SM Maktab, All Saints ungguli Olympiad Sains dan Matematik Sabah

KOTA KINABALU: Pelajar Sekolah Menengah (SM) Maktab Sabah dan SM All Saints, Kota Kinabalu muncul pemenang utama Pertandingan Olympiad Sains dan Matematik, Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN) peringkat negeri Sabah. Pelajar Tingkatan Empat SM Maktab Sabah, Muhammad Chairie Faris, memenangi kategori sains, manakala pelajar Tingkatan Empat SM All Saints, Nurul Iman Nur Elahi, memenangi kategori matematik sekali gus mewakili Sabah pada pertandingan peringkat kebangsaan di Kuantan, Pahang pada Februari depan.

PELAJAR Tingkatan Empat SM Maktab Sabah, Muhammad Chairie Faris. – Foto Mohd Adam Arinin

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM500, sijil emas pertandingan dan sijil penyertaan yang disampaikan Setiausaha Agung GAGASAN, Syed Anuar Syed Mohamad pada majlis penyampaian hadiah di Auditorium Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF), di sini, petang ini. Turut terpilih mewakili Sabah ialah pemenang tempat kedua bagi kedua-dua kategori pertandingan iaitu pelajar SM Ken Hwa, Keningau, Mohd Joshua Koh Shaffriy dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanzac, Kota Kinabalu, Arizkhan Amin Kadda. Dua lagi pelajar iaitu Emir Asyraff Agus dari SM Maktab Sabah dan Muhamad Firman Amran dari SMK Likas, Kota Kinabalu yang menduduki tempat ketiga dalam kedua-dua kategori juga tersenarai mewakili Sabah. Pemenang tempat kedua membawa pulang wang tunai RM400, sijil emas pertandingan dan sijil penyertaan, manakala pemenang tempat ketiga menerima wang tunai RM300, sijil emas pertandingan dan sijil penyertaan. Nurul Iman yang tersenarai antara pelajar terbaik matematik Tingkatan Empat SM All Saints, berkata beliau bertekad untuk mengulangi kejayaannya pada pertandingan peringkat kebangsaan tahun depan. “Walaupun sukar, saya akan sedaya upaya untuk menjawab dengan betul setiap soalan seperti yang saya lakukan hari ini. Soalan pertandingan Olympiad ini memang agak sukar berbanding soalan peperiksaan matematik di sekolah,” katanya. Bagi Muhammad Chairie, soalan sains dalam pertandingan itu memerlukan pengetahuan tinggi berkaitan sains selain ketelitian dan keupayaan untuk memahami dan menjawab soalan dengan baik. Terdahulu, Syed Anuar berkata, Pertandingan Olympiad Sains dan Matematik adalah antara pendekatan GAGASAN ke arah meningkatkan minat dan keupayaan pelajar dalam mata pelajaran matematik serta sains. “Ia adalah satu pendedahan yang berkesan dalam memupuk minat pelajar terhadap sains dan matematik agar generasi muda kita dapat menguasai kedua-dua bidang ini sekali gus membolehkan mereka berdepan dengan apa saja cabaran,” katanya. Yang turut hadir ialah Pengerusi GAGASAN Sabah, Mohd Idremzizan Idris; Dekan Fakulti Pengurusan dan Keusahawanan UCSF, Dr Alan Lim dan Pengarah Pusat Asasi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selaku ketua juri, Prof Dr Muhd Zu Azhan Yahya. Pertandingan Olympiad Sains dan Matematik peringkat negeri Sabah dianjurkan GAGASAN dengan kerjasama UCSF.

Sumber: Berita Harian