PTPTN, Bank Islam jalin usaha sama mudahkan bayaran pinjaman

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Bank Islam dalam kerjasama strategik bagi pelaksanaan bayaran balik pinjaman PTPTN melalui kaedah potongan terus (Direct Debit). Kaedah itu bakal memberi kemudahan kepada peminjam untuk bayaran balik pinjaman PTPTN melalui akaun semasa dan akaun simpanan persendirian atau bersama di 22 bank yang terbabit. Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff, berkata kaedah Direct Debit dapat memastikan bayaran balik peminjam dilaksanakan secara konsisten pada setiap bulan serta melayakkan mereka menikmati diskaun 10 peratus seperti yang diumumkan dalam Bajet 2017. “Inisiatif kerajaan memberikan diskaun bayaran kepada peminjam PTPTN menerusi bajet 2017 menyaksikan peningkatan jumlah bayaran balik pinjaman sehingga mencecah 22 peratus pada bulan Oktober berbanding September. “Kaedah Direct Debit ini juga mengelakkan berlakunya tunggakan, sekali gus mereka tidak dikenakan tindakan penguatkuasaan seperti senarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia dan saman serta memastikan rekod baik dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS),” katanya ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Bank Islam, di sini. Majlis tandatangan MoU disempurnakan oleh, Timbalan Ketua Eksekutif Dasar dan Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad, Khairul Kamarudin, disaksikan oleh Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad, Datuk Seri Zukri Samat serta Pengarah Urusan MyClear, Peter Schiesser. Wan Ahmad berkata, peminjam yang mempunyai tunggakan perlu menyelesaikan dahulu tunggakan sebelum mengisi borang untuk membuat proses pembayaran secara Direct Debit.

Sumber: Berita Harian