Utusan Pelajar tepati Bahan Pembelajaran Abad Ke-21 – Guru Besar

Wahid Hashim (belakang, tengah) dan Rokiah Che Hassan bersama Wahid Hashim (belakang, tengah) dan Rokiah Che Hassan bersama guru dan pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Dato Wan Ahmad menunjukkan naskhah Utusan Pelajar dalam majlis penyerahannya di sekolah berkenaan di Kangar, Perlis, semalam.

KANGAR 12 Jan. – Produk baharu Utusan Malaysia, Utusan Pelajar disifatkan sebagai menepati Bahan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) terkini di sekolah dan boleh dijadikan bahan pembelajaran penting merentasi kokurikulum dan boleh digunakan di dalam mahupun di luar kelas.

Perkara itu diakui Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Ahmad, Rokiah Che Hassan yang juga Guru Besar Fasilitator PAK-21 di negeri ini sejak 2015.

Menurut beliau, hasil penelitiannya, Utusan Pelajar mengan­dungi semua subjek dan modul bagi membantu murid menghadapi peperiksaan berasaskan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

“KBAT memerlukan seseorang murid berjalan keluar dan ‘mene­roka’ kehidupan di luar (kelas).

“Saya melihat Utusan Pelajar mempunyai ciri-ciri ini dan yakin ia boleh membantu murid menjawab soalan KBAT berbanding hanya buku teks dan latihan,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyerahan naskhah edisi pertama Utusan Pelajar di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Unit Teknikal Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Mohd. Ghazali Mohd. Yusoff; Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Maklumat ICT JPN, Samsuddin Wira Samsuddin dan Pengarang Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim.

Dalam majlis itu, Wahid menyerahkan 40 naskhah edisi pertama Utusan Pelajar yang melibatkan langganan sebanyak 1,680 naskhah setahun kepada Rokiah.

Sementara itu, menurut Rokiah, beliau tertarik dengan Kod QR terdapat dalam Utusan Pelajar kerana murid boleh mempelajari sesuatu perkara itu secara interaktif.

“Menggunakan telefon bimbit untuk pengimbasan, guru boleh membimbing murid mempelajari sesuatu perkara dengan paparan video dan imej berwarna-warni.

“Menerusi Utusan Pelajar juga dapat meringankan beban guru untuk mencari bahan diperlukan bagi tujuan pembelajaran,” katanya.

– Sumber : Utusan Online

%d bloggers like this: