Mahu tingkatkan bilangan pelajar STEM

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir  dan Tuanku Aishah Rohani Tengku

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan bergambar bersama Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir (kiri) dan isteri selepas majlis Pengurniaan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1437H/2016 di Istana Hinggap, Negeri Sembilan, baru-baru ini. UTUSAN/ABD. RAZAK AID

SEREMBAN 2 Nov. – Felo Kanan Akademi Sains Malaysia (ASM), Datuk Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir berhasrat mahu mempertingkatkan bilangan pelajar dalam aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negara ini.

Katanya, setakat ini hanya 20 peratus pelajar sahaja yang mengikuti pembelajaran STEM di peringkat sekolah.

“Sebagai felo kanan di ASM, saya terlibat secara langsung dengan usaha meningkatkan minat pelajar untuk mengikuti bidang STEM di peringkat sekolah.

“Justeru pelbagai inisiatif akan dilakukan bagi memastikan hasrat negara meningkatkan nisbah sains:sastera kepada 60:40 menjelang 2020 dapat tercapai,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengurniaan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 2016 di Istana Hinggap, di sini.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan me­ngurniakan anugerah berkenaan kepada Abdul Aziz.

Yang turut hadir Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Yang Dipertua Dewan Unda­ngan Ne-geri, Datuk Dr. Awaludin Said; Setiausaha Kerajaan ne-geri, Datuk Mat Ali Hassan serta Mufti Kerajaan negeri, Datuk Mohd Yusof Ahmad.

Abdul Aziz, 74, yang merupakan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 2016 peringkat negeri atas sumba­ngannya dalam bidang penyelidikan sains dan pertanian selama 25 tahun termasuk pembabitannya dalam bidang itu di peringkat sekolah.

Beliau telah berkhidmat dalam beberapa jawatankuasa penting sejak 1977 selain turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah di beberapa agensi. Antaranya Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) dari 1986 sehingga kini.

Di peringkat antarabangsa, Abdul Aziz merupakan individu penting di Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Getah Antarabangsa.

“Saya bersyukur dan berte-rima kasih kepada kerajaan ne-geri dengan penganugerahan ini sekali gus menjadi perangsang untuk terus memberi sumbangan dan bakti kepada bangsa, negara, dan agama,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: