Selaras pencapaian 4G di semua sekolah luar bandar

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. – Foto Mohd Fadli Hamzah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi tempoh sehingga awal tahun depan kepada syarikat yang mengendali program 1Bestari.Net untuk meningkatkan taraf pencapaian internet dari sistem ADSL Streamyx kepada 4G di semua sekolah luar bandar. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata ia perlu dilakukan segera bagi membolehkan jurang pencapaian internet antara sekolah di bandar dan luar bandar dapat dikecilkan. Beliau berkata, kementerian mengakui ada sekolah terutama di luar bandar dan pedalaman yang ketika ini masih mendapat akses internet yang lemah sehingga menyukarkan proses pembelajaran di sekolah. “Sekolah di bandar yang saya kunjungi, mereka sudah mampu mencapai capaian 4 megabit/saat. Tetapi di kawasan pedalaman hanya sekitar 2.18 megabit/saat. “Dalam ikatan kontrak baharu dengan (syarikat pengendali) bestari.net, saya sudah minta supaya capaian ini ditingkatkan daripada sistem ADSL Streamyx kepada 4G. “Saya sudah mintak syarikat itu dan BTP (Bahagian Teknologi Pendidikan KPM) untuk lakukan segera. Kita juga beri tempoh sekurang-kurangnya awal tahun hadapan mesti ada peningkatan dari segi pencapaian internet ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pembestarian Sekolah 2016 di Auditorium Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan di sini, sebentar tadi. Sebanyak 42 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara menerima anugerah pada majlis itu dalam pelbagai ketegori yang diperkenalkan seperti teknologi Zoom; teknologi VSAT serta kategori ‘digital story telling’. Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pemantauan pencapaian internet di beberapa sekolah yang dikunjungi sejak kebelakangan ini sudah menunjukkan peningkatan, namun masih memerlukan beberapa penambahbaikan. Sebelum ini, KPM memperkenal Sistem VSAT (Very Small Aperture Terminal) di sekolah bermula akhir 2002 terutama di sekolah luar bandar yang tiada perhubungan komunikasi dalam talian, sebelum diganti dengan ADSL Streamyx selepas itu.

Sumber: Berita Harian