Mesej dakwah dalam filem perlu pandangan pakar

KOTA BHARU: Mesej berunsur dakwah yang ingin disampaikan melalui filem akan lebih tepat jika membabitkan pandangan pakar agama. Atas tujuan itu, bengkel penulisan skrip filem pendek berunsur dakwah dianjurkan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), di sini, membabitkan 38 guru Pendidikan Islam dari seluruh negara. Timbalan Pengarah Pengajian Dakwah dan Syiar Islam BPI, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kamariah Isa, berkata bengkel itu adalah suatu inovasi dan perluasan dakwah menerusi medium industri kreatif perfileman kepada masyarakat. “Kursus ini akan memberi nilai tambah kepada peserta, yang juga guru Pendidikan Islam dalam menyediakan bahan sokongan dakwah kepada kelompok sasaran. “Bengkel ini juga memberi panduan kepada mereka untuk mengetahui kaedah menghasilkan sebuah skrip filem pendek bermutu untuk tujuan dakwah,” katanya selepas menutup Bengkel Penulisan Skrip Filem Pendek Berunsur Dakwah Peringkat Kebangsaan 2016 di PCB Resort, di sini, hari ini. Sementara itu, seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Mohd Hang Tuah Ismail, 44, berkata, beliau mendapat pendedahan lebih luas terhadap penghasilan skrip yang boleh dimanfaatkan dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). “Sebelum ini, saya menulis skrip dalam penghasilan video pendek untuk kegunaan ketika mengajar. “Dengan pendedahan yang lebih luas dalam bengkel ini, saya harap dapat menghasilkan klip video pendek yang lebih bermutu dalam menyampaikan dakwah kepada pelajar,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Geran RM10j galak pelajar universiti berniaga

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap sesi One SSM Talkshow Bersama Perdana Menteri di Kuala Lumpur, hari ini. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memperuntukkan geran khas RM10 juta untuk disalurkan dalam tempoh 10 tahun bagi membolehkan pelajar universiti mendaftar perniagaan secara percuma. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika mengumumkan inisiatif terbaharu itu, berkata geran itu adalah untuk meningkatkan penyertaan pelajar dalam perniagaan, termasuk secara dalam talian. “Peruntukan khas ini untuk membantu pelajar. Saya juga mengharapkan mereka (pelajar) memanfaatkan pelbagai program lain yang ditawarkan kerajaan, termasuk e-usahawan di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC),” katanya pada sesi One SSM Talkshow Bersama Perdana Menteri di Kuala Lumpur, hari ini. Sesi soal jawab yang berlangsung kira-kira 20 minit itu dihoskan personaliti, Fizo Omar dan Mohd Shahren Mohd Yusri. Najib turut meluangkan masa melawat gerai pameran Karnival One SSM Plus, bertempat di Medan MARA, Kuala Lumpur. Mengulas lanjut mengenai inisiatif itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata SSM akan memperuntukkan RM1 juta yang akan dimanfaatkan oleh kira-kira 10,000 pelajar di seluruh negara, tahun ini. Katanya, berkuat kuasa 1 Januari 2017, pelajar yang ingin mendaftar perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1957 akan dikecualikan daripada sebarang bayaran. “Geran RM10 juta untuk tempoh 10 tahun. Untuk tahun ini SSM memperuntukkan RM1 juta. Jika ia mendapat sambutan luar jangka, mungkin kita akan tingkatkan jumlahnya pada tahun berikutnya. “Jumlah geran tahunan bergantung kepada sambutan pelajar untuk mendaftar perniagaan. RM10 juta tidak semestinya perlu dihabiskan mengikut tempoh yang ditetapkan. Jika ia bagus, mungkin habis lebih awal. “Inisiatif ini bertujuan memberi kesedaran dan galakan kepada golongan muda untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan dan mendaftarkan perniagaan secara sah di sisi undang-undang,” katanya. Hamzah berkata, untuk mendaftar perniagaan, SSM menggalakkan pelajar universiti untuk hadir ke pejabat agensi itu bagi membolehkan identiti mereka disahkan serta-merta dan layak menerima insentif itu. “Kita galakan mereka tampil ke pejabat SSM dan kad matrik universiti. Pendaftaran secara dalam talian juga boleh dilakukan tetapi SSM akan mengambil sedikit masa untuk mengesahkan mereka adalah pelajar universiti. “Tanpa geran ini, pelajar perlu membayar kos mendaftar perniagaan milikan tunggal atas nama sendiri pada kadar RM30 dan kos daftar pemilikan tunggal atau perniagaan perkongsian menggunakan nama tred pada RM60 serta cetakan maklumat RM10.60, termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST),” jelasnya. Beliau bagaimanapun berkata, penambahan cawangan perniagaan tidak termasuk dalam inisiatif itu.

Sumber: Berita Harian

AS kekal destinasi pilihan pelajar Malaysia

Kuasa Usaha Kedutaan AS ke Malaysia, Edgard Kagan (dua dari kanan) , Ketua Program Pemindahan Ijazah Universiti Amerika Dean Taylor, Proffessor Professor Dr Anindita Dasgupta (dua dari kiri)), Jawatankuasa Penganjur YSEALI Younified, Nurul Amalina Che Ariffin (tengah) semasa pelancaran Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara di Kampus University Lakeside Taylor, Petaling Jaya. – Foto Aziah Azmee

SUBANG JAYA: Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai destinasi pilihan utama bagi pelajar Malaysia melanjutkan pengajian tinggi di sebalik kejatuhan Ringgit. Kuasa Usaha Kedutaan AS ke Malaysia, Edgard Kagan, berkata suasana dan kualiti pengajian di AS menjadi faktor utama negara itu terus menjadi tarikan kepada pelajar asing di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Katanya, berdasarkan data terkini, Malaysia muncul sebagai negara ke-22 yang mempunyai pelajar paling ramai mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi di AS. “Seramai 7,834 pelajar Malaysia belajar di AS pada sesi pengajian 2015/2016 iaitu peningkatan 8.3 peratus berbanding sesi sebelumnya. “Sejak sesi 2007/2008, bilangan pelajar Malaysia ke AS menunjukkan peningkatan. Pada 2011/2012 dan 2013/2014 peratusan kemasukan tidak berubah, tetapi kembali meningkat enam peratus pada 2014/2015,” katanya. Beliau memberitahu media demikian selepas merasmikan sambutan ulang tahun ketiga Inisiatif Pemimpin Muda ASEAN (YSEALI), di Universiti Taylor’s, di sini, petang tadi. Mengulas mengenai pelantikan Donald Trump sebagai presiden bermula 20 Januari depan, Kagan berkata, kebiasaannya ada dasar yang berubah apabila presiden baharu mula bertugas, namun secara dasarnya, AS akan terus mengalu-alukan pelajar asing untuk melanjutkan pengajian di negara itu.

Sumber: Berita Harian