Pelajar cemerlang UPSR disuap pulut kuning

AL’AZIZ Adni Ahmad Puad (memakai selempang) disuap pulut kuning oleh Guru Besar, Mahtar Desa (tiga dari kanan) pada majlis penyerahan slip keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di pekarangan Sekolah Kebangsaan Langkawi, hari ini. – Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Gimik guru memakaikan selempang dan menyuap pulut kuning kepada seorang pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), memeriahkan majlis penyerahan slip keputusan berkenaan di Sekolah Kebangsaan Langkawi (SKL), di sini, hari ini. Penghargaan itu juga menyebabkan Al’Aziz Adni Ahmad Puad, 12, yang memperoleh 6A sebak sejurus selesai disarungkan selempang dan disuap pulut kuning oleh Guru Besarnya, Mahtar Desa, sambil diberi tepukan gemuruh semua rakannya. Ketika ditemui, Al’Aziz Adni berkata, dia teruja apabila diraikan sebagai wira walaupun tidak pernah terbayangkan situasi seperti itu ketika menjawab soalan peperiksaan, September lalu. Anak tunggal yang tinggal bersama datuknya, Md Isa Saad, 82, sejak lahir selepas ibunya, Noraini Md Isa, 52, dan bapanya berpisah itu adalah pelajar tunggal daripada 90 calon sekolah itu yang memperoleh A bagi semua mata pelajaran yang diambil. “Selain tunjuk ajar guru, pesan datuk supaya belajar rajin-rajin dan jangan cepat mengalah jika berhadapan masalah menjadi semangat untuk saya jawab peperiksaan,” katanya yang bercita-cita menjadi jurutera. Sementara itu, Mahtar berkata, acara memakai selempang kuning dan menyuap pulut kuning adalah idea guru bagi menghargai pencapaian cemerlang pelajar terbabit yang turut mengharumkan nama sekolah.

Sumber: Berita Harian