Tindakan terhadap penjual makanan tidak berkhasiat di luar sekolah

MAHDZIR berucap pada majlis Dialog Profesional Menteri Pendidikan bersama peserta Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan ambilan 2017 di Nilai, hari ini. – Foto Hazreen Mohamad

NILAI: Kementerian Pendidikan akan membuat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap penjualan makanan kategori ‘makanan dilarang’ atau makanan tidak berkhasiat di luar pekarangan sekolah. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata perkara itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan, pihak berkuasa tempatan negeri dan Pejabat Pendidikan Negeri melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS). “Kita harus pantau dan kawal pemakanan anak-anak ini sejak dari muda lagi kerana ia melibatkan masa depan mereka selain bagi mengatasi masalah obesiti. “Tetapi yang menjadi masalahnya ialah makanan yang dijual peniaga di luar perkarangan sekolah, bila kita sebut tentang ini orang mungkin akan marah kata kita mahu tutup periuk nasi dan sebagainya. “Kita tidak mahu mereka makan makanan yang bukan-bukan macam minuman bergas yang mana kita telah kategorikan sebagai makanan dilarang yang pada awalnya adalah makanan di bawah kategori ‘tidak digalakkan’. Jadi saya fikir sudah tiba masanya kita buat pemantauan dan penguatkuasaan seperti ini,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Dialog Profesional Menteri Pendidikan bersama peserta Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan ambilan 2017 di sini, hari ini. Mahdzir berkata, bagi pengawasan dan pemantauan penjualan makanan di kantin sekolah pula, setakat ini ianya masih terkawal dan makanan yang dijual mengikut kategori yang telah ditetapkan. “Kita mahu lawatan berkala dijalankan secara berterusan ke kantin-kantin sekolah untuk pastikan para pengendali kantin mengikut garis panduan penjualan makanan yang telah ditetapkan,” katanya. Antara makanan yang dikategorikan sebagai makanan dilarang ialah gula-gula, jeruk, minuman bergas, coklat dan makanan yang berupa mainan seperti cincin, gambar, belon dan sebagainya. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

TN50: Dapat maklum balas guru muda

MAHDZIR KHALID ketika berucap dalam Majlis Bicara Menteri Pendidikan

MAHDZIR KHALID ketika berucap dalam Majlis Bicara Menteri Pendidikan bersama 238 peserta NPQEL di Institut Aminuddin Baki, Nilai, Negeri Sembilan, semalam.

SEREMBAN 23 Feb. – Kementerian Pendidikan akan menganjurkan sesi bicara pendengaran awam mengenai Transformasi Nasional (TN50) membabitkan guru muda di seluruh negara tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia bertujuan mendapatkan pandangan dan maklum balas kumpulan guru tersebut mengenai hala tuju negara daripada kaca mata sektor perguruan untuk tempoh kira-kira 30 tahun akan datang.

“Sesi ini akan melibatkan guru muda dalam lingkungan umur 20 tahun yang baru memasuki per­khidmatan atau masih menuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Kita mahu tahu apa kehendak mereka supaya ia boleh dirangkumkan dan diserahkan kepada urus setia TN50,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Bi­cara Menteri Pendidikan bersama 238 peserta Program Kelayakan Profesional Pemimpin Kebangsaan (NPQEL) di Institut Aminuddin Baki (IAB), Nilai dekat sini hari ini.

Menurutnya, sesi bicara itu akan diadakan beberapa kali mengikut zon dan dijangka selesai dalam tempoh empat bulan akan datang.

Mengenai majlis hari tersebut, beliau memberitahu, NPQEL diadakan secara serentak di lima kampus IAB di seluruh negara melibatkan guru yang layak untuk ditempatkan sebagai penge–tua atau guru besar sekolah.

Mahdzir berkata, program itu memberi tumpuan terhadap aspek kepemimpinan, skil, kreativiti dan inovasi sebagai seorang pengetua atau guru besar sesebuah sekolah.

“Keupayaan kepemimpinan ini diharap dapat membawa lonjakan kepada sekolah dalam pelbagai bidang sama ada akademik, kokurikulum dan persekitaran sekolah secara holistik,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, jelas beliau, Kementerian Pendidikan sedang melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap pengusaha kantin yang menjual makanan tidak dibenarkan dalam kawasan sekolah dalam usaha membendung masalah obesiti dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, penjualan makanan untuk pelajar telah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet semalam yang membincangkan masalah obesiti dalam kalangan rakyat negara ini.

Tambahnya, kementerian itu juga berharap dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kesihatan negeri bagi memantau penjualan makanan tidak berkhasiat kepada pelajar di luar kawasan pagar sekolah.

– Sumber : Utusan Online

Kementerian Pendidikan pantau kantin sekolah jual makanan dilarang

Kantin jual makanan larangan

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berucap pada majlis Bicara Santai Menteri Pendidikan bersama Peserta NPQEL Ambilan 1/2017 di Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek hari ini.

SEREMBAN 23 Feb. – Kementerian Pendidikan sedang melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap pengusaha kantin yang menjual makanan tidak dibenarkan dalam kawasan sekolah.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antaranya ialah makanan ringan dan minuman berkarbonat seperti yang terkandung dalam pekeliling kepada semua sekolah untuk dipatuhi oleh para pengusaha kantin.

Katanya, tindakan itu adalah sebahagian usaha bagi membendung masalah obesiti dalam kalangan pelajar sekolah.

“Saya harap para pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan negeri juga akan melakukan lawatan berterusan atau berkala ke sekolah-sekolah bagi memantau situasi ini.

“Kena buat pengawasan demi kebaikan masa depan anak-anak kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Bicara Menteri Pendidikan bersama 238 peserta Program Kelayakan Profesional Pemimpin Kebangsaan (NPQEL) di Institut Aminuddin Baki, Nilai dekat sini sebentar tadi.

Mahdzir memberitahu, kementeriannya juga berharap dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan negeri bagi memantau penjualan makanan tidak berkhasiat kepada pelajar di luar kawasan pagar sekolah.

“PBT kena tolong sekolah awasi masalah ini. Perlu ada kawalan tentang penjualan makanan di luar pagar sekolah,” ujarnya.

– Sumber : Utusan Online