10 pelajar cemerlang ikuti program ‘Mirae No Tobira’ di Jepun

KETUA Pegawai Eksekutif YPM, Datuk Abdul Karim Mustafabergambar bersama pelajar yang akan mengikuti program ‘Mirae No Tobira’ (Gerbang Masa Depan) selama seminggu di Jepun anjuran Yayasan Pelajaran MARA (YPM), pada sesi pelepasan pelajar bagi program berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang, hari ini. – Foto Adi Safri

SEPANG: Sepuluh pelajar cemerlang Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun lalu dipilih mengikuti program ‘Mirae No Tobira’ (Gerbang Masa Depan) selama seminggu di Jepun anjuran Yayasan Pelajaran MARA (YPM). Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Datuk Abdul Karim Mustafa, berkata program pertama kali diadakan ini adalah insentif pihaknya mengiktiraf usaha keras dan galakan terus kepada pelajar ini untuk mencapai kecemerlangan pada masa akan datang. Katanya, semua pelajar dipilih adalah kalangan anak angkat YPM yang cemerlang dalam PT3 2015 dari seluruh negara. “Mereka akan belajar dan merasai pengalaman kehidupan sebenar sebagai pelajar di Jepun selain meningkatkan motivasi diri untuk lebih berjaya pada masa hadapan,” katanya. Abdul Karim berkata demikian selepas sesi pelepasan pelajar bagi program berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini, hari ini.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

KIS jalin kerjasama dengan Universiti Ez Zitouna

PENGASAS KIS, Datuk Muhammad Fuad Kamaludin (tiga dari kiri) bersalaman dengan Rektor Universiti Ez Zitouna, Prof Dr Hichem Grissa pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara KIS dan Universiti Ez Zitouna di Sendayan, Seremban, malam tadi. – Foto Hazreen Mohamad

SEREMBAN: Malaysia dan Tunisia menjalin kerjasama pendidikan buat julung kalinya melalui perjanjian persefahaman antara Kolej Islam As-Sofa (KIS) di Ampang, Selangor dan Universiti Ez Zitouna bagi membolehkan lepasan kolej itu melanjutkan pengajian di universiti ternama negara itu. Pengasas KIS, Datuk Muhammad Fuad Kamaludin, berkata negara di Afrika Utara itu menjadi pilihan kerana sistem pendidikan Islam berkualiti, selain keadaan negara yang stabil serta kos kehidupan berpatutan, berbanding universiti di negara Arab lain. Beliau berkata, peluang belajar di universiti itu juga membolehkan KIS mencapai matlamat melahirkan pelajar yang mempunyai tahap keilmuan bertaraf dunia. Katanya, sebagai institusi pendidikan tinggi Ahli Sunnah wal Jamaah di Malaysia, KIS sentiasa komited berusaha membina jaringan dengan institusi pendidikan Ahli Sunnah wal Jamaah yang terbaik di seluruh dunia Islam demi melahirkan lebih ramai lagi ilmuwan Ahli Sunnah wal Jamaah yang akan menyumbang ke arah kestabilan, keamanan dan keunggulan Malaysia sebagai negara berbudaya ilmu dan maju. “Kita juga memberi perhatian terhadap aspek aqidah pelajar supaya sentiasa mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di negara ini.  Oleh itu, KIS memastikan kerjasama dilakukan dengan universiti yang mempunyai pegangan yang sama dengan umat Islam di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara KIS dan Universiti Ez Zitouna di Sendayan dekat sini, malam tadi. KIS diwakili Ketua Eksekutif KIS, Mohd Sufi Ibrahim manakala Universiti Ez Zitouna diwakili oleh Dr Ilyas Uwaisim. Yang turut hadir Rektor Universiti Ez Zitouna, Prof Dr Hichem Grissa; Ketua Hakim Syar’ie Negeri Sembilan merangkap Timbalan Yang Di-Pertua Yayasan Sofa, Datuk Mohd Shukor Sabudin dan Pengarah Urusan Kumpulan Pendidikan Sofa, Malizan Mahmod. Melalui kerjasama itu, KIS menghantar 10 pelajar melanjutkan pengajian di Universiti Ez Zitouna, iaitu empat orang dalam bidang syariah, manakala enam lagi dalam bidang al-Quran dan Qiraat. Muhammad Fuad berkata, kerjasama itu mampu melonjakkan nama KIS dalam pendidikan Islam kerana Universiti Ez Zitouna adalah antara universiti tertua dan terkemuka dalam pendidikan Islam, selain Universiti al Azhar di Mesir. Sementara itu, Dr Hichem berkata kerjasama ini menunjukkan kedua-dua negara amat mementingkan kemajuan dalam bidang pendidikan Islam. Katanya, pihak universiti juga tertarik dengan pendekatan Wasatiyah yang kerajaan negara ini amalkan kerana mampu membawa umat Islam lebih maju dalam pelbagai bidang. Universiti Ez Zitouna, Tunisia mula beroperasi pada tahun 737 Masihi manakala Universiti Al Qarawiyyin, Maghribi pada 859 Masihi, Universiti Al Azhar, Mesir pada 970 Masihi, Universiti Bologna, Itali pada 1088 Masihi sementara Universiti Oxford, England dibuka pada tahun 1096.

Info Universiti Ez Zitouna

1. Terletak di Montfleury, Tunisia

2. Diasaskan pada 737 Masihi

2. Antara alumni universiti itu ialah ilmuwan terkenal, Abdul Rahman Ibn Khaldun (Ibn Khaldun)

Sumber: Berita Harian

 

Jelajah Ilmu teroka Sri Lanka Ketahui sejarah, budaya hidup masyarakat Melayu

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL diiringi M. Hussain Jayah TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL diiringi M. Hussain Jayah (tiga dari kiri) disambut sekumpulan kanak-kanak di Dewan Komuniti Slave Island sempena program Jelajah Ilmu Unimap di Colombo, Sri Lanka, baru-baru ini.

KANGAR 13 Dis. – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis (Unimap) telah mengunjungi komuniti Melayu Sri Lanka sempena program Jelajah Ilmu Unimap ke negara tersebut baru-baru ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalul­lail selaku Canselor Unimap, mengetuai kunjungan itu yang antaranya bertujuan mengetahui sejarah masyarakat tersebut dan budaya hidup kumpulan berkenaan.

Yang turut serta dalam de­legasi itu Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Unimap, Prof. Madya Dr. Mohd. Foad Sakdan; Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimap, Prof. Madya Razli Ahmad serta Timbalan Dekan (Pembangunan Alumni) Unimap, Dr. Ummi Naiemah Saraih.

Rombongan Unimap disambut mesra oleh sekumpulan masyarakat berkenaan yang diketuai Presiden Persatuan Melayu Sri Lanka, M. Hussain Jayah yang merupakan antara 50,000 penduduk Melayu di negara ini.

Semasa lawatan itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menyaksikan permainan sepak raga bulatan yang disertai komuniti tersebut, selain melihat kesu­buran kesenian tradisi, terma­suk tarian joget yang dijayakan penduduk tempatan.

Baginda kemudian meninjau perkampungan Melayu di Slave Island itu dan bertemu para penduduknya yang menguta­makan silaturahim.

M. Hussain sewaktu memberikan taklimat berhubung kehidupan masyarakat Melayu Sri Lanka di Dewan Komuniti Slave Island, Colombo itu menyatakan, sebahagian daripada mereka masih boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik.

Katanya, komuniti Melayu wujud di Sri Lanka sejak lebih 250 tahun lalu melalui penghij­rahan penduduk Indonesia dan Tanah Melayu di mana jumlah­nya semakin membesar, namun penguasaan bahasa Melayu kian luntur.

Beliau menyatakan, masya­rakat Melayu di situ tidak me­rasa terasing di Sri Lanka ke­rana kerajaan negara tersebut sentiasa mengambil berat terhadap kehidupan mereka secara berterusan.

“Kami hidup aman di sini (Sri Lanka). Lagipun kami lahir dan membesar di sini. Ada juga yang dalam kalangan kami yang berjawatan tinggi,” katanya yang mengetuai persatuan itu sejak 2015.

Menyentuh hubungan Me­layu Sri Lanka denan rakyat Malaysia keturunan Melayu pula, beliau berkata, ia sentiasa terjalin erat dan terus subur.

“Kami selalu menerima kun­jungan yang bersifat memperkukuhkan silaturahim daripada masyarakat Malaysia sama ada secara berkumpulan atau individu,” jelasnya.

Katanya, Persatuan Melayu Sri Lanka ditubuhkan sejak 1922 dengan Presiden pertamanya, M.K Saldin yang menerajui persatuan itu sehingga awal tahun 1942.

– Sumber : Utusan Online

Pelajar Kolej Komuniti Jerai jayakan Program Eksplorasi 2016

SEBAHAGIAN daripada pelajar Kolej Komuniti Jerai menjalani latihan SEBAHAGIAN daripada pelajar Kolej Komuniti Jerai menjalani latihan berkayak sempena Program Eksplorasi 2016 di Kem Sri Ternas Tasik Beris, Sik, Kedah, baru-baru ini. UTUSAN/ABD. RAZAK OSMAN

JERAI 13 Dis. – Seramai 37 pelajar jurusan Pelancongan dan Pengembaraan Kolej Komuniti Jerai mencabar ketahanan fizikal dan mental dengan menyertai Program Eksplorasi 2016 di Kem Sri Ternas Tasik Beris, Sik baru-baru ini.

Pengarah program, Fitreel Huda Ab. Rahim berkata, pe­nganjuran program ini adalah untuk menguji keberanian para peserta menerusi akti­viti lasak seperti jungle trekking, abseiling, water confident selain berkayak dan menyeberangi tasik.

“Melibatkan diri dalam bidang pelancongan dan pengembaraan ini memang mencabar. Jika, mereka tidak mempunyai pendedahan dan pengalaman sebegini, sukar untuk mereka melangkah masuk ke alam pekerjaan ini.

“Sebab itu, kita mahu para peserta memberanikan diri menyertai aktivit lasak ini. Hanya melalui kemahiran dalam bidang itu, seseorang boleh pergiat industri pelancongan dengan lebih mudah dan ber­upaya menyampaikan sebarang taklimat atau sebagai jurulatih de­ngan jelas,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Fitreel Huda, pemilihan Tasik Beris untuk menjayakan program tersebut kerana lokasi itu mempunyai potensi untuk dijadikan salah satu tempat pelancongan yang menarik pada masa akan datang.

“Bagaimanapun maklumat mengenainya kepada orang luar perlu disebarkan secara tepat dan jelas. Pengalaman berada di sini, membolehkan mereka melihat pemandangan yang menarik untuk dikongsikan dengan orang lain,” ujarnya.

Sementara itu, peserta, Muhammad Muzakkir Mohamad Zukhi, 18, berkata, banyak perkara baharu dapat dipelajari semasa berada di program tersebut.

“Ceramah disampaikan oleh dua orang pensyarah boleh dijadikan garis panduan untuk memajukan diri sendiri. Lebih seronok, menerusi program ini saya dapat menyertai aktiviti lasak yang sememangnya mencabar keupayaan fizikal dan mental.

“Saya berharap dapat menyertai lebih banyak program seum­paman ini bagi membantu saya melibatkan diri dalam bidang pelancongan dan pengembaraan setelah tamat pengajian kelak,” ujarnya.

– Sumber : Utusan Online

Projek 360 Kampung Angkat UKM dilancar Penghargaan buat Nordin, penyumbang tabung UKM

Ahmad Razif Abdul Rahman menurunkan tanda tangan di samping Noor Ahmad Razif Abdul Rahman menurunkan tanda tangan di samping Noor Azlan Ghazali (kiri) pada plak pelancaran UKM4 Terengganu dan Projek 360 Kampung Angkat UKM, di Dataran Permata Seberang Takir, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU 13 Dis. – Kampung Baru Seberang Takir di sini dipilih sebagai kampung ketiga di negara ini bagi pelaksanaaan Projek 360 Kampung Angkat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Projek tersebut merupakan se­ba­­hagian daripada insiatif UKM mendekati masyarakat melalui per­­­kongsian ilmu dan kepakaran secara berimpak dan lestari, me­rangkumi bidang pendidikan, eko­nomi, sosial, kesihatan dan prasarana.

Berasaskan penelitian institusi itu, beberapa program bagi manfaat masyarakat akan digerakkan termasuk program asas perniagaan dalam talian, saringan mata, kaunseling keluarga dan kampung bebas denggi.

Pelancaran disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di Dataran Permata di sini baru-baru ini, serentak dengan perasmian program UKM4Terengganu, yang dirintis dua tahun lalu melibatkan lapan projek keseluruhannya termasuk projek 360.

Naib Canselor UKM, Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, pemilihan kampung tersebut sebagai tanda penghargaan sempena ulang tahun UKM ke-46 kepada seorang penyumbang Tabung Penubuhan UKM pada tahun 1968 iaitu Nordin Tahir, 61, yang ber­asal dari kampung itu.

Beliau berkata, Nordin yang ketika itu berusia 13 tahun turut menghulurkan RM1, hasil simpa­nannya serta sumbangan orang ramai memenuhi impian rakyat.

Ia mencermin­kan semangat dan aspirasi sege­nap lapisan rakyat untuk melihat kewujudan institusi pengajian tertinggi dalam sistem pendidikan negara yang akhirnya menjadi kenyataan.

“Pada hari ini, UKM telah mela­hirkan begitu ramai alumni dan sarjana tersohor negara termasuk tiga beradik dari Seberang Takir yang berkhidmat di UKM iaitu Prof. Ir. Dr. Shahrir Abdullah; Prof Ir. Dr. Shahrum dan Prof. Madya Dr. Huda,” ujarnya.

Selain diraikan dalam majlis sambutan ulang tahun UKM Mei lalu, Noor Azlan turut mengumumkan hadiah yang amat tidak terduga buat Nordin apabila dibia­yai menunaikan haji bersama isterinya, Zaharah Ibrahim, 51.

Bekas pekerja sebuah syarikat besi keluli di Kemaman itu yang turut hadir dalam majlis itu ketika ditemui menyatakan rasa terharu dengan penghargaan yang begitu besar bagi dirinya dan isteri.

“Air mata saya tidak dapat ditahan lagi apabila saya diberitahu mengenai hadiah itu. Saya tidak menyangka sama sekali, sumba­ngan kecil saya, tanpa saya tahu makna sebenar dan hampir saya terlupa, masih dikenang.

“Bagi saya, pemilihan Kampung Baru sebagai Kampung Ang­kat UKM bagi memberi manfaat kepada masyarakat setempat sudah cukup besar,” ujarnya.

– Sumber : Utusan Online