Unimap cipta produk hybrid wireless, menang emas di Seoul

DR. MOHD RASHIDI CHE BESON (empat dari kiri) bersama  penyelidik

DR. MOHD RASHIDI CHE BESON (empat dari kiri) bersama penyelidik Unimap lain yang memenangi pingat dalam SIIF 2016 di Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini.

KANGAR 27 Dis. – Produk Hybrid Wireless-Fiber FCC OCDMA yang membolehkan kemudahan internet diakses bukan sahaja dalam kadar berkelajuan tinggi tetapi kos yang rendah memperoleh pi­ngat emas pada Pameran Reka Cipta Antarabangsa Seoul (SIIF) 2016 yang berlangsung di COEX, Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini.

Rekaan produk oleh penyelidik Universiti Malaysia Perlis (Unimap) iaitu Dr. Mohd. Rashidi Che Beson bersama dengan Prof. Dr. Syed Alwee Aljunid Syed Junid dan Prof. Madya Ir. Dr. Anuar Mat Safar itu telah berjaya menarik perhatian juri.

Mohd. Rashidi berkata, integrasi antara wireless dan fiber optik itu berpotensi untuk mening­katkan rangkaian yang dinamik merangkumi kelajuan tinggi yang mesra alam sekitar.

“Sistem produk ini menawarkan mobiliti yang luas serta menyediakan jalur lebar yang mantap untuk pelbagai aplikasi penting seperti Fiber-to-the-Home (FTTH) di kawasan luar bandar, kereta api berkelajuan tinggi, Internet of Things (IoT) serta untuk kegunaan industri minyak dan gas,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini.

SIIF merupakan pameran ciptaan terbesar di dunia bagi pencipta dan penyelidik mempamerkan idea-idea baharu dan produk mereka kepada pengeluar, pelabur, pengedar, syarikat pe­lesenan dan orang awam.

Ia dianjurkan oleh Pejabat Harta Intelek Korea (KIPO) dan disokong di peringkat antarabangsa oleh Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) dan Persekutuan Antarabangsa Persatuan-persatuan Pencipta (IFIA).

Pameran selama empat hari itu juga menyaksikan penyelidik Unimap membawa pulang empat pi­ngat emas, empat pingat perak dan enam pingat gangsa daripada lebih 639 produk yang mengambil bahagian daripada lebih 31 buah negara.

Tiga lagi produk yang menyumbang pingat emas adalah Saw Based Sensor For E-Coli Detection hasil penyelidikan Prof. Dr. Uda Hashim dan Dr. Mohammad Nuzaihan Md Nor; Photovoltaic Powered Uninterrupted Power Supply (UPS) rekaan Prof. Madya Dr. Muzamir Isa dan Uni-Fez®:A Novel Fetilizer From Agricultural Waste yang merupakan hasil penyeli­dikan Dr. S. Ragunathan.

Di samping itu, dua lagi produk penyelidikan hasil rekaan Dr. Midhat Nabil Ahmad Salmi dan Dr. S. Ragunathan menerima anugerah khas daripada National Research Council of Thailand dan Institute of Applied Computer Science, Poland.

– Sumber : Utusan Online

 

Advertisements

Uniten hasilkan E-Reads Sistem aplikasi penilaian wakaf syariah pertama di Malaysia

KUANTAN 27 Dis. – Satu sistem aplikasi penilai­an wakaf berlandaskan prinsip syariah pertama di Malaysia dikenali sebagai E-Reads dicipta bagi meningkatkan kuali­ti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan di jabatan serta organisasi yang menguruskan wakaf di seluruh negara.

SITI FARA FADILA ABD. RAZAK (kanan) bersama pingat emas yang dimenangi dalam pertandingan inovasi bagi menghasilkan sistem aplikasi penilaian wakaf berlandaskan prinsip syariah dikenali sebagai E-Reads di UMP, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Menerusi sistem tersebut, pewakaf menggunakan borang dalam talian dan boleh menambah nilai wakaf melalui paparan disediakan selain dapat memilih sendiri untuk mewakafkan duit mereka kepada mana-mana projek yang sedang dijalankan oleh jabatan atau organisasi wakaf.

Ketua penyelidik E-Reads, Siti Fara Fadila Abd. Razak berkata, sistem itu yang dilaksanakan se­penuhnya pada 1 November lalu memainkan peranan penting sebagai instrumen untuk memastikan ketelusan dan nilai integriti yang dipraktikkan secara adil di setiap jabatan serta organisasi berkaitan di negara ini.

Pensyarah Jabatan Kewangan dan Ekonomi, Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah itu berkata, sistem berkenaan bukan sahaja bakal menjadi sumber rujukan utama di negara ini, malah di seluruh dunia sebagai satu kaedah baharu dalam penilaian terhadap tabung wakaf.

“E-Reads boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja dengan menawarkan pelbagai kelebihan bermula dari segi menyahut saranan kerajaan terhadap inisiatif hijau menerusi pengurangan penggunaan kertas sehingga menjamin satu jaringan sistem yang kompleks dan mencapai tahap standard ditetapkan.

“E-Reads dipertingkat dengan sistem bersepadu bagi menjamin proses yang menjanjikan keboleh­gunaan dan dilindungi daripada segala bentuk penipuan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Siti Fara Fadila berkata, Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) telah menyatakan minat untuk membeli E-Reads sekali gus bakal menjadi organisasi pertama di negara ini yang menggunakan sistem berlandaskan prinsip syariah itu secara menyeluruh.

Katanya, sistem aplikasi penilaian wakaf itu merujuk kepada empat proses iaitu rekod, penilaian, kelulusan kebenaran dan perbelanjaan berlandaskan prinsip syariah.

“Proses-proses ini memberi kelebihan kepada sistem E-Reads dalam meningkatkan keyakinan dan integriti. Setiap proses ber­mula daripada pendaftaran sehingga ke proses yang terakhir perlu melalui peringkat kelulusan dari jabatan wakaf yang berkaitan,” katanya.

Tambahnya, E-Reads akan menjadi instrumen penilaian pen­­ting dalam meningkatkan nilai integriti dan kebolehpercayaan terhadap sistem itu.

“Pelaksanaan ini sekali gus memberi impak yang tinggi terhadap kegunaan E-Reads dalam menghubungkan pewakaf dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

“E-Reads berjaya memenangi pingat emas dalam pertandingan inovasi di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 5 Disember lalu dan di Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 8 Disember lepas,” katanya.

Organisasi yang berminat terhadap sistem E-Reads boleh meng­hubungi Siti Fara Fadila di talian 019-3578300.

– Sumber : Utusan Online