Pengukur kualiti pendidikan negara TIMSS, PISA penandaarasan antarabangsa

Habibah Abdul Rahim (kiri) dan Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan

Habibah Abdul Rahim (kiri) dan Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Dr. Ahmad Rafee Che Kassim menunjukkan carta kajian penandaarasan antarabangsa TIMSS.

PUTRAJAYA 24 Nov. – Penandaarasan antarabangsa merupakan antara kaedah yang diguna pakai oleh sesebuah negara untuk menilai keberkesanan dan kejayaan sistem pendidikan masing-masing.

Penandaarasan tersebut dibuat untuk menilai tahap pengetahuan dan kemahiran murid serta kompetensi guru di bilik darjah yang dapat merumuskan kualiti sistem penyampaian pendidikan selama ini.

Malaysia tidak terkecuali me-lakukan penandaarasan tersebut dengan mengambil bahagian dalam pentaksiran antarabangsa yang dikeluarkan oleh Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assesment (PISA).

Timbalan Pengarah (Dasar dan Perancangan) Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Dr. Habibah Abdul Rahim menjelaskan bahawa TIMSS merupakan kajian perbandingan antarabangsa yang diterbitkan oleh International Association for Evaluation of Educational Achievement (IEA) pada setiap empat tahun.

Jelasnya, penyertaan Malaysia dalam TIMSS sejak 1999 bertujuan menilai prestasi murid di sekolah menengah dalam subjek matematik dan sains berbanding negara lain, di samping menilai semula faktor tertentu yang mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran.

“TIMSS memberi tumpuan kepada kurikulum sebagai faktor utama yang dapat menerangkan pencapaian murid daripada tiga perspektif iaitu hasrat (intended), pelaksanaan (implemented) dan pencapaian (attained).

“Secara khususnya, model ini berkisar kepada apa yang telah dipelajari oleh pelajar menerusi bidang matematik dan sains serta cara pembelajaran dan pengajaran di bilik darjah,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Habibah berkata, sampel TIMSS dipilih secara rawak berstrata yang merangkumi murid tingkatan dua, guru matematik dan sains serta pentadbir sekolah yang merangkumi lokasi tertentu, sekolah kerajaan dan swasta, jenis sekolah dan Gred Purata Sekolah (GPS).

“Malaysia menyertai TIMSS bermula pada 1999 dan seterus-nya pada 2003, 2007, 2011 dan terkini iaitu pada 2015.

“Kajian untuk TIMSS 2015 bermula sejak 2013 ke atas 9,726 murid tingkatan dua daripada 207 buah sekolah di seluruh negara menerusi kaedah buku ujian dan soal selidik,” ujarnya.

Menurut beliau, kajian TIMSS 2015 yang bakal diumumkan pada 29 November ini menjadi antara penentu keberkesanan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015.

Sementara itu, Habibah berkata, PISA adalah kajian pentaksiran piawaian antarabangsa bagi mengukur tahap pengetahuan dan kemahiran murid berusia 15 tahun ke atas melalui tiga domain wajib iaitu literasi bacaan, literasi matematik dan literasi saintifik.

Jelasnya, PISA berbeza daripada TIMSS kerana ia dijalankan untuk menilai keberkesanan keseluruhan dasar pendidikan sesebuah negara dan mempunyai keunikan tersendiri.

“PISA merupakan satu-satunya kajian pendidikan antarabangsa yang mengukur pengetahuan dan kemahiran pelajar berumur 15 tahun iaitu satu tahap usia di kebanyakan negara berada di penghujung tempoh pendidikan.

“Kajian ini tidak hanya menumpukan kepada kurikulum tertentu tetapi merentasi sempadan mata pelajaran berdasarkan kompetensi umum dan penaakulan terhadap kurikulum yang dipelajari,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia mula mengambil bahagian dalam PISA pada 2010 dan seterusnya pada 2012 dan terbaharu pada 2015 de-ngan hasil kajian bakal diumumkan pada 6 Disember ini.

Habibah berkata, TIMSS dan PISA amat penting untuk negara me­laksanakan penambahbaikan sistem pendidikan yang akhirnya dapat melahirkan murid yang berkualiti tinggi.

Jelasnya, kebanyakan kurikulum yang dilaksanakan selama ini adalah berdasarkan aspek penge­tahuan semata-mata, sekali gus hanya mampu melahirkan para pelajar yang berorientasikan peperiksaan.

“Kita ingin melahirkan pelajar dan murid yang dapat mengaplikasi pengetahuan mereka dalam kehidupan seha­rian, khususnya menerusi unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT),” katanya.

– Sumber : Utusan Online

%d bloggers like this: