Kongsi pengalaman, amalan terbaik Program Silang Muafakat tingkatkan pendidikan, kukuh kerjasama

KOTA TINGGI 1 Nov. – Pelbagai usaha berterusan dilakukan untuk meningkatkan tahap pendidikan negara ke tahap lebih baik, termasuk berkongsi ilmu, amalan dan pengalaman antara satu sama lain.

Antara yang dilakukan ialah usaha Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi menganjurkan Program Silang Muafakat Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) ke Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Program tiga hari itu bagi membentangkan amalan terbaik menerusi pertukaran idea dan pandangan serta cadangan itu disertai 27 peserta.

Lebih bermakna program ber­kenaan turut mendapat soko­ngan Pejabat Ahli Parlimen Kota Tinggi dan Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Pasir Raja serta pelbagai rakan strategik termasuk Bank Islam.

Sesi perkongsian pintar itu melibatkan dua sekolah dari Kota Tinggi, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Mas dengan dua sekolah di Kuching, iaitu SK Tabuan Hilir dan SMK Tun Abang Haji Openg.

Bagi mengeratkan hubungan dan meningkatkan kerjasama, pihak yang terlibat turut menanda tangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bertukar-tukar idea dan pandangan.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Mohd. Fadil Ishak berkata, inisiatif yang digerakkan PPD Kota Tinggi serta semua sekolah dalam daerah Kota Tinggi itu bertujuan memastikan Anjakan ke-9 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dapat direa­lisasikan dengan cemerlang serta memberi impak khususnya di daerah ini.

Beliau berkata, untuk memastikan organisasi terus maju, proses kecemerlangan perlu di­sertai dengan idea yang mapan, strategi pelbagai serta inovasi.

“Walau bagaimanapun, momentum kecemerlangan boleh ditingkatkan dengan daya usaha yang padu, kebersamaan erat, kepemimpinan muafakat serta niat ikhlas untuk pembangunan organisasi.

“Delegasi ini disertai oleh peserta terdiri daripada pegawai PPD, pengetua, guru besar, guru penolong kanan, ibu bapa dan penggerak di peringkat daerah dan sekolah,” katanya baru-baru ini.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: