Temu duga guru peringkat negeri

Lumut: Kementerian Pendidikan bercadang temu duga pengambilan guru dilakukan pada peringkat negeri berdasarkan kepada keperluan di negeri berkenaan. Ketika ini, temu duga pengambilan guru dilaksanakan secara berpusat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP). Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata cadangan itu bertujuan mengurangkan masalah guru duka lara akibat berjauhan dengan keluarga kerana mereka yang berjaya akan ditempatkan di negeri masing-masing. “Contohnya, jika di Perak pada tahun itu 400 guru akan bersara. Jadi, mereka boleh membuat temu duga dan mengambil 400 guru baharu dan jika tak mencukupi, mereka boleh mengambil guru dari sempadan negeri berkenaan. Cadangan jangka panjang “Ia (cadangan itu) untuk jangka masa panjang. Temu duga pengambilan guru baharu sesuai untuk dilaksanakan mengikut negeri dan ditempatkan di negeri berkenaan,” katanya selepas majlis perasmian Program Guru Bersama Masyarakat, Guru Pembina Negara Bangsa Peringkat Negeri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Sekolah Kebangsaan Nakhoda Muhammad Taib, Segari di sini, semalam. Mahdzir berkata, melalui cadangan itu, urusan pengambilan masih di bawah tanggungjawab SPP, cuma proses temu duga yang akan dilakukan pada peringkat negeri mengikut negeri pemohon. Katanya, perkara itu sudah dibincangkan pada peringkat kementerian dan akan dibawa kepada SPP untuk tindakan lanjut.

Sumber: Berita Harian