Kelewatan kelulusan PBT punca 1BestariNet tertangguh – YTLC

KUALA LUMPUR: Projek 1BestariNet menepati matlamat untuk membantu kanak-kanak memperoleh kemahiran pembelajaran abad ke-21 serta merapatkan jurang digital dan memperbaiki kehidupan rakyat, terutama murid di kawasan luar bandar. YTL Communication Sdn Bhd (YTLC) dalam satu kenyataan berkata, projek itu membolehkan pihaknya menyediakan ketersambungan internet 4G ke 10,000 sekolah di negara ini termasuk di kawasan luar bandar untuk mewujudkan pendidikan yang saksama. “YTL benar-benar meyakini kelestarian nilai projek 1BestariNet dalam memberi manfaat penggunaan ICT bermula dari bilik darjah ke seluruh kawasan sekolah di Malaysia dengan pelaksanaan pembinaan stesen tapak yang dikenali menara telekomunikasi Sistem Penerima Bersepadu 1BestariNet (1BRIS) di lokasi strategik dalam kawasan sekolah yang terpilih,” katanya. Namun demikian, YTLC dalam kenyataan media memberitahu pelaksanaan ini tertunda seketika kerana kelewatan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Kenyataan itu mengulas mengenai kebelakangan ini terdapat beberapa laporan media berkenaan kemajuan projek 1BestariNet dan peranan YTLC dalam melaksanakan projek terbabit. “Dalam Fasa 1 projek 1Bestari YTLC ditugaskan untuk membina menara 1BRIS agar liputan 4G dapat disediakan. Bagaimanapun pihak kami perlu mendapatkan persetujuan semua PBT terlebih dahulu dan mengakibatkan penangguhan berlaku. “Selain itu, pembayaran sewaan perlu dibuat oleh pihak kami mengikut penggunaan plot tanah yang digunakan selepas pihak kami mempertimbangkan perjanjian yang dibuat dengan Kementerian Pendidikan sebelumnya,” katanya. Sementara itu, YTLC juga secara sukarela menambah kandungan pembelajaran melalui kerjasama dengan penyedia kandungan bagi menyediakan kandungan tambahan yang ditawarkan menerusi Pembelajaran Maya Frog (Frog VLE). “Melalui sambungan internet 4G ke sekolah di seluruh negara membolehkan platform Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (Frog VLE) disediakan namun demikian penggunaan Frog VLE bergantung kepada beberapa faktor berbeza mengikut sekolah-sekolah tertentu, termasuk kepantasan menyesuaikan diri kepada teknologi itu.

Sumber: Berita Harian