Melancarkan pembelajaran dan pemudahcaraan – Gandingan e-Paper Utusan Malaysia dan Tutor Guru

Terdapat banyak manfaat yang boleh digunakan oleh guru yang berfikiran positif tentang aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia, sama ada sebagai alat mengajar atau untuk pemudah cara.

Kedua-dua aplikasi itu merupakan pakej projek tablet kebangsaan yang telah dinikmati oleh 120,000 guru di Sarawak, Selangor dan Ku­ala Lumpur.

Jika jumlah guru yang me­nerima tablet telah daftar ma­suk (log-in) meme­nuhi ketetapan kerajaan, dan mula membuat lembaran kerja atau memanipulasikan e-Paper Utu­san Malaysia sebagai bahan bacaan luas atau media bantu pengajaran, maka lebih cerahlah peluang saki baki ra­kan-rakan guru mendapat pemberian berkenaan.

 Jika mereka tidak ambil peduli, semakin susah jadi­nya, dan natijahnya menutup peluang rakan-rakan guru yang lain.

Pihak Kumpulan Utusan juga membantu habis-habisan menjalankan kempen menggalakkan penggunaan aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia melalui pemberitahuan awal ketika pengedaran, siaran media, media sosial dan bergerak dari sekolah ke sekolah melalui program intervensi.

Bukan sekadar untuk membantu rakan-rakan lain yang masih belum mendapat tablet, tetapi untuk menyampaikan hasrat pemberian tablet itu yang menjadi hak milik peribadi guru yang terlibat secara langsung dalam proses instruksional, khususnya sebagai media yang dapat mengukuhkan aplikasi pembelajaran abad ke-21.

Dengan e-Paper Utusan Malaysia, guru boleh memanfaatkan konsep bacaan secara yang optimum mengikut bahan kandungan, konteks dan struktur pedagogi dan urus tadbir seharian.

Konsep bacaan luas meliputi sekurang-kurangnya 12 tema berikut:

1. Kekeluargaan

2. Kemasyarakatan

3. Kesihatan

4. Keselamatan

5. Perpaduan

6. Kebudayaan dan

kesenian

7. Patriotisme dan kenegaraan

8. Alam sekitar

9. Pertanian dan penternakan

10. Sejarah

11. Sains, Teknologi dan inovasi

12. Ekonomi dan Keusahawanan

Bahan e-Paper juga boleh digunakan untuk memenuhi keperluan pengetahuan kepada pelajar di bawah program pembelajaran abad ke-21 iaitu:

1. Kesedaran global

2. Literasi kewangan, ekonomi, perdagangan dan keusahawanan

3. Litersi sivik

4. Kesedaran alam sekitar

5. Kesedaran tentang aspek kesihatan dan kesejahteraan

Hal ini begitu mudah dilakukan oleh guru kerana aplikasi Tutor Guru telah dibangunkan khusus untuk membuat lembaran kerja mengikut selera guru secara santai untuk persediaan mengajar.

Jadi, Tutor Guru dan e-Paper boleh digunakan secara bergan­dingan, serentak dan boleh saling berinteraksi mengikut kawalan guru.

Pengalaman guru akan menjadi lebih manis dan menyeronokkan jika kedua-dua aset yang diberikan percuma selama lima tahun itu digandingkan dengan video atau teks dari sumber Youtube, Wikipedia, Google dan sebagainya.

Adunan, gandingan dan gabungan ini akan meningkatkan keupayaan pembelajaran kolaboratif, selain dengan secara yang cukup mudah, guru boleh meng­aplikasikan beberapa prinsip blended learning seperti flipped classroom yang sudah meniti bibir, malah tular dalam kerjaya perguruan masa kini.

Guru juga boleh mempraktiskan pembelajaran secara modular, dan pada masa yang sama dapat melakukan pentaksiran terhadap individu pelajar semasa proses instrusional berlangsung.

Oleh sebab ciri e-Paper Utusan Malaysia sama seperti akhbar bercetak, maka guru boleh menye­mak helaian demi helaian halaman serta meneliti setiap berita atau rencana pelbagai genre yang sesuai dipindahkan ke dalam lembaran kerja bagi tujuan pengukuhan, pengayaan atau pemulihan – atau apa sahaja mengikut selera masing-masing.

Hal ini begitu mudah kerana akhbar memang telah mempunyai format yang standard, mempunyai beberapa seksyen yang konsisten dan yang paling pen­ting ialah bahannya terkini dan sering dipetik dalam soalan pe­periksaan sebenar.

Dengan bantuan alat berfikir, kreativiti membangunkan lembaran kerja, soalan-soalan yang menyokong pemahaman topikal yang dibekalkan secara percuma oleh Kumpulan Utusan melalui tutor.com.my, maka sudah pasti guru akan menjadikan tablet dan perisian ini sebagai gajet pem­belajaran abad ke-21 yang pen­ting.

Namun begitu seperti kata pepatah, tak kenal maka tak cinta, maka guru perlulah mencuba dahulu tablet dan aplikasi di dalamnya terlebih dahulu.

Jangan masih tersimpan dalam kotak, atau bagi yang termakan kata kawan, jangan jadi tikus membaiki labu.

Advertisements

Kementerian Pendidikan tidak nafi guru turut menjadi mangsa buli

ALOR SETAR 3 Julai – Kementerian Pendidikan menyeru agar mana-mana guru yang dibuli pelajar bermasalah tampil membuat aduan polis.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya tidak menafikan terdapat guru yang menjadi mangsa buli dalam kalangan pelajar bermasalah di sekolah namun tidak serius.

“Memang ada kes guru turut menjadi mangsa buli pelajar tapi di sekolah-sekolah tertentu sahaja… mereka mungkin takut nak mencederakan guru tapi harta benda guru seperti kereta yang akan menjadi mangsa.

“Guru yang menjadi mangsa yang tidak mahu buat laporan (polis) kerana tidak mahu memanjangkan cerita selain turut bimbang dengan keselamatan diri mereka akan diancam oleh pelajar yang terlibat dalam gengsterisme,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Kolej Vokasional Alor Setar di sini hari ini.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan tidak menghalang sebaliknya menggalakkan mana-mana guru yang turut menjadi mangsa buli untuk membuat laporan polis demi membendung penularan budaya gengsterisme di sekolah.

Tidak sekat guru mangsa 
buli pelajar lapor polis

ALOR SETAR 3 Julai – Kementerian Pendidikan tidak pernah menyekat mana-mana guru yang menjadi mangsa buli pelajar bermasalah untuk tampil membuat laporan polis hanya kerana mahu melindungi reputasi sekolah.

Menterinya, Datuk Seri Ma­hdzir Khalid berkata, guru yang dibuli pelajar bermasalah perlu berani tampil membuat aduan polis.

“Memang ada kes guru turut menjadi mangsa buli pelajar, tapi di sekolah-sekolah tertentu sahaja. Mereka (pelajar) mungkin takut nak mencederakan guru, tapi harta benda guru se­perti kereta yang akan menjadi mangsa.

“Dalam hal ini guru yang tidak mahu buat laporan (polis) kerana tidak mahu memanjangkan cerita selain turut bimbang akan diancam oleh pelajar yang terlibat dalam gengsterisme di luar sekolah.

“Kita tidak menghalang, sebaliknya menggalakkan mana-mana guru yang turut menjadi mangsa buli untuk membuat laporan polis demi memben­dung penularan budaya gengsterisme di sekolah,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Kolej Vokasional Alor Setar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Persatuan Pengguna Pulau Pinang bahawa terdapat guru turut menjadi mangsa buli sekali gus menyumbang kepada peningkatan budaya gengste­risme di negara ini.

Dalam perkembangan sama Mahdzir berkata, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka yang terlibat dalam kegiatan gangsterisme atau buli ke mana-mana pusat pemulihan.

“Saya ingin tegaskan bahawa kita (Kementerian Pendidikan) tidak akan berkompromi de­ngan pelajar-pelajar yang terlibat dalam aktiviti gangsterisme atau buli. Mereka boleh dikenakan tindakan tegas sekiranya didapati bersalah.

“Kalau boleh kita tidak mahu pelajar bermasalah yang telah dikenal pasti oleh pihak sekolah dan polis berada dalam sekolah yang mana boleh menjejaskan pelajar lain. Kita sedia membantu ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka yang tidak digantung persekolahan ke mana-mana institusi pemulihan.

“Ini bagi melibatkan mereka dengan aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada kesedaran,” ujarnya yang bersetuju sekiranya pihak polis mengambil alih dan menyelesaikan mana-mana kes yang melibatkan unsur jenayah di sekolah.