Mohon bantuan bomba baiki pendawaian sekolah – Noh

MENTERI Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar. – Foto Asyraf Hamzah

SHAH ALAM: Sekolah di negara ini yang mempunyai pendawaian lama atau bermasalah disaran mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membuat pemeriksaan. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, berkata pasukan itu juga akan memberi latihan dan nasihat diperlukan, selain memeriksa pendawaian elektrik di sekolah terutama bangunan lama. “Kementerian Pendidikan mempunyai peruntukan untuk kerja naik taraf dan pembaikan pendawaian elektrik. “JBPM boleh memberi laporan keadaan semasa selain khidmat nasihat termasuk penyelesaian jangka pendek dan panjang. “Mana-mana bangunan milik kerajaan boleh mendapatkan bantuan pasukan ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival ‘Back To School’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 19 Shah Alam di sini, hari ini. Karnival dianjur bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Seksyen 19 Shah Alam dan Pemuda UMNO Shah Alam. Noh berkata, laporan pemeriksaan akan diserahkan kepada pengurusan sekolah dengan salinan kepada kementerian terbabit. Beliau berkata, ada kalanya laporan berkenaan tidak sampai kepada kementerian, menyebabkan keperluan menaik taraf pendawaian elektrik lama tercicir daripada perancangan peruntukan.

Sumber: Berita Harian