Peranan komuniti majukan sektor pendidikan

Ahmad Maslan (tengah) menerima cendermata daripada Hasrunizah

Ahmad Maslan (tengah) menerima cendermata daripada Hasrunizah Hassan selepas merasmikan School Canival di SK Bandar Pontian, Johor, baru-baru ini.

PONTIAN 16 Nov. – Pengli­ba­tan aktif golongan ibu bapa, ko­­muniti dan sektor swasta merupa­kan kaedah terbaik bagi bersama-sama pihak sekolah me­majukan sektor pendidikan negara ini tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, perkara tersebut turut terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025.

Beliau berkata, inisiatif Sarana Ibu Bapa telah memberikan impak yang positif dalam hubungan pihak sekolah dan masyarakat yang kini saling memberikan kerjasama dan sokongan antara satu sama lain demi meningkatkan pencapaian anak-anak mereka.

“Kejayaan yang diraih oleh sesebuah sekolah bukan sahaja bergantung terhadap pengurusan yang baik, malah turut melibatkan sumbangan ibu bapa serta masyarakat setempat,” katanya ketika merasmikan karnival Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Pontian, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pontian (Perhubungan) Mohd. Zin Husin; Guru Besar SK Bandar Pontian, Bohari Japri dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bandar Pontian, Hasrunizah Hassan.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, penganjuran karnival dua hari itu membuktikan kerjasama yang baik kerana turut melibatkan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB ) dan Penglibatan Ibu Bapa Komuniti (PIBK).

“Kerjasama ini telah memberikan hubungan yang sihat antara pelbagai pihak bagi melihat kemajuan sekolah yang berterusan bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga kokurikulum,” katanya.

Menurut beliau, sebagai sebuah sekolah kebangsaan terbesar di daerah Pontian yang mempunyai lebih 1,000 murid, tentunya banyak cabaran yang perlu ditempuhi oleh pihak sekolah dan memerlukan kerjasama serta sokongan daripada semua pihak.

– Sumber : Utusan Online

%d bloggers like this: