Cadangan mansuh UPSR dimuktamad tahun depan

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Kementerian Pendidikan akan memuktamadkan sama ada memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau sebaliknya, tahun depan.

MAHDZIR KHALID

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, cadangan berkenaan pada masa ini dalam proses perbincangan di peringkat kementerian dan belum dibawa ke Kabinet.

Kata beliau, cadangan tersebut dipertimbangkan dengan mengambil kira pandangan ahli akademik tempatan, modul-mo­dul luar negara yang diketengahkan seperti Perancis, Finland dan Korea Selatan dan agensi berkaitan se­lain guru-guru berpengalaman di sekolah.

“Pada ketika ini, kementerian masih mengkaji cadangan itu (memansuhkan UPSR) kerana penilai­an institusi pendidikan di nega­ra-negara membangun seperti di Perancis dan Finland lebih bersandarkan pentaksiran berasaskan sekolah termasuk psikometrik, kokurikulum dan sahsiah pelajar.

“Justeru, isu ini bukan sekadar mengambil kira kecemerlangan akademik tetapi perlu menitikbe­ratkan penilaian sahsiah dan kemahiran insaniah murid,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu, ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 bagi Kementerian Pendidikan, beliau mengulangi ke­tegasan bahawa kerajaan tidak berhasrat mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi tujuan kemasukan ke universiti awam di negara ini walaupun mendapat desakan daripada segelintir masyarakat Cina.

Katanya, Malaysia sudah mempunyai sistem pendidikan tersendiri yang diletakkan asas­nya oleh pemimpin terdahulu dan perkara itu tidak sewajarnya diganggu mana-mana pihak.

“Saya nak jawab secara jujur dalam Dewan Rakyat, setakat ini UEC tidak lagi diiktirafkan,” katanya.

ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 bagi Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Ahmad Baihaki Atiqullah (Pas-Kubang Kerian) dalam waktu pertanyaan menteri, Mahdzir berkata, terdapat banyak negara sudah berubah dalam format peperiksaan dengan melaksanakan pentaksiran berasaskan sekolah.

“Kita di sini sudah jadi pentaksiran berasaskan pepe­riksaan dengan tumpuan kepada berapa jumlah A.

“Oleh sebab itu, dalam pemilihan ke sekolah berasrama penuh tahun depan, kita ambil minimum pelajar yang dapat 3A,3B dicampur dengan pentafsiran berasaskan sekolah dengan mengambil kira akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar,” jelasnya.

– Sumber : Utusan Online

%d bloggers like this: