Modul 10 minit rangsang pembelajaran abad ke-21

Dr. Norherani Moning dan Wahid Hashim bertukar dokumen nota kerjasama

Dr. Norherani Moning dan Wahid Hashim bertukar dokumen nota kerjasama antara IPG Kampus Ilmu Khas dan Utusan Malaysia selepas bengkel membangunkan modul 10 minit perhimpunan pagi pembelajaran abad ke-21 di institut itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kementerian Pendidikan menerusi Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Il­mu Khas berkolaboratif dengan Utusan Malaysia membangunkan modul 10 minit perhimpunan pagi bagi membudayakan pem­belajaran abad ke-21 dalam kalang­an guru dan murid sekolah pada penggal persekolahan 2017.

Timbalan Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas, Dr. Norherani Moning berkata, modul ini akan memberi kefahaman yang lebih jelas berkaitan pembelajaran abad ke-21 yang bukan terlalu bergantung kepada kecanggihan teknologi tetapi lebih menitikbe­ratkan aspek pedagogi inklusif.

“Modul yang dibangunkan akan merangsang pembelajaran abad ke-21 secara bertema pada setiap minggu dengan memberi penekanan dalam aspek pemba­ngunan murid yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani nota kerjasama an­ta­ra IPG Kampus Ilmu Khas dan Utusan Malaysia yang diwakili Pengarang Pendidikan, Wahid Hashim di institut itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Terdahulu, pensyarah IPG Kampus Ilmu Khas dan editor ma­ta pelajaran Unit Pendidikan Utusan Malaysia mengikuti bengkel membangunkan modul 10 minit perhimpunan pagi itu.

Pelaksanaan modul ini merupakan satu daripada medium bagi menjayakan program penjenamaan Isnin Hari Pembelajaran Abad Ke-21 yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pen­didikan dengan kerjasama Utusan Malaysia bermula penggal persekolahan akan datang.

Sebanyak 42 modul yang merentas subjek dan tahap persekolahan – rendah dan menengah – akan dibangunkan untuk dilaksanakan oleh pihak pentadbiran sekolah mengikut tema yang boleh disesuaikan dengan hari perayaan atau acara tertentu se­perti minggu sains, keusahawanan dan alam sekitar.

Menurut Norherani, modul ini sebagai pencetus dalam mewujudkan elemen keseronokan kepada murid bagi mengikuti pem­be­lajaran abad ke-21 di samping menyediakan persekitaran yang menyokong keperluan mereka untuk melaksanakannya.

“Pembelajaran abad ke-21 yang berfokus murid menerusi modul ini akan menerapkan nilai murni, memberi peluang mereka mengembangkan potensi diri dan menjadi pemikir di samping menggalakkan mereka sentiasa berdamping dengan masyarakat setempat,” jelasnya.

Format modul ini pelbagai antaranya termasuklah lakon pe­ranan, persembahan dan simulasi agar dapat memberikan impak positif yang berkekalan kepada semua murid secara inklusif tanpa mengira latar belakang sosial, tahap kepandaian, aliran perdana atau pendidikan khas dan juga Orang Asli.

Pembangunan modul ini turut menekankan elemen kemahiran berfikir aras tinggi terutama dalam aspek mengaplikasi dan mencipta yang akan dilakukan melalui tugasan berasaskan projek.

– Sumber : Utusan Online

%d bloggers like this: