Mara lulus RM1.9 bilion pinjaman pelajaran

KUALA LUMPUR 14 Dis. – Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah meluluskan RM1.9 bilion pinjaman pelajaran dalam tempoh Januari hingga 30 November lalu.

ISMAIL SABRI YAAKOB

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam tempoh yang sama, seba­nyak RM452.7 juta pinjaman perniagaan diberikan kepada 4,334 peminjam.

Beliau berkata, bagi bayaran balik yang dilaksanakan mengikut jadual, sebanyak RM253.3 juta diterima daripada pinjaman pelajaran manakala RM558.7 juta lagi daripada pinjaman perniagaan.

“Pada tahun lalu, sebanyak RM2.3 bi­lion pinjaman pelajaran diluluskan dan kutipan bayaran balik yang telah diperoleh sebanyak RM249.7 juta.

“Bagi pinjaman perniagaan pula, sebanyak RM708.3 juta diluluskan pada tahun lalu kepada 8,962 peminjam dan kutipan bayaran balik bagi pinjaman itu ialah sebanyak RM662.3 juta,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 dalam sida­ng Dewan Negara hari ini.

Ismail Sabri berkata, ba­gi memastikan pinjaman pe­lajaran dan perniagaan dikutip mengikut jadual, Mara mengadakan hari bertemu pelanggan, membuat pertemuan dengan peminjam selain sesi penera­ngan bayaran balik sebelum pelajar bertolak ke luar negara dan pada hari konvokesyen pelajar.

Dalam perkembangan berkaitan, kata beliau, pada masa ini Mara sedang menjalankan kajian terperinci untuk menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar bagi memberikan keutamaan kepada pelajar miskin bandar dan luar bandar mengikuti pengajian di MRSM sedia ada.

Katanya, langkah itu di­buat sejajar dengan polisi pada tahun depan untuk mengutamakan golongan itu sekali gus mengurangkan ruang orang berkemampuan di MRSM biasa dan sebaliknya mereka diberi peluang untuk ditempatkan di MRSM berbayar.

Sementara itu, menjawab celahan Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin berhubung Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas Permata, Ismail Sabri menjelaskan, pihaknya turut mengadakan perbincangan bagi mewujudkan lebih banyak Kemas Permata kerana sistem pembelajaran yang diakui sangat baik.

– Sumber : Utusan Online

2,046 sekolah alami masalah pendawaian elektrik

KUALA LUMPUR 14 Dis. – Sebanyak 2,046 buah sekolah di seluruh negara dikenal pasti mengalami masalah pendawaian elektrik yang merupakan antara punca berlakunya kebakaran di beberapa sekolah baru-baru ini.

CHONG SIN WOON
CHONG SIN WOON

Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Datuk Chong Sin Woon berkata, ini membabitkan sekolah yang uzur iaitu berusia melebihi 20 tahun.

“Kebanyakan kebakaran yang berlaku tidak bermula dari makmal atau kekurangan dari aspek keselamatan seperti ketiadaan pintu rintangan api, tetapi kebanyakannya berpunca daripada litar pintas.

“Oleh itu, fokus kementerian adalah kepada penyelenggaraan semula pendawaian elektrik di sekolah lama, terutamanya pada bangunan yang sudah lama,” katanya pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Sin Woon menjawab pertanyaan Senator Datuk Lihan Jok mengenai punca utama menyebabkan beberapa sekolah di Sarawak terbakar dan apakah langkah kerajaan bagi menangani masalah itu.

Beliau berkata, program pendawaian elektrik akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun depan mengikut keutamaan bagi sekolah-sekolah yang kritikal.

Selain itu katanya, bagi mencegah kemalangan dan kebakaran, semua sekolah akan dibekalkan dengan alat pemadam api di samping warga sekolah diberikan latihan dan pendedahan berhubung aspek pencegahan kebakaran. – BERNAMA

– Sumber : Utusan Online