BERTENANG DENGAN KEPUTUSAN UPSR

Murid berketurunan Orang Asli di Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai

Murid berketurunan Orang Asli di Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Pusu, Julita Fadhli (kanan) berbual bersama rakan sebaya selepas memperoleh keputusan UPSR, Khamis lalu. BERNAMA

KEPUTUSAN Ujian Pen­capaian Sekolah Ren­dah (UPSR) 2016 me­ngejutkan ramai ibu bapa, guru dan pelajar apabila hanya 4,896 orang atau 1.11 peratus sahaja murid berjaya mendapat gred semua A. Keputusan ini dipercayai mempunyai kaitan dengan format baharu peperiksaan yang sekali gus memberi kesan langsung kepada pencapaian UPSR.

Nilai A pada tahun ini dilihat berbeza sekali dan keputusan A dalam UPSR kali ini tidak boleh disamakan dengan nilai A dalam format UPSR tahun lepas. Itulah falsafah yang harus difahami semua. Walaupun nilai A mempunyai makna besar kepada semua jenis peperiksaan, adakalanya nilai A itu perlu diimbangi de­ngan konteks.

Biarpun majoriti ibu bapa memahami bahawa UPSR bukanlah akhir perjalanan hidup tetapi keputusan UPSR menentukan hala tuju pendidikan menengah. Meritokrasi dalam penyusunan laluan ke sekolah menengah membuatkan ibu bapa dan anak-anak menjadi gusar. Kebimba­ngan untuk disalurkan ke sekolah menengah yang tidak diingini mula membara kini.

Hari ini, anak-anak yang menerima keputusan UPSR memerlukan pakar rujuk untuk pendidikan menengah mereka. Orang yang paling hampir adalah ibu bapa dan sa­nak-saudara.

Dalam keadaan anak-anak memerlukan pakar rujuk ini, pakar pendidikan termasuklah guru-guru dan kumpulan profesional perlu bertindak proaktif untuk menjadi kumpulan pakar rujuk kepada mereka. Malah mereka juga perlu menjadi penenang utama agar ibu bapa dan anak-anak tidak mudah pa­nik.

Perlu disedari kekurangan A dalam keputusan UPSR bukan bererti mengecilkan peluang menyambung pendidikan menengah ke sekolah hebat. Pada saat ini juga, media dalam negara perlu prihatin dalam menyalurkan mesej berguna kepada masyarakat secara kreatif.

Penyaluran maklumat untuk meredakan keadaan ini terutama oleh pihak yang berautoriti amat­lah penting. Kita tidak mahu lagi ada kes-kes yang mengancam keselamatan dan nyawa ekoran rasa tidak puas hati dengan keputusan peperiksaan.

Keputusan yang diumumkan pada November tahun ini, iaitu ketika sesi persekolahan masih berlangsung adalah waktu terbaik untuk dimanfaatkan.

Ibu bapa dan murid mempu­nyai peluang untuk bertemu guru bimbingan dan kaunseling serta guru-guru sekolah secara rasmi. Malahan, saluran ke sekolah menengah dapat diteroka dengan cepat bersama anak-anak. Kita sedar majoriti ibu bapa mengharapkan kecemerlangan anak-anak di peringkat sekolah rendah sebagai penentu kepada jenis sekolah dan aliran pengajian di pe­ringkat menengah.

Oleh kerana itu, fokus utama yang amat perlu diberi perhatian sekarang adalah hala tuju pendi­dikan menengah. Tindakan drastik yang perlu diambil termasuklah mendapat khidmat nasihat daripada pegawai pendidikan yang mempunyai maklumat sebenar tentang pendidikan menengah.

Persiapkan anak-anak untuk pendidikan menengah akan sedikit sebanyak membuatkan anak-anak reda daripada perbinca­ngan terhadap keputusan UPSR.

Barangkali majlis-majlis sekolah perlu berubah daripada fokus kecemerlangan UPSR kepada majlis hala tuju pendidikan menengah.

Sebaran di media sosial juga perlu dilakukan secara berhemah bagi mengelakkan timbulnya konflik ekoran perlumbaan menayangkan A. Hakikatnya, pendidikan zaman ini adalah lebih bersifat peluang berstruktur (structured opportunity) iaitu merujuk kepada laluan pendidikan yang perlu disusun rapi bagi mencapai matlamat kerjaya dan juga kehidupan dewasa.

Umpamanya, bagi pelajar yang memiliki potensi unggul dalam bidang bakat seni suara, maka laluan berstruktur untuk pelajar ini adalah sekolah seni dan subjek-subjek berkaitan kesenian; manakala bagi pelajar yang menonjolkan kecemerla­ngan sains dan teknologi, laluan ke bidang profesional sains dan teknologi perlu diusahakan dari awal termasuklah pemilihan jenis sekolah dan subjek-subjek di pe­ringkat menengah.

Melihatkan kepada arah tersebut, maka keputusan UPSR akan menjadi satu asas sahaja dan bukannya satu fenomena sosial yang mengejutkan. Barangkali, sudah tiba waktunya untuk memanjangkan polemik berkaitan jumlah A tahun ini yang diban­dingkan keputusan UPSR tahun-tahun lepas kerana perancangan hala tuju pendidikan menengah adalah lebih relevan pada waktu sekarang.

Serahkan sahaja kepada pakar-pakar pendidikan, pihak berautoriti dan kepimpinan pendidi­- k­an untuk merenung semula dan membuat penyelidikan lanjut tentang polemik tersebut.

Kita yakin, semua ini berada dalam perhatian mereka. Semoga dengan usaha kita mengalih perhatian kepada hala tuju pendidi­k­an menengah, anak-anak yang menerima keputusan UPSR dapat meredakan tekanan sekali gus mencetuskan semangat untuk memilih laluan pendidikan menengah.

DR. MOHD. MAHZAN AWANG ialah Timbalan Ketua Pusat Pendidikan dan Pembangunan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

– Sumber : Utusan Online

%d bloggers like this: