelaksanaan dasar dan pemerkasaan bahasa Melayu khasnya selepas tahun 1969 yang menyaksikan penggunaan bahasa itu sebagai bahasa pendidikan dan pentadbiran kerajaan berjalan dengan lancar. “Banyak perkara yang dikhuatirkan akan berlaku sekiranya bahasa kebangsaan tidak diletakkan pada martabat yang sewajarnya. “Pakar sosiologi, Malik Bennabi dalam The Problem of Ideas in the Muslim World menyatakan bahasa pengantar banyak mengubah nilai jati diri manusia dan mereka yang terdidik melalui bahasa asing realitinya tidak akan mengenali nilai bangsanya sendiri,” katanya. Budiman berkata demikian sebagai menyokong pandangan banyak pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melonggarkan syarat lulus Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pegawai perubatan kontrak. Beliau berkata, kerajaan sudah menyediakan pelbagai infrastruktur bagi memperbaiki penguasaan bahasa Melayu, justeru alasan melonggarkan syarat itu bagi membolehkan graduan layak berkhidmat secara kontrak di hospital kerajaan adalah tidak wajar. Katanya, pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan dan pentadbiran kerajaan berjalan dengan lancar malah pelbagai kejayaan dicapai daripada penggunaannya secara meluas dalam kalangan warga negaranya. “Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan ini perlu difahami semua pihak. “Bahasa Melayu jelas dijadikan bahasa rasmi kerana ia memenuhi beberapa kegiatan pada peringkat kenegaraan termasuklah fungsinya sebagai bahasa lisan pegawai kerajaan semasa mereka melaksanakan tugas rasmi. “Ia termasuklah skop pegawai perubatan yang menjalankan tugasan merawat pesakit yang terdiri daripada warga negara Malaysia,” katanya.

Sumber: Berita Harian