Kutipan untuk bantu pelajar miskin berkurangan

Setiausaha Bahagian, Bahagian Kewangan Kementerian Pendidikan, Datuk Abd Wahid Ahmad ketika melancarkan tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin di tapak pameran sempena Persidangan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). – Foto Mohd Fadli Hamzah

KUALA LUMPUR: Kutipan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan orang persendirian berkurangan pada tahun ini. Keadaan itu menyebabkan bantuan kewangan sedia ada dianggarkan RM250 juta setiap tahun untuk pelajar miskin dan miskin tegar tahun depan terpaksa distruktur semula. Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Pendidikan, Datuk Abdul Wahid Ahmad, berkata dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini, sumbangan yang diterima hanya RM617,886 berbanding RM909,286 dan RM766,319, masing-masing pada 2015 dan 2014.   “Setakat ini, seramai 1.05 juta pelajar miskin dan miskin tegar menerima kira-kira 19 jenis bantuan, antaranya bantuan am persekolahan dan Rancangan Makanan Tambahan. “Kementerian menjangka jumlah pelajar miskin dan miskin tegar yang layak menerima bantuan meningkat pada tahun depan, tapi jika sumbangan terus berkurangan, kita mungkin terpaksa cari alternatif lain supaya kumpulan sasar tidak tercicir daripada menerima bantuan,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini. Sementara itu, katanya, pemilihan pelajar untuk menerima bantuan KWAPM dibuat menerusi semakan data e-Kasih di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, selain data Orang Asli dan data bantuan persekolahan sedia ada. Abdul Wahid berkata, pelbagai promosi sudah dilakukan bagi menarik sumbangan daripada GLC, syarikat swasta dan orang ramai, namun tidak mendapat sambutan, sedangkan mereka yang memberi sumbangan boleh menuntut pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Katanya, sumbangan untuk KWAPM boleh dibuat menerusi potongan gaji bulanan atau secara terus kepada Sumbangan Tabung KWAPM di akaun Maybank, bernombor 564016117704 atau menerusi wang kiriman pos atau wang pos dan cek berpalang kepada Ketua Akauntan, Kementerian Pendidikan.    INFO * RM300 bantuan am persekolahan daripada KWAPM untuk pelajar sekolah rendah, menengah dari keluarga miskin tegar, RM200 untuk pelajar miskin.

Sumber: Berita Harian