Ulat buku menang anugerah Nilam WPKL

Tokoh Nilam

TOKOH Nilam Bahasa Melayu Sekolah Rendah (SK), Aisyah Najihah Kamarulzaman dari SK Bellamy; Tokoh Nilam Bahasa Melayu Sekolah Menengah, Nur Syafiqah Aminuddin dari SMK Sains Seri Puteri; Tokoh Nilam Bahasa Inggeris Sekolah Menengah, Kamali Kannan dari SMK Sains Seri Puteri dan Tokoh Nilam Bahasa Inggeris Sekolah Rendah, Ng Zhi Ning dari SJKC Kuen Cheng 2 pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Membaca Program Nilam 2016 di Kolej Antarabangsa YPC, hari ini. – UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Empat pelajar sekolah rendah dan menengah akan mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dalam Pertandingan Membaca Program Nilam peringkat kebangsaan tahun hadapan selepas dinobatkan sebagai johan tokoh kategori masing-masing, di sini hari ini.

Empat pelajar tersebut, Aisyah Najihah Kamarulzaman, 11, (SK Bellamy); Nur Syafiqah Aminuddin, 16, (SMK Sains Seri Puteri); Ng Zhi Ning, 11, (SJKC Kuen Cheng 2) dan K. Kamali, 16, (SMK Sains Seri Puteri) menjadi Johan Tokoh Nilam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kategori sekolah rendah dan menengah.

Bagi Aisyah Najihah, kemenangannya itu sama sekali tidak dijangka kerana saingan yang sangat sengit daripada wakil sekolah lain.

“Saya memang gemar membaca dan sering digelar ulat buku oleh rakan sekelas dan kini peluang mewakili WPKL ke peringkat kebangsaan akan saya manfaatkan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Membaca Program Nilam WPKL yang disempurnakan Timbalan Pengarah Pendidikan WPKL, Ismail Musa, di Kolej Antarabangsa YPC, di sini hari ini.

Sementara itu, bagi Kamali yang memenangi kategori Bahasa Inggeris peringkat sekolah menengah pula, beliau akan membuat persediaan yang secukupnya bagi menghadapi cabaran di peringkat kebangsaan tahun hadapan.

“Buat masa sekarang, saya masih terkejut kerana berjaya memenangi pertandingan ini, jadi saya akan mendapatkan bantuan daripada guru sekolah untuk rancangan seterusnya.

“Tabiat membaca memang patut diamalkan masyarakat di semua peringkat umur, ia dapat meluaskan pengetahuan terhadap perkara yang tidak mampu dijangkau dalam masa yang singkat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: