Cabaran tahun satu dan soalan KBAT

ALHAMDULILLAH, hampir dua minggu anak-anak kita telah bersekolah dan secara umum segala-galanya berjalan lancar. Bagi murid-murid tahun satu, mungkin alam persekolahan ini terlalu baharu buat mereka namun itu tidak menjadi penghalang kepada anak-anak ini untuk segera menyesuaikan diri.

Lagipun boleh dikatakan semua murid tahun satu sebelum ini telah melalui sesi pembelajaran di tadika atau prasekolah sekurang-kurangnya setahun. Tidak kurang juga yang berada di sekolah tadika seawal lima tahun.

Oleh itu sukar untuk kita melihat mereka menangis pada hari pertama persekolahan. Bagaimanapun dalam usaha mempercepatkan lagi proses penyesuaian terdapat ibu atau bapa yang mengambil cuti seminggu memantau perjalanan persekolahan anak-anak tahun satu ini.

Sepanjang tempoh ini ibu bapa akan mengajar anak-anak mereka membeli makanan di kantin, menggunakan tandas dan menaiki bas atau van sekolah. Yalah, selama ini segala urusan harian anak-anak ini kita yang uruskan. Bukan apa, sekurang-kurangnya mereka faham cara untuk menguruskan diri khususnya menggunakan tandas dengan betul.

Selain itu, anak-anak itu juga perlu sentiasa diingatkan supaya jangan sesekali mengikut orang yang tidak dikenali untuk pulang ke rumah atau taska kecuali pemandu van atau bas sekolah. Semuanya ini bagi menghindari berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini.

Ini baru bab sekolah kebangsaan dan sekiranya mereka mempunyai kelas agama petang atau sekolah agama rakyat ada ibu atau bapa yang terpaksa melanjutkan cuti mereka ke­rana kelas kebiasaannya bermula ming­gu ke­dua persekolahan.

Dalam perkembangan lain, Kalam juga ingin menyentuh tentang persediaan yang perlu diambil oleh semua calon peperiksaan umum pada tahun ini memandangkan soalan-soalan yang digubal oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini bercirikan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Penulis pernah bertanyakan perkara ini kepada seorang teman yang kebetulan mempunyai pengalaman luas sebagai guru pemeriksa kertas Ekonomi Asas untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya kepada penulis, tujuan soalan KBAT diper­kenalkan adalah untuk mematangkan diri seseorang pelajar selain menjadikan pelajar kita lebih berpengetahuan, kreatif dan terbuka dalam menjawab soalan. “Ini bukan lagi era pelajar-pelajar menghafal fakta,” katanya.

Dengan kata lain, pelajar tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada buku teks sekiranya mahu mendapat keputusan cemerlang dalam satu-satu subjek. Mereka perlu juga membaca bahan-bahan ilmiah yang lain atau sekurang-kurangnya membaca akhbar arus perdana.

Sebagai contoh beliau berkata, dalam beberapa set soalan kertas Ekonomi Asas SPM tahun lalu, terdapat soalan yang bertanyakan tentang isu semasa antaranya kenaikan harga ayam, kaedah pembayaran cukai pendapatan menggunakan kad kredit atau debit (pro atau kontra) dan buruh asing.

Setiap set soalan ini terdapat beberapa pecahan soalan yang perlu dijawab oleh calon dan mempunyai markah tertentu. Katakanlah pelajar langsung tidak menonton program berita atau membaca akhbar arus perdana sudah tentu mereka sukar hendak menjawab kerana jawapan bagi soalan tersebut tidak terdapat dalam buku teks.

Jika ini berlaku calon tidak mungkin memperoleh markah penuh. Sedangkan katanya, skema jawapan yang disediakan oleh pihak lembaga adalah terbuka dan pelajar boleh menjawab apa sahaja asalkan berkaitan.

Hasil perbincangan ini, penulis berpandangan setiap calon yang akan mengambil peperiksaan umum khususnya SPM wajib membaca sekurang-kurangnya satu akhbar arus perdana bagi meningkatkan pengetahuan mereka dalam beberapa isu semasa. Jika tidak, mereka sukar untuk mendapatkan keputusan cemerlang.

Teman penulis turut menyarankan agar kaedah pem­belajaran dan pengajaran diberikan nafas baharu antaranya menjadikan keratan akhbar yang ada kaitannya dengan isu-isu semasa sebagai bahan rujukan serta asas perbincangan di dalam kelas. Semuanya ini adalah untuk membantu para pelajar supaya lebih bersedia menghadapi peperiksaan umum akan datang.

– Sumber : Utusan Online

Advertisements
%d bloggers like this: