Jual soalan SPM, Lembaga Peperiksaan buat laporan polis

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Lembaga Peperiksaan hari ini membuat laporan polis berhubung laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang mendakwa terdapat sindiket menjual soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016.

P. KAMALANATHAN
P. KAMALANATHAN

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, laporan itu dibuat tengah hari tadi di Putrajaya bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan oleh pihak berwajib mengenai dakwaan itu.

“Kementerian memandang serius pada perkara-perkara ini, kita biasanya cuba menyelesaikan masalah di bawah kementerian melalui laporan dan siasatan kita sendiri tapi ini sudah keterlaluan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis program pendidikan digital MOE UBSM Digital Education Odyssey 2016, di Sekolah Antarabangsa Parkcity, di sini.

Akhbar berkenaan pada Ahad lepas melaporkan sindiket itu didalangi pegawai tinggi Kementerian Pendidikan.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid semalam berkata, setakat ini tiada sindiket seperti yang didakwa akhbar tersebut.

Kamalanathan berkata, laporan polis dibuat untuk memberi peringatan kepada semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang maklumat terutama berkaitan peperiksaan yang belum diketahui kesahihannya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu mengenai peperiksaan SPM yang sedang berlangsung kini kerana akan menyebabkan emosi 434,535 calon yang menduduki peperiksaan itu terjejas.

“Mereka yang lakukan perkara ini tidak memahami situasi seorang pelajar yang bersiap sedia menduduki peperiksaan SPM. Bagi saya mereka zalim. Pelajar-pelajar ini melalui pelbagai rintangan dalam pelbagai aspek. Apabila perkara yang tidak benar kita viralkan secara palsu, mereka yang terjejas, emosi terganggu,” katanya.

Baru-baru ini Kementerian Pendidikan Malaysia turut menafikan berlaku kebocoran kertas peperiksaan Sejarah Kertas 1 dan 2 SPM seperti yang disebarkan melalui media sosial.

– Sumber : Utusan Online

%d bloggers like this: