5,194 permohonan semak semula UPSR 2016

Antara murid yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Bahasa Cina di SJK(C) Wen Hua, Batu Berendam. – Foto Khairunisah Lokman

KUALA LUMPUR: Lembaga Peperiksaan (LP) menerima 5,194 permohonan bagi semakan semula kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 sejak tempoh semakan dibuka pada 17 November lalu. Pada tahun lalu, LP menerima sebanyak 5,339 permohonan semakan semula kertas UPSR selepas tarikh permohonan ditutup. Menurut kenyataan LP, orang ramai boleh mengemukakan permohonan semakan dengan melengkapkan Borang Permohonan Penyemakan Semula Keputusan Peperiksaan/Kes T (LP/Am 65A) dan melampirkan salinan keputusan UPSR 2016 yang disahkan oleh guru besar atau pegawai kerajaan kumpulan A. Bagi setiap permohonan akan dikenakan bayaran RM50 bagi setiap kertas sama ada menggunakan wang pos, kiriman wang atau bank draf di atas nama Pengarah Peperiksaan. Borang permohonan boleh didapati di sekolah tempat calon menduduki peperiksaan, selain Sektor Unit Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri atau Kaunter Penyemakan Semula Keputusan Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Putrajaya. Di samping itu, orang ramai boleh membuat semakan dengan melayari laman web Lembaga Peperiksaan http://lp.moe.gov.my.  Borang permohonan yang diterima selepas tarikh tutup semakan 17 Disember ini tidak akan diproses dan keputusan akan dimaklumkan dalam tempoh dua bulan selepas tarikh tutup permohonan.

Sumber: Berita Harian