Memperkasa pengajaran, pembelajaran abad ke-21

Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas dan Utusan Malaysia menjalin kerjasama strategik dalam meningkatkan pembangunan kualiti pe­ngajaran dan pembelajaran (PdP) abad ke-21 selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Timbalan Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas, Dr. Norherani Moning berkata, kolaboratif antara kedua-dua pihak ini memberi nilai tambah dan penge­tahuan baharu kepada golongan pendidik berkaitan pembelajaran abad ke-21.

“Komitmen dan sokongan Utusan Malaysia dalam memenuhi keperluan pendidikan semasa amat diperlukan bagi memberi ruang untuk kedua-dua pihak berkongsi ilmu serta kepakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Kursus Pengaplikasian Model Re­ka Bentuk Pengajaran Integral ASIE dan Utusan Pelajar untuk pelajar, guru dan pensyarah Pembimbing Sekolah Nukleus peringkat zon tengah dan selatan di Ibu Pejabat Utusan Melayu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kursus anjuran ber­sama ini di­ras­mikan oleh Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah dan turut dihadiri Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim.

Seramai 65 peserta terdiri daripada guru dan pensyarah menyertai kursus dua hari ini yang dikendalikan oleh pembangun Model ASIE, Dr. Ismail Zain yang juga Penasihat Pendidikan Utusan Malaysia.

Selain pensyarah daripada IPG Zon Tengah dan Zon Selatan, peserta kursus adalah guru Sekolah Kebangsaan (SK) Cochrane Perkasa, SK Sungai Lui, SK Seri Bintang Utara, SK Sungai Kantan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras.

SK Cochrane Perkasa dan SK Sungai Lui ialah Sekolah Nukleus yang menjadi showcase pelaksanaan pembudayaan kema­hiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam proses PdP abad ke-21.

Sekolah Nukleus ini hanya boleh dilaksanakan oleh tiga Pusat Kecemerlangan Kemahiran Berfikir IPG Malaysia dan IPG Kampus Ilmu Khas merupakan satu daripada tiga pusat itu.

Dua lagi Pusat Kecemerlang­an Kemahiran Berfikir ialah IPG Kampus Pulau Pinang dan IPG Kampus Tun Abdul Razak, Ku­ching, Sarawak.

Ketiga-tiga kampus IPG ini dipertanggungjawabkan untuk menjadi pemangkin bagi meningkatkan dan membudayakan KBAT kepada siswa pendidik khusus dalam aspek kurikulum, pedagogi dan pentaksiran.

– Sumber : Utusan Online

%d bloggers like this: