Sumbangan kepada dana pelajar miskin semakin berkurangan

KUALA LUMPUR: Jumlah kutipan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan orang persendirian di seluruh negara berkurang pada tahun ini. Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Abdul Wahid Ahmad, berkata jumlah sumbangan hingga November tahun ini adalah sebanyak RM617,886 sahaja berbanding RM909,286 pada 2015 dan RM766,319 (2014). Beliau berkata, jumlah sumbangan yang berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya itu menyebabkan kementerian terpaksa menstruktur semula bantuan kewangan yang dianggarkan sebanyak RM250 juta setiap tahun kepada penerima layak daripada golongan pelajar miskin dan miskin tegar. “Setakat ini, seramai 1.05 juta pelajar miskin dan miskin tegar menerima kira-kira 19 jenis bantuan antaranya, bantuan am persekolahan dan rancangan Makanan Tambahan daripada KPM. “Kementerian menjangkakan ada peningkatan jumlah pelajar miskin dan miskin tegar yang layak menerima bantuan berkenaan tahun depan. Sekiranya bantuan terus berkurangan, kita mungkin terpaksa mencari alternatif lain supaya murid ini tidak tercicir menerima bantuan,” katanya pada sidang media, di sini. Ketika ini, bantuan am persekolahan diagihkan sebanyak RM200 kepada pelajar miskin sekolah rendah dan sekolah menengah manakala pelajar daripada kelompok miskin tegar menerima RM300. Sementara itu, katanya pemilihan pelajar dijalankan menerusi semakan data e-Kasih, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, data Orang Asli (e-Jamak) selain data bantuan persekolahan sedia ada. Mengulas isu hanya satu syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan memberikan sumbangan kira-kira RM10,000 tahun ini, Abdul Wahid menjelaskan banyak promosi sudah dilakukan termasuk di Karnival Jom Heboh bagaimanapun, tidak mendapat sambutan. “Syarikat atau individu yang memberikan sumbangan boleh menuntut semula pengecualian cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri,” katanya. Sehubungan itu, orang perseorangan atau mana-mana syarikat yang sedia membantu dana KWAPM boleh menyalurkan sumbangan menerusi skim potongan gaji bulanan sukarela kakitangan awam yang boleh dikemukakan melalui Unit Kewangan jabatan masing-masing. Selain itu, dana boleh disalurkan kepada Sumbangan Tabung KWAPM, di akaun Maybank – 564016117704 atau wang kiriman pos /cek berpalang / wang pos kepada Ketua Akauntan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sumber: Berita Harian