PM ucap tahniah kepada pasukan Moot UiTM

CATATAN Datuk Seri Najib Razak di laman Twitternya.

KUALA LUMPUR: Kejayaan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) menduduki tempat ketiga pada pertandingan Foreign Direct Invesment International Arbitration Moot (FDI Moot) mendapat perhatian Datuk Seri Najib Razak. Perdana Menteri berkata, kejayaan itu telah menempatkan nama UiTM sebaris dengan institusi pendidikan terkemuka dunia. “Tahniah @MootUiTM berjaya harumkan nama Malaysia dan letakkan nama UiTM sebaris dengan institusi terkemuka seperti Harvard dan Paris Law School,” katanya dalam catatan di laman Twitter malam ini. Empat penuntut Fakulti Undang-Undang UiTM iaitu Amiza Murad, 20, Fathan Alfian, 22, Iffah Yahya, 22, dan Izzudin Zahidi, 22 mewakili Asia Pasifik ke pertandingan yang diadakan di Buenos Aires, Argentina bermula 3 November lepas. Tempat pertama dimenangi Paris Law School manakala Harvard University di tempat kedua. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian