Anak pemandu lori penerima anugerah Canselor UNIRAZAK

Atiqa (tengah) bersama ayah, Affandi dan ibu, Siti Rohana selepas terima Anugerah Canselor UNIRAZAK

KUALA LUMPUR: Disiplin ketat sejak kecil antaranya mengulang kaji pelajaran, latih tubi dan tidak menonton televisyen pada waktu malam menjadi rahsia kejayaan penerima tunggal Anugerah Canselor, Konvokesyen ke-16 Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), hari ini. Selain penganugerahan tertinggi berkenaan, Nur Atiqa Afandi, 22, turut menerima Anugerah Pelajar Terbaik Bank Rakyat, Fakulti Perniagaan dan Keusahawanan serta Anugerah Pencapaian Akademik Terbaik Takaful Ikhlas. Anak pemandu lori kelahiran Teluk Intan, Perak itu mengakui, disiplin diterapkan ibu bapanya sejak kecil antara faktor utama kejayaan beliau termasuk adik beradik lain yang menjadi pelajar terbaik sejak di bangku sekolah lagi. “Saya terkejut apabila diumumkan menerima anugerah tertinggi UNIRAZAK dengan CGPA 3.91 bagaimanapun, percaya ia daripada rezeki-NYA. “Setiap semester saya tersenarai penerima Anugerah Dekan dengan pencapaian CGPA sekitar 3.88 namun, terpaksa bersaing kerana ramai rakan lain juga pintar. “Kejayaan ini hasil kerja keras ibu dan bapa yang sentiasa memberi sokongan moral sejak kecil dan tidak putus-putus belajar bersama kami setiap malam sejak kecil untuk memastikan anaknya berjaya dalam pelajaran. “Ibu dan ayah menetapkan waktu malam untuk belajar dan tiada sesiapa dibenarkan menonton televisyen termasuk mereka sendiri. Perkara ini sudah menjadi rutin keluarga dan saya praktikkan sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Ke-16 UNIRAZAK, di sini. Majlis disempurnakan oleh Canselor UNIRAZAK, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid. Hadir sama, Pro Canselor, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao dan Datuk Mohamed Nizam Abdul Razak serta Naib Canselor, Datuk Seri Dr Md Zabid Abdul Rashid. Dalam majlis berkenaan, 11 pelajar lain turut menerima Anugerah Akademik Terbaik dalam istiadat konvokesyen membabitkan 321 graduan Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma. Sementara itu, ibunya yang juga suri rumah, Siti Rohana Masnon, 47, gembira disiplin dicorakkannya menjadi di samping mengamalkan doa dan solat hajat untuk memastikan kejayaan anaknya berterusan. “Selain usaha, kita kena berdoa supaya Allah permudahkan urusan anak-anak. Kami bukan datang daripada keluarga senang, hanya pelajaran boleh ubah masa depan anak-anak. “Atiqa sudah bekerja sebulan lalu di sebuah institusi perbankan tanah air, kakaknya baru menamatkan pengajian perubatan di India dan sedang menunggu giliran penempatan housemanship dan adik lelakinya, baru mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Alhamdulillah semua berjaya,” katanya.

Atiqa (tengah) bersama ayah, Affandi dan ibu, Siti Rohana selepas terima Anugerah Canselor UNIRAZAK

Sumber: Berita Harian