Pemaju Masyarakat TABIKA KEMAS wajib berkelulusan minimum diploma

MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Foto Mohd Yusni Ariffin

KUANTAN: Semua Pemaju Masyarakat atau tenaga pengajar di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan diwajibkan berkelulusan sekurang-kurangnya diploma menjelang 2020. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penetapan syarat itu adalah antara usaha pihaknya memperkasakan TABIKA KEMAS supaya ia lebih baik berbanding dengan pusat pendidikan awal kanak-kanak milik swasta. Katanya, pada masa ini 65 peratus daripada kira-kira 11,000 Pemaju Masyarakat di seluruh negara berkelulusan diploma atau lebih tinggi dan jumlah itu akan ditingkatkan kepada 100 peratus menjelang 2020.

“Bagi mencapai sasaran itu, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan menghantar Pemaju Masyarakat yang tidak mempunyai kelulusan diploma untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Pengajian Sultan Idris (UPSI), institut pendidikan guru (IPG) dan Kolej Ketengah. “Bagi mereka yang memiliki ijazah atau diploma bukan program pendidikan awal, kita akan menghantar mereka ke Institut Latihan Kemas untuk mendapatkan sijil pendidikan awal,” katanya pada sidang media selepas majlis penutupan dan penyampaian hadiah Hari Potensi TABIKA KEMAS di sini, malam tadi. Ismail Sabri berkata, selain memperkasakan Pemaju Masyarakat pihaknya juga akan memperkenalkan tiga modul utama iaitu Program Penghayatan Pendidikan Islam, Pemupukan Semangat Patriotik dan Keyakinan Diri. Katanya, usaha berkenaan adalah selaras dengan Transformasi Tabika Berprestasi Tinggi supaya kualiti pusat pendidikan awal kerajaan itu ditingkatkan sekali gus mengikis persepsi masyarakat bahawa TABIKA KEMAS tidak setanding dengan tadika swasta. Katanya, ibu bapa pada masa sekarang sanggup mengeluarkan perbelanjaan besar untuk menghantar anak-anak ke tadika swasta kerana menganggap sesuatu yang mahal itu adalah lebih baik. “TABIKA KEMAS kalau tidak lebih baik mungkin setanding, (kos) tadika swasta mahal kerana gaji tenaga pengajarnya dan sewa bangunan dibayar ibu bapa tetapi di TABIKA KEMAS kerajaan tanggung. “Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM605 juta setahun untuk TABIKA KEMAS atau RM250 sebulan bagi setiap kanak-kanak, RM450 juta antaranya bagi membayar gaji tenaga pengajar serta sewa bangunan manakala RM100 juta untuk makanan dan selebihnya perbelanjaan lain,” katanya.

Sumber: Berita Harian